Apakah formula amalan yang boleh menyebabkan disayangi oleh Allah SWT dan dalam masa yang sama manusia turut menyayangi? Tentu sukar sekali mencari jawapannya.
Realitinya jika seseorang itu disayangi oleh Allah SWT dalam waktu yang sama tidak mustahil ramai pula manusia membencinya. Manakala jika seseorang itu disayangi oleh manusia, mungkin Allah SWT pula murka kepadanya.
Kebanyakannya untuk meraih kasih sayang dan perhatian, maka kehendak satu pihak terpaksa dikesampingkan. Kebiasaannya seseorang akan tunduk kepada kemahuan dan desakan manusia walaupun ianya belum tentu kebenarannya. Dan mereka, tanpa rasa bersalah akan melalaikan kehendak atau kemahuan Allah SWT. Sedangkan kehendak Allah mestilah didahulukan mengatasi kehendak yang lain, hatta kehendak ibu bapa sendiri.
Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnyah dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36)
Perintah Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak, ianya mesti dipatuhi sama ada suka atau benci. Susahkah untuk mentaati perintah Allah?
Jawapan tidak!
Jika kita sentiasa mematri di dalam minda bahawa apa sahaja yang diperintahkah baik suruhan ataupun tegahan adalah kebaikan yang akhir memberi keuntungan kepada kita. Ya, Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-Nya, tetapi hamba-Nyalah yang menzalimi diri sendiri
Formula disayangi
Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.
Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya. Tiada satu pun perkara yang diabaikan oleh Islam dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesarnya.
Bagaimana mahu disayangi oleh Allah SWT dan manusia?
Islam telah mengemukakan satu formula sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat yang bernama Sahal bin Saad yang mendengar dari Rasulullah saw.
Suatu hari Sahal bin Saad ra. berada dalam majlis Nabi saw, lalu datang seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw: “Ya Rasulullah! Ajarkan kepadaku sejenis amalan yang sekiranya aku lakukan menyebabkan Allah SWT sayang kepadaku dan manusia juga sayang kepada aku.” Lalu Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu zahid terhadap dunia nescaya Allah sayang kepadamu, dan hendaklah juga kamu zahid akan kekayaan dunia yang ada ditangan orang lain, nescaya orang akan sayang kepadamu.” (Riwayat at-Tirmidzi)
Allah SWT amat sayang kepada orang yang bersikap zuhud supaya tidak lupa akan tujuan hidupnya beribadat kepada Tuhan. Tetapi, zuhud bukan bermakna meninggalkan dunia atau melupakan habuannya di dunia ini sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang. Satu kesilapan jika kita maksudkan zuhud itu meninggalkan kepentingan dunia sehingga dunia ini diwarisi oleh tangan-tangan orang yang tidak baik, lebih-lebih lagi tangan-tangan kuffar. Maka akan rosaklah dunia ini. Jika demikian, tidak wujud dalam sejarah umat Islam orang-orang seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan lain-lainnya.
Lihatlah kemurahan hati Abdul Rahman bin Auf yang menghadiahkan kesemua harta dagangan dan 700 ekor unta demi kepentingan akhirat. Beliau seorang yang zuhud terhadap harta dunia. Kekayaan berada di tangannya tetapi tidak melekat di hatinya.
Zuhud juga bukanlah bermakna kemiskinan, kerana kemiskinan itu akan menyiksa dan meresahkan jiwa. Berapa ramai yang menjual diri dan agamanya ekoran dari kemiskinan.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik; sabda Rasulullah SAW: "Hampir saja kefaqiran membawa kepada kekufuran dan hampir sahaja sifat hasad mengalahkan ketetapan qadar (Allah).” Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman (juz 14, Hlm 125) dan juga al-Quda`i dalam Musnad beliau (juz 2, hlm 425).
Akan tetapi zuhud itu adalah tidak lupa apabila diberikan kesenangan dan tidak pula terlalu mengeluh apabila susah. Dengan erti kata lain, kesenangan dan kesusahan itu tidak mengawal dirinya. Harta tidak menguasainya akan tetapi dialah yang menguasai harta.
Kebanyakan tercetusnya persengketaan dan perbalahan di kalangan masyarakat manusia adalah kerana tersemainya sifat tamak terhadap kekayaan orang lain, keinginan untuk menguasai harta pihak lain. Maka terbitlah bibit-bibit kebencian yang boleh mengundang peperangan yang dahsyat.
Oleh itu, Islam yang sejahtera menganjurkan manusia agar bersifat zuhud terhadap harta kepunyaan orang lain. Mengapa ya? Kerana dengan sifat itu bererti dia tidak menyusahkan orang lain dan membibitkan suasana harmoni, damai dan sejahtera di kalangan masyarakat.
Inilah formula yang diajar oleh Nabi saw untuk kita ikuti. Marilah kita mempraktikkannya.
Zuhudlah terhadap dunia dan apa yang ada ditangan manusia. Nescaya anda akan disayangi oleh Allah SWT dan manusia seluruhnya.
2 comments:
Assalam,
Zuhud eh...Nice sharing.
http://nurqasehbiz.blogspot.com/
semoga bermanfaat...
Post a Comment