Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa.
Kita mungkin biasa mendengar pepatah lama ini. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata yang tidak terkawal juga menjadikan badan binasa.
Memang tidak mudah mengawal lidah. Walaupun lembut, tidak bertulang tetapi tajamnya menikam lebih daripada pedang. Jika menyalahgunakannya, boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan umat.
Ya, tersilap satu perkataan sahaja boleh mendorong kepada penggunaan senjata, tercetusnya perbalahan dan pergaduhan dan lebih dahsyat lagi adalah berlakunya peperangan. Lebih dari itu, penyalahgunaannya juga boleh menjerumuskan pemiliknya ke jurang neraka.
Rasulullah saw bersabda: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” (Riwayat Abu Mansur ad-Dailami daripada Ibnu Umar)
Rasulullah saw menyebut bahawa diam itu adalah suatu hukum. Apa yang dimaksudkan dengan hukum? Ianya adalah hikmah, iaitu hasil pemikiran yang mengkaji dan memikirkan akibat dan kesan jika diam dan sebab akibat jika bercakap perkara yang buruk dan sia-sia. Jika diam maka selamatlah dari berbuat dosa. Sebaliknya jika bercakap bimbang ditimpa bencana dan binasa.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya maka banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)
Imam Nawawi ketika membicarakan hal yang sama berkata, ketahuilah, seseorang mukalaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. Percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.
Orang yang beriman dan bijaksana tidak akan berkata sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka akan berfikir sebelum berkata-kata dengan maksud mahu menjaga tutur kata. Ianya semata-mata mahu mengelakkan daripada berkata-kata sesuatu yang sia-sia apatah lagi mengumpat dan mengeji serta mencaci sesama manusia.
Oleh itu, untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kita menjaga lidah supaya tidak mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Kita mahukan masyarakat yang harmoni, hormat-menghormati, kasih-mengasihani dan hidup dalam rukun aman damai.
Satu kisah ahli Sufi
Diceritakan di dalam kitab Al-Hikam yang ditulis oleh Syeikh Ibnu Atho`illah:
Abu Qasim al Junaid ra. berkata: "Ketika saya sedang menunggu jenazah bersama orang ramai yang akan disembahyangkan di Masjid Assyuniziyah, tiba-tiba ada seorang miskin meminta-minta, maka dalam perasaan hatiku: Andaikan orang itu bekerja sedikit-sedikit supaya tidak meminta-minta, tentu akan lebih baik baginya.
Kemudian ketika pada malam harinya, saya akan mengerjakan wirid yang biasa saya kerjakan pada tiap malam, terasa sangat berat dan tidak dapat berbuat apa-apa, sambil duduk akhirnya tertidurlah mataku. Tiba-tiba mimpi orang-orang datang membawa orang miskin itu di atas talam, dan orang-orang ini berkata kepadaku: "Makanlah daging orang ini sebab engkau telah mengghibah padanya."
Maka langsung saya tersedar, dan saya tidak merasa ghibah padanya hanya tergerak dalam hati, tetapi saya diperintahkan harus minta halal kepada orang itu, maka tiap hari saya berusaha mencari orang itu. Akhirnya bertemu di tepi sungai sedang mengambil daun-daunan yang baik untuk dimakan dan ketika saya memberi salam kepadanya, langsung ia berkata: "Apakah akan mengulangi lagi hai Abul Qasim?"
Jawabku: "Tidak"
Maka ia berkata: "Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu."
Firman Allah SWT:
لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍۢ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَٰحٍۭ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًۭا
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami akan memberi pahala yang besar." (an-Nisaa`: 114)
Wahai saudaraku...
Berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata serta berfikir dengan sehabisnya apa yang mahu dituturkan oleh lidah, kerana benar kata orang tua-tua "terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata buruk padahnya."
Fikir-fikirkanlah dalam diri.
0 comments:
Post a Comment