Sahabat Sejati

Sunday, 21 August 2011

Apa pandangan Islam terhadap ISA?


Soalan:

Apakah pandangan Islam terhadap hukuman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan diminta diberikan dalil-dalilnya.

Jawapan:

ISA begitu terkenal dalam masyarakat, khususnya orang-orang politik. Sebut sahaja ISA sudah cukup untuk meremang bulu tengkuk. Gerun dan amat menyayat hati apabila kita singkap kisah-kisah yang berlaku disebaliknya.

ISA dihasilkan pada zaman keselamatan negara amat terancam oleh anasir-anasir komunis. Pada era pasca Perang Dunia kedua, di mana komunis bermaharajalela dengan pelbagai keganasan berlaku sebagaimana dimaklumi ramai, hingga ke era Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957.

Pada zaman itu pegawai-pegawai keselamatan, belum sampai ke tahap mengendalikan keselamatan dengan benar-benar berkesan dan terjamin keselamatan negara.

Darurat menjadi satu fenomena yang dihadapi semua anggota masyarakat. Pelanggaran undang-undang bermaharajalela, yang pada ketika itu, amat wajarlah undang-undang yang dinamakan ISA dengan menahan orang-orang yang disyaki, tanpa dibicarakan.

Kini, kita telah 54 tahun merdeka. Pegawai-pegawai keselamatan boleh dikatakan lengkap. Mereka boleh mengendalikan soal keselamatan umum. Mahkamah-mahkamah telah canggih. Pegawai-pegawai yang terlatih dalam bidang-bidang berkaitan semuanya telah tersedia.

Maka sepatutnya semua kes yang melibatkan keselamatan jika benar-benar ada, hendaklah dibawa ke muka pengadilan, dengan memberi hak kepada yang dituduh untuk membela diri, dan boleh dihukum, jika ia benar-benar bersalah.

ISA kini adalah suatu kuasa menahan atau memenjarakan seseorang itu tanpa sebarang tuduhan atau sebarang kesalahan yang jelas dituduh seseorang itu melakukannya.

Mengapa tidak dibawa orang yang tertuduh itu di bawah undang-undang yang sedia ada?

Islam adalah agama sejagat. Undang-undangnya dari Allah SWT. Undang-undang Allah lengkap dan sempurna, mencakupi segala aspek kehidupan.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.

Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng), daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia dijadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." (al-Maidah: 48)

Di bidang undang-undang, Allah menetapkan perkara yang amat penting padanya, iaitu mestilah adil.

Firman Allah (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesunggunya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (al-Maidah: 8)

Untuk mendapatkan keadilan, Islam mengamalkan dasar keadilan yang diterima umum dalam perundangan iaitu' yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.'

Islam telah lama mengamalkan prinsip itu dengan hadis Rasulullah saw yang jelas (mafhumnya): "Jika yang menuduh dan yang kena tuduh berada di hadapanmu (kadi), maka jangan sesekali kamu menghukum sebelum kamu mendengar hujah-hujah kedua-duanya dengan teliti."

Di dalam hadis riwayat Imam at-Tirmidzi, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Bebanan pembuktian adalah terletak ke atas orang yang membuat tuduhan, dan yang kena tuduh, hendaklah membuktikan sebaliknya."

ISA seolah-olah menafikan hak orang yang kena tuduh. Ia menafikan hak seseorang itu membuat penafian di mahkamah, iaitu menurut proses pendakwaan dan penafian yang sah.

Oleh itu mereka yang dipenjarakan tanpa pembicaraan adalah suatu kezaliman. Keadilan ke atas orang yang kena tuduh adalah berkaitan dengan hak asasi manusia sejagat. Hak itu perlulah dijaga dengan baik.

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (an-Nisa`: 58)

Ingatlah bahawa Allah SWT menerima permohonan orang yang kena zalim, sama ada lambat atau cepat. Yang pasti di akhirat nanti Allah akan menolong orang yang kena zalim dan membalas si zalim di atas kezalimannya.

Oleh itu kita yang berada pada zaman yang serba canggih dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan asas untuk menegakkan keadilan kepada masyarakat, amat wajar undang-undang yang ada unsur-unsur kezaliman seperti ini, dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang yang jelas memberikan hak kepada seseorang tertuduh untuk mendapat keadilan dalam mempertahankan haknya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

1 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum ustaz.

alhamdulillah,ilmu baru.syukran

Post a Comment