Sahabat Sejati

Sunday, 2 October 2011

Perihal belajar daripada bukan Islam

Soalan:

Saya telah membaca sebuah novel bertajuk Sultan Muhammad al-Fateh Penakluk Konstantinopal. Di dalam terdapat cerita bahawa Maharaja Konstantinopal cuba memerangkap Sultan Muhammad al-Fateh dengan menghantar penari-penari dan penyanyi-penyanyi bagi menghiburkan baginda yang masih muda. Di samping dihantar juga guru-guru untuk mengajar adab serta adat istiadat raja. Baginda menolak semua hadiah tersebut sambil bertitah, “Haram hukumnya seorang Islam dididik oleh seorang kafir.” Soalan saya, adakah kenyataan tersebut benar dan bagaimana pula dengan keadaan di Malaysia sekarang, ramai orang Islam dididik oleh orang bukan Islam seperti di sekolah-sekolah, seperti saya sendiri mempunyai seorang guru yang tidak beragama Islam. Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

APA yang anda baca itu hanyalah sebuah novel yang mengkisahkan kepahlawanan seorang raja dalam sejarah Islam, sehingga boleh menakluk Kota Konstantinopal (juga dieja Konstantinopel).

Bukan calang-calang pejuang atau pemimpin yang boleh berbuat demikian. Apa sahaja tindak-tanduknya dalam peperangan tersebut, mestilah menunjukkan ciri-ciri kepahlawanan yang bertekad hendak mengalahkan musuhnya dengan segenap daya dan cara yang ada padanya.

Oleh kerana itu pada suasana tersebut wajar benar beliau menolak apa sahaja pemberian musuh kepadanya, takut ‘ada udang di sebalik batu’. Bimbang dengan muslihat musuh yang berpura-pura baik, tetapi menyimpan niat yang buruk, kemungkinan dengan tindakan itu boleh melemahkan barisan pejuang-pejuang Islam.

Ada kewajaran Sultan Muhammad al-Fateh menolak semua hadiah yang ditawarkan ketika itu (jika betul). Meskipun pada zahirnya ada kebaikan di atas tawaran itu, muslihat peperangan yang lebih besar, lebih mengutamakan keselamatan keseluruhannya.

Akan tetapi perkara itu bukan fatwa atau hukum yang boleh diterima pakai dalam semua keadaan. Bagi kita sekarang dalam keadaan dunia yang berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan, maka ada panduan-panduan umum yang boleh diterima pakai.

Dalam sejarah Islam, selepas peperangan Badar pada tahun kedua Hijrah, tentera-tentera musyrikin yang menyerah kalah, menjadi tawanan kepada orang Islam. Ada yang ditawarkan keampunan dengan syarat mereka mengajar 10 orang anak-anak orang Islam. Setelah anak-anak tersebut mahir, barulah mereka boleh dibebaskan.

Ada kata-kata bijak pandai Arab menyebut: “Tuntutlah ilmu pengetahuan, walau hingga ke negeri China.”

China ketika itu, pada permulaan kebangkitan orang Islam Arab belum lagi menerima Islam, belum ada guru-guru beragama Islam di sana. Tetapi China diketahui ketika itu, kemajuan pengetahuan keduniaan amat tinggi berbanding dengan Negara Islam Madinah.

Maka kerana itu digesa umat Islam mencari ilmu pengetahuan, meskipun berguru dengan orang bukan Islam.

Ilmu pengetahuan adalah tuntutan Islam dan umat Islam mesti mempelajarinya, khususnya dalam ilmu bahasa.

Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): “Pelajarilah akan kamu bahasa sesuatu kaum, dengannya kamu akan terselamat daripada tipu helah oleh mereka.”

Mempelajari bahasa asing, dengan sendirinya dapat difahami bahawa gurunya adalah daripada kalangan mereka yang belum Islam.

Zaid bin Tsabit telah disuruh oleh Rasulullah saw mempelajari bahasa Syrianiyyah (bahasa orang-orang Rum) maka Zaid mempelajarinya daripada guru-guru yang bukan Islam sehingga mahir.

Zaid berkata, “Rasulullah saw bersabda kepadaku, “Zaid, sesungguhnya aku menyuruh orang menulis kepada kaum tertentu, maka aku bimbang mereka menambah atau mengurang akan apa yang aku cakapkan. Maka pelajarilah kamu bahasa as-Syrianiyyah.” Maka aku pun akur dan mempelajarinya sehingga mahir.”

Rasulullah saw juga pernah bersabda (mafhumnya): “Ilmu pengetahuan itu adalah sesuatu yang hilang dari umat Islam, di mana sahaja kamu jumpa ilmu pengetahuan itu, maka ambillah ia.”

Oleh yang demikian, saya berpendapat, tidak mengapa anda mempelajari ilmu-ilmu keduniaan daripada guru-guru yang bukan Islam. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

3 comments:

nur farahin binti sulaiman said...

oh mcm tue.. terkejut juga tgk tajuk di atas.. anyway thank 4 da info..

abuikhwan said...

alhamdulillah...ok

Fakrullah said...

kalau belajar dengan guru bukan islam mengenai sejarah islam mcm mna tu... bole beri penjelasan?

Post a Comment