Bulan Syawal telah pun berakhir, tidak terasa ianya berlalu. Ini juga memberi makna tamatlah tempoh untuk melaksanakan puasa enam hari di bulan syawal. Syabas kepada mereka yang berjaya melaksanakannya saban tahun. Mudah-mudahan ianya diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda, sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Buat mereka yang masih tidak `mampu` mengerjakannya, alangkah rugi. Tahun hadapan belum tentu, mungkin kematian mendatangi kita sebelum sempat bertemu dengan Ramadhan atau pun Syawal. Siapa tahu!
“Sunat aje, bukannya wajib,” mungkin kata `mereka` yang berkenaan.
Benar, puasa enam hari di bulan Syawal hanyalah sunat. Terpulang pada siapa yang mahu melaksanakannya atau tidak. Tetapi kita harus ingat bahawa semua amalan sunat adalah penampal kepada amalan wajib. Siapa yang boleh menjamin bahawa puasa Ramadhannya yang lalu sempurna tanpa sebarang cacat cela walaupun sedikit. Tiadakan? Oleh itu dengan puasa enam hari di bulan Syawal, sekurang-kurangnya ia dapat memperbaiki kekurangan yang terdapat di dalam puasa Ramadhan yang lalu.
Satu hadis daripada Rasulullah saw:
عَنْ أَبِي أَيُّوْبَ الأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالَ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ . رَوَاهُ مُسْلِمٌ وَأَحْمَدُ وَأَهْلُ السُّنَنِ
Daripada Abi Ayyub ra, sesungguhnya Nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian dia ikuti dengan (berpuasa sunat) enam hari dari bulan Syawal, maka (ganjarannya) bagaikan dia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim: II/822; Ahmad: V/147; dan Ahli Sunan)
Abu Hurairah ra. ketika menafsirkan hadis ini berkata bahawa hitugan berkenaan adalah benar. Sebagaimana firman Allah SWT bahawa sesiapa yang membuat satu kebaikan maka dia mendapat sepuluh kali ganda kebaikan.
Oleh yang demikian, Abu Hurairah menghujahkan bahawa puasa pada bulan Ramadhan selama 30, hari ganjaran pahalanya sama dengan berpuasa 300 hari. Sementara itu, tambahan 6 hari dalam bulan syawal bersamaan 60 hari. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 360 hari kerana dalam setahun mengikut taqwim Hijrah ada 355 hari, manakala mengikut taqwim Masihi ada 365 hari. Puratanya sebanyak 360 hari. Jadi, secara logiknya orang yang berpuasa 30 hari Ramadhan ditambah dengan 6 hari Syawal seumpama berpuasa setahun.
Begitu juga dengan saranan berpuasa 3 hari setiap bulan pada 13, 14, 15 haribulan Hijrah. Jika dihitung dalam setahun ia berpuasa sebanyak 36 hari, yang bermakna sebanyak 360 ganjaran pahalanya.
Sebagaimana hadis Rasululah saw: Dari Abdullah bin Amr bin al-Ash ra. telah bersabda Rasulullah saw, “Berpuasalah 3 hari dari tiap-tiap bulan adalah sama dengan berpuasa setahun penuh.” (Mutafaqun `alaihi)
Lumayan!
Raya yang sebenar raya
Bulan Zulkaedah menjelma kini. Sedangkan rumah terbuka masih lagi tersisa, belum habis lagi jemputannya. Banyak pula jemputan rumah terbuka pada tahun ini. Sama ada dari rakan-rakan maupun agensi-agensi yang berkaitan.
Sebenarnya rumah terbuka tiada kaitan dengan hari raya, ia cuma adat kita di Malaysia bagi mereka yang mempunyai wang. Seingat saya di tahun 70-an, 80-an dan 90-an tiada rumah terbuka. Yang ada rumah kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang sentiasa terbuka untuk dikunjungi pada hari raya. Tetapi tidaklah salah untuk membuat rumah terbuka jika berkemampuan. Saya menumpang gembira dan menumpang makan...
Bercerita tentang raya, teringat satu kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz di masjid tempat saya. Menurutnya, hari raya yang sebenarnya bagi orang beriman ada lima keadaan. Semestinya ia direbut dengan bersungguh-sungguh.
Apakah 5 hari raya itu?
Saya menanti butir-butir mutiara seterusnya yang bakal terbit dari kelopak mulutnya.
Sekiranya kita tidak melakukan sebarang dosa pada satu hari, maka ia adalah hari raya bagi kita. Bagi saya memang mustahil, sebagai manusia biasa tidak mungkin kita tidak melakukan dosa dalam sehari, melainkan para Rasul sahaja yang maksum. Namun berusahalah bersungguh-sungguh untuk mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Saat menghembuskan nafas yang terakhir dalam keimanan dan terselamat dari tipu daya syaitan. Kesakitan menghadapi sakaratul maut tidak terperi dahsyatnya, sebagaimana digambarkan oleh ulama, kesakitannya seperti ditusuk dengan 1000 tikaman pedang, seperti kulit yang disiat dan sebagainya. Malahan kematian itu adalah kiamat kepada si mati. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang menetapkan siapakah yang akan mati dalam keadaan husnul khatimah. Mudahan-mudahan kita tergolong di kalangannya.
Sekiranya kita selamat melintasi titian Siratul Mustaqim, sedangkan dibawahnya menjulang-julang api neraka. Sebelum itu, setiap individu akan melalui persoalan dan timbangan. Sesiapa yang menyeleweng dari jalan-Nya akan terjerumus ke dalamnya. Betapa dahsyat dan ngerinya keadaan itu.
Hari kita masuk syurga adalah hari raya seterusnya bagi orang beriman. Syurga adalah pilihan setiap orang. Tanyalah pada sesiapa pun, walau pun pada orang bukan Islam, mereka juga inginkan syurga. Namun penghuni syurga adalah mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan dan kelazatan yang tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun..
Hari raya yang paling hebat dan menggembirakan ialah apabila Allah SWT mengizinkan melihat wajah-Nya. Itulah setinggi-tinggi nikmat hari raya sehingga kita terlupa kepada kenikmatan yang lain.
"Mudah-mudahan kita terpilih di dalam golongan tersebut. Marilah kita berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi mereka yang terpilih itu." katanya mengakhiri kuliah pada malam itu.
0 comments:
Post a Comment