Sinar matahari petang rakus menyimbah cahaya keemasannya, berbalam-balam disebalik bukit. Kawanan burung berpapasan terbang pulang ke sarang. Saya sorotkan sepasang anak mata menikmati keindahannya. Tenang hati, malah ia begitu mengasyikkan.
Jika saya seorang sasterawan, sudah tentu telah terhasil sebuah syair atau sajak yang lahir dari inspirasi matahari petang. Realitinya saya bukan penyair atau penyajak, maka tidak terhasil bait-bait mutiara bersulam kata. Saya pasrah, merah darah yang mengalir dalam jasad bukan darah seni.
Saya hanya mampu menikmati keindahan buat menjamu halwa mata. Tidak lupa sepasang bibir yang bergetar dengan kalimah tasbih serta tahmid kerana takjub dengan indahnya alam ini.
Firman Allah SWT:
وَمَا ذَرَأَ لَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ
“Dan apa (benda-benda) yang diciptakan Allah untuk kamu di muka bumi, berbagai jenis warnanya. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pengajaran.” (an-Nahl: 13)
Teringat kata-kata cerdik pandai bahawa alam adalah sebaik-baik guru kepada manusia. Tuhan tidak menjadikan alam ini sia-sia. Bahkan apa sahaja ciptaan-Nya ada kegunaan dan manfaat. Memerhati alam ini dengan mata hati agar terbit keinsafan serta rasa kekerdilan diri. Kerdil bukan bermakna lemah tetapi kerdil yang memberikan kekuatan dan ketenangan. Kerana apabila terbit kekerdilan, lantas kita terasa mahu mengadu, memohon dan bergantung harap. Kita terasa semakin dekat dengan-Nya.
Allah SWT berfirman:
يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَاللَّهُ هُوَ الغَنِىُّ الحَميدُ
“Wahai manusia! Kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa juapun) lagi Maha Terpuji.” (al-Faathir: 15)
Fajar senja melabuhkan tirai siang di ufuk barat. Bukit-bukau yang berwarna keemasan disimbah cahaya matahari petang mula berubah warna kehitaman. Sayup-sayup terdengar laungan azan Maghrib memanggil hamba menunaikan perintah Yang Maha Esa, bersujud kepada-Nya.
Asyik dengan keindahan alam jangan sampai terlupa kepada yang mencipta keindahan alam!
Malam pun menjelma...
0 comments:
Post a Comment