Sahabat Sejati

Thursday, 27 October 2011

Kenapa al-Quran tidak bicara IT?


Soalan:

Kesempurnaan al-Quran dipertikaikan dengan alasan logik. Dihujahkan, banyak hal tidak termasuk dalam al-Quran, contohnya perihal teknologi moden seperti IT, globalisasi dunia tanpa sempadan, rekaan-rekaan produk komunikasi yang canggih, semuanya tidak ada dalam al-Quran. Bagaimana hendak kita jelaskan kepada peragu-peragu, untuk kita mempertahankan kesempurnaan al-Quran sebagai Kitab Allah. Mohon penjelasan.

Jawapan:

AL-QURANUL KARIM adalah wahyu Allah yang sempurna. Itu adalah tsabit dengan Allah menyebut menerusi firman-Nya (mafhumnya): “...tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini...” (al-An`am: 38)

Perlulah difahami bahawa, secara al-Quran bukan buku sains moden atau yang tidak moden. Ia juga bukan buku teknologi atau manual pentadbiran harian.

Al-Quranulkarim adalah kitab hidayah, kitab petunjuk yang memandu manusia kepada hidayah Allah, Tuhan pencipta alam. Mengajak manusia supaya beriman dengan sebenar-benar iman.

Iman yang bertolak daripada dasar ilmu hak hakiki. Mengenali siapa makhluk dan siapa khaliq. Mengenali siapa yang sempurna dan siapa yang lemah, yang memerlukan hidayah daripada Allah.

Al-Quranulkarim seawal surah al-Baqarah (surah kedua), seawal ayat kedua daripada surah kedua ini Allah berfirman (mafhumnya): “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (al-Baqarah: 2)

Kesempurnaan al-Quran, hendaklah dilihat dari sudut ia ciptaan Allah (bukan ciptaan manusia). Dan tabiat penciptaan Allah selama-lamanya sempurna kerana Allah itu sempurna. Pastinya yang diciptakan itu sempurna.

Penciptaan alam semesta sebagai contoh, adalah sempurna dan Allah menyebut dalam firman-Nya (mafhumnya): “Dialah (Allah) yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
“Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” (al-Mulk: 3-4)

Apatah lagi al-Quran itu kalamullah. Ini disebut dalam firman-Nya (mafhumnya): “Yang tidak dapat didatangi (al-Quran) sebarang kepalsuan daripada mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Fussilat: 42)

Kesempurnaan al-Quran juga dapat dilihat daripada sejarah turunnya al-Quran itu kepada Nabi Muhammad saw, dari ayat pertama, seterusnya kepada ayat terakhir, walaupun pada saat turunnya ayat-ayat tersebut seperti tidak teratur atau tersusun.

Turunnya ayat-ayat al-Quran adalah mengikut keadaan dan keperluan semasa, bercampur-baur di antara satu sama lain.

Bagaimana pun al-Quran disusun semula oleh Jibril atas arahan Allah SWT, yang akhirnya menjadi sebuah kitab suci yang tidak ada sebarang kesalahan padanya sama ada dari sudut bahasa, nahu, faktanya, kisah-kisah yang disebutkan di dalamnya, susur galur keturunan para anbiya dan apa sahaja yang ada padanya. Semuanya benar.

Apakah yang akan berlaku dalam dunia moden ini, sekiranya seseorang itu buta huruf dan tidak pernah membaca sebarang buku atau kitab. Tidak pernah memegang pena untuk menulis, tiba-tiba menghasilkan sebuah buku atau kitab seperti al-Quran yang tidak wujud kepalsuan di dalamnya.

Malah penuh dengan fakta-fakta yang semakin hari terbukti bahawa al-Quran adalah benar dan tidak pernah berlawan dengan mana-mana fakta sains yang ditemui manusia hari ini.

Inilah al-Quran yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).
“(Al-Quran tetap datangnya daripada Allah yang tidak syak lagi) bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim.’ (al-Ankabut: 48-49)

apabila persoalan hidayah selesai dengan panduan al-Quran yang sempurna dan manusia beriman dengan Allah, maka masalah-masalah lain seperti yang anda sebut, memang semuanya ada asas-asasnya dalam al-Quran.

Contohnya seperti asas al-Quran untuk mencari ilmu, menyelidik, mengkaji dan menerokai ilmu fardhu kifayah, sains teknologi dan sebagainya.

Semua asas itu ada di dalam al-Quran. Maka kerana itu kita perlu fahami bahawa al-Quran adalah kalamullah yang sempurna dan walaupun tidak disebut secara terperinci atau fakta kecil atau ilmu yang anda sebutkan dalam persoalan, ia tidak sama sekali menjejaskan kesempurnaan al-Quran.

Jika semua ilmu yang anda tanyakan mahu disebut dalam al-Quran, anda bayangkanlah akhirnya ia akan menjadi berapa ratus atau beberapa ribu jilid pun tidak habis al-Quran.

Maka al-Quran yang ada hari ini sudah lengkap sebagai kitab hidayah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

2 comments:

cherry_ijau said...

alhamdullillah ~ al-Quran petunjuk yang sempurna tak kira zaman .

abuikhwan said...

benar, sesuai di setiap zaman...

Post a Comment