Ketika sedang membelek-belek helaian majalah Solusi, saya dikejutkan dengan SMS dari seorang rakan.
“Al-Fatihah buat sahabat kita, Ismail Nakiudin yang telah kembali ke rahmatullah maghrib tadi kerana terlibat dalam kemalangan yang melibatkan bas…”
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji`un.
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji`un.
Terpempan saya seketika dengan berita ini, tidak disangka-sangka. Saya tidaklah mengenali beliau dengan rapat, dan apa yang saya tahu beliau merupakan seorang yang istiqamah dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.
Kemalangan bas ekspres
Bagaikan menjadi ‘trend’ pula kebelakangan ini, kemalangan yang melibatkan bas ekspres. Boleh dikatakan sekarang ini, saban hari berita yang terpapar menghiasi dada-dada akhbar, bas ekspres terbalik di sana, bas ekspres terbabas di sini, lepas satu…satu. Saya sendiri turut khuatir untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk perjalanan yang jauh. Tetapi jika tiada alternatif lain, terpaksa juga menggunakannya. Hanya berserah kepada Allah segala urusan.
Islam adalah penyelesaian
Saya amat tertarik dengan apa yang disebut oleh Ustaz Nasrudin Tantawi tatkala ditanya mengenai jalan penyelesaian kemalangan jalan raya. Katanya, kita mesti kembali kepada Islam kerana Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah. Bukan hanya pada undang-undang jenayah seperti hudud dan qisas, tetapi pada penyelesaian kemalangan jalan raya pun perlu balik pada undang-undang Islam. Tentu pelikkan, bagaimana penyelesaian kemalangan jalan raya pun ada dalam undang-undang Islam. Bagaimana?
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda :
”Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah setiap hari.
Mendamaikan orang berselisih adalah sedekah. Menolong orang menaiki kenderaan, ataupun mengangkat barangnya ke atas kenderaan, adalah sedekah. Ucapan yang baik juga sedekah. Setiap langkah pergi solat ke masjid itu sedekah. Menyingkirkan benda merbahaya di jalanan juga sedekah.” (Sahih Muslim: Hadis ke 962).
Sebahagian ulama` menyebut bahawa hadis ini adalah satu hukum yang sunat muakkad iaitu hampir wajib, ini kerana Nabi saw menyebut kalimah sedekah, yang mana hukum sedekah adalah sunat. Manakala hanya sedikit sahaja dikalangan ulama` yang mengatakan wajib kerana benda-benda yang merbahaya itu boleh menyakiti, merosakkan dan membinasakan.
Sebagai contoh, jika di sebatang jalan ada satu lopak yang besar serta dalam dan kita melaluinya setiap hari, dalam masa yang sama kita hanya membiarkan serta tidak mengambil apa-apa tindakan kerana bagi kita ia bukan satu masalah, tetapi bagaimana jika ada orang yang tidak biasa melaluinya, mungkin akan menyebabkan kemalangan jika terjatuh. Jadi lopak itu adalah benda yang menyakiti dan membinasakan.
Saya ingin luaskan lagi skop benda-benda yang ‘menyakiti’ di jalanan iaitu papan tanda iklan yang menunjukkan gambar wanita separa lucah yang terdapat di tepi serta simpang-simpang jalan. Contohnya iklan telefon bimbit yang menunjukkan seorang perempuan sedang memegang telefon bimbit tersebut. Gambar perempuan tersebut besar tetapi gambar telefon kecil sahaja. Kemudian tertera tulisan “belilah telefon ini”. Jika dilihat pada gambar sepatutnya di tulis “belilah perempuan ini”, kerana yang di fokus adalah gambar perempuan tersebut.
Begitu juga ada satu iklan ‘lining brake’ yang terletak di persimpangan satu tempat. Besar papan iklannya, yang memaparkan sorang perempuan sedang berbaring dan ‘lining brake’ kecil sahaja terletak dihujung kepalanya. Kita berasa hairan hendak jual ‘lining brake atau perempuan tersebut. Itu yang menyebabkan terbabas agaknya.
Tetapi bukanlah semua kemalangan itu disebabkan oleh papan iklan, banyak lagi faktor-faktor lain yang perlu diperhalusi bersama. Mungkin faktor pemandu, kenderaan, jalan raya dan sebagainya yang menyumbang kepada masalah ini..
”Apabila kamu bermusafir dalam bilangan 3 orang maka hendaklah lantik seorang ketua.” (maksud hadis).
Jika kita menaiki kapal terbang, kita akan lihat ada pramugari yang bertindak sebagai ketua pramugari yang memperkenalkan dirinya serta memberi info tentang peraturan keselamatan dan langkah-langkah yang perlu diambil jika berlaku sebarang kecemasan. Kita diajar cara memakai tali pinggang keselamatan serta bila patut memakainya. Kita diajar bagaimana mengendalikan corong oksigen dan sebagainya.
Mengapa tidak boleh kita praktikkan peraturan sebegini di dalam bas. Contohnya rombongan seramai 40 orang, dilantik seorang ketua. Ketua akan memberi sedikit taklimat keselamatan, membaca doa safar sebelum bergerak. Ketua juga akan memantau pemandu iaitu memastikan pemandu sentiasa segar, jika mengantuk tukar pemandu kedua.
Penutup
Mungkin ada yang sinis bila diajukan idea ini. Mungkin ada yang ketawa mendengar idea ini, mungkin sampai berguling.
“Tidak relevan..tidak relevan, mengarut sahaja.”
Ini hanya sebagai salah satu cadangan penyelesaian di antara banyak penyelesaian yang lain. Sama-sama kita berfikir. Tepuk dada tanya iman.
0 comments:
Post a Comment