Soalan:
Saya ingin bertanya perihal mengejek dan menghina Rasulullah saw. Bagaimanakah gambarannya dan apakah hukumnya? Jika berlaku, bagaimana hendak menebusnya atau menghapuskannya?
Jawapan:
PERKATAAN menghina atau mengejek, boleh dipadankan dengan istilah asal syarak seperti yang disebut di dalam al-Quran seperti al-istihza` atau istilah taskheer yang juga bermaksud mengejek atau mengolok-olokkan.
Al-Quranulkarim menyebutkan, seperti firman Allah (mafhumnya): “Dan demi sesungguhnya, telah memperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.” (al-Anbiya: 41)
Maksud ayat tersebut jelas. Allah amat memurkai orang-orang yang meengejek dan memperolok-olokkan mana-mana Rasul yang terdahulu, apatah lagi mengolok-olokkan dan mempermain-mainkan Nabi Muhammad saw.
Bagi Nabi Muhammad saw, Allah berfirman khusus untuk dirinya dengan firman-Nya (mafhumnya): “Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam);
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang amat mulia.” (al-Qalam: 3-4)
Oleh kerana itu Nabi Muhammad saw dikenali sebagai ‘sebaik-baik makhluk Allah’, ‘semulia-mulia makhluk Allah’, ‘sesempurna makhluk Allah’.
Ini menggambarkan tiada kecacatan baginda sebagai Rasul utusan Allah. Kerana itu Allah memujinya, malaikat-malaikat memujinya, malah dipuji oleh semua makhluk yang beriman kecuali mereka yang kufur kepada Allah.
Firman Allah (mafhumnya): “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (at-Taubah: 65-66)
Jika wujud sebarang elemen pengejekan, sama ada tentang kata-katanya, atau sunnahnya atau apa sahaja yang berlaku ke atas Nabi Muhammad maka rosaklah iman, cacatlah aqidah dan kufurlah orang itu terhadap Allah SWT.
Gambarannya mudah. Seperti ada orang yang mengeluarkan kata-kata mempersendakan peribadi Rasulullah saw dengan katanya (sebagai contoh):
“Muhammad seorang playboy (womaniser)”.
“Kepimpinannya seperti seorang diktator.”
“Mengamalkan kronisme.”
Atau seumpamanya. Atau mempersoalkan dan merendahkan kata-kata Muhammad dengan menyebutnya sebagai “amat tidak rasional”, “zero minded” atau “tidak ada kelas” dan sebagainya.
Atau celaan yang merosakkan aqidah seperti yang disebutkan seorang ilmuan Islam dahulu iaitu Ali Abdul Raziq dalam bukunya ‘Al-Islam wa Usulull hukmi’, beliau mencatatkan: “Muhammad tidak pernah diperintah oleh Allah untuk menegakkan negara Islam, dia hanya diperintahkan untuk menyampaikan ayat-ayat Allah sahaja. Adapun mendirikan negara Islam, pandai-pandainya sahaja, kerana inginkan kuasa dan bukan atas perintah Allah.”
Malah apa sahaja perkataan atau tindakan manusia yang mempersendakan Allah, dari segi apa sahaja, maka hukumnya berdosa besar dan rosak aqidah.
Bagi menebus kesalahan dosa seperti ini, seseorang itu hendaklah dengan disedari kesalahan itu, menyesali keterlanjuran itu dengan bersungguh-sungguh, lalu bertaubat nasuha kepada Allah dengan penuh rasa penyesalan bahawa, itu adalah kesalahan besar yang dilakukannya.
Memohon kemaafan daripada Allah dengan berjanji tidak akan mengulangi perkara sedemikian itu lagi. Mudah-mudahan dengan kesungguhan seseorang bertaubat, kesalahan akan terhapus, semoga Allah SWT akan menerima taubat itu dan selesailah permasalahan tersebut. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
*Allah amat murka mana-mana orang yang mengejek dan memperolokkan mana-mana Rasul.
0 comments:
Post a Comment