Soalan:
Saya tidak banyak belajar fasal hukum-hukum agama, tetapi komited dalam melaksanakan suruhan Allah, terutama dalam soal solat. Dalam masa perjalanan (musafir), saya lebih selesa solat sempurna, tidak jamak tidak qasar kerana ada masa dan mudah disempurnakan. Lagipun perjalanan sekarang terdapat banyak kemudahan dan keadaan aman tidak diganggu. Ada ustaz kata kepada saya tidak boleh buat macam itu. Semasa musafir perlu qasar dan jamak. Saya celaru. Bolehkah Dato` jelaskan.
Jawapan:
Syabas kerana anda komited melaksanakan perintah Allah. Perkara asas yang perlu kita fahami, bahawa solat fardhu mesti dilaksanakan, walaupun dalam perjalanan (musafir).
Solat dalam perjalanan yang diharuskan syarak, tidak wajib atau tidak mesti dijamak dan diqasar. Hukumnya harus dijamak dan qasar, dan harus di qasar sahaja tanpa jamak. Dan harus dilakukan seperti biasa.
Persoalan cara manakah yang terbaik. Solat tamam (sempurna) tanpa qasar dan jamak boleh dilakukan, tetapi telah ada peruntukan di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat, jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa`: 101).
Meskipun ayat di atas menyatakan keharusan solat tersebut berdasarkan suasana yang tidak aman dan dibimbangi diserang oleh musuh, akan tetapi hukum sebenarnya bukan kerana itu diharuskan qasar.
Diharuskan qasar kerana perjalanan ataupun safar. Al-quran menyebut begitu kerana pada permulaan Islam dahulu, keadaannya begitulah, orang Islam sentiasa diganggu gugat oleh musuh.
Diriwayatkan dalam satu hadis: “Ya`ali bin Umayyah berkata kepada Umar al-Khattab, “Mengapa kita masih mengqasarkan solat sedangkan kita sudah aman daripada gangguan musuh?”
Umar menjawab, “Aku pun pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang hal itu, lalu Rasulullah saw menjawab kepadaku bahawa keharusan memendekkan solat ketika dalam perjalanan itu adalah suatu sadaqah atau hadiah Allah kepada hamba-Nya, maka terima sahajalah sadaqah itu. (Muslim).
Adapun jamak (menghimpunkan) solat daripada dua waktu menjadi satu waktu, adalah sabit dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Rasulullah saw menjamakkan solatnya, pernah dilakukan jamak taqdim dan pernah dilakukan jamak takhir.
Persoalannya manakah yang lebih afdal solat orang yang musafir? Solat tamam afdal atau solat jamak yang afdal?
Mazhab as-Syafie dan Hambali berpendapat bahawa qasar dan jamak itulah yang afdal, kerana Rasulullah menyebut ia sebagai sadaqah atau hadiah daripada Allah SWT.
Elokkah hadiah daripada Allah SWT itu kita menolaknya? Rasulullah saw dan para sahabat dalam musafir mereka sentiasa mengqasarkan solat.
Sahabat-sahabat Rasulullah saw khususnya Khulafa ar-Rasyidin melakukan yang sedemikian itu.
Mengikut amalan Rasulullah saw sewaktu dalam perjalanan, adalah lebih baik dari menyalahinya.
Meskipun hukum amalan itu disemuafakati tidak wajib. Adalah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita, seperti yang saudara persoalkan di atas, menjadi lebih selesa bersolat tamam dan tidak jamak dalam perjalanan.
Akan tetapi sesudah anda mengetahui bahawa Rasulullah saw sendiri pun tidak pernah bersolat sempurna ketika bermusafir, demikian juga para sahabat, maka adakah anda berasa lebih selesa untuk tidak mengikuti amalan Rasulullah?
Lebih-lebih lagi kita ketahui bahawa ia suatu hadiah daripada Allah SWT, maka elokkah hadiah itu ditolak? Siapalah kita hendak menolak hadiah daripada Allah? Maka renung-renunglah. Wallahu a`lam.
Sumber: Bersama DATO` DR HARUN DIN
(Harakah bil: 1581)
0 comments:
Post a Comment