Soalan:
Setiap kali bersolat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar bilal mengingatkan makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Entah bacaan al-Quran atau hadis yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya, serta ucapkanlah salam dengan selamat sejahtera sesempurna ke atasnya. Yang hendak saya ajukan persoalan, bagaimanakah caranya Allah berselawat ke atas Nabi? Adakah sama dengan kita membaca selawat ke atasnya. Terima kasih atas penjelasan.
Jawapan:
AYAT yang dibaca adalah ayat al-Quranul Karim, bukannya hadis. Ianya adalah sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (al-Ahzab: 56)
Ia, sama seperti yang anda ajukan dalam persoalan dan ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna selawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lain.
Selawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti selawat para malaikat. Dan selawat para malaikat ke atas Nabi Muhammad saw, tidak seperti selawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka.
Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah selawat.
Selawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Selawat Allah ke atasnya bermaksud Allah SWT sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya sehingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat.
Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud: “Selawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredhaan-Nya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa.”
Selawat daripada para malaikat bermaksud, malaikat-malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad sepanjang zaman serta meredhainya.
Adapun selawat umat (kita) Muhammad kepada baginda Nabi saw adalah dengan menyebut selawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya kepada baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa.
Dari tiga perbezaan jelas bahawa istilah selawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia.
Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah saw itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat.
Malah para malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah saw.
Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.
Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu selawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 selawat.”
Oleh kerana itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa selawat ke atas nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Dalam hidup seharian, berselawat adalah sunat muakkad.
Sa`id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar al-Khattab, beliau berkata: "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut selawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis selawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus berselawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya."
Demikian hebatnya selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
0 comments:
Post a Comment