Sahabat Sejati

Saturday, 13 November 2010

Bolehkah diberi daging korban kepada non-Muslim?

Soalan:

Saya ada kemusykilan mengenai daging korban yang diberi kepada bukan Islam (non-Muslim) untuk memakannya, sama ada diberi daging mentah atau yang sudah dimasak. Ini kerana ada yang mengatakan daging korban tidak boleh diberi kepada orang kafir sama ada mentah atau yang dimasak. Kita sedang mendekati masa berkorban, mohon penjelasan Dato`.

Jawapan:

Korban dan akikah adalah ibadah sunnah. Dalam Mazhab as-Syafie, ia adalah sunnah al-muakkadah.

Kadang-kadang ibadah itu menjadi wajib. Wajibnya kerana seseorang itu bernazar untuk melakukan korban atau akikah.

Apabila yang dinazarkan itu berhasil, maka wajiblah seseorang itu melaksanakannya. Akikah dan korban jenis inilah yang ia wajib diberikan daging-daging itu kepada semua orang yang hendak diberikan.

Hatta dirinya sendiri pun tidak boleh memakannya dan tidak boleh diberikan kepada orang kafir. Ia adalah kerana seseorang itu bernazar.

Adapun akikah atau korban yang tidak wajib ertinya sunat atau sunat muakkad, maka Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.” (al-Hajj: 28).

Dan firman Allah SWT (mafhumnya): “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).” (al-Hajj: 26).

Al-Quran secara umumnya, dengan tidak mengkhususkan kepada orang Islam sahaja, untuk diberikan daging korban itu.

Dengan demikian kita boleh faham bahawa daging korban dan akikah itu, boleh diberikan kepada sesiapa sahaja.

Oleh kerana itu maka ulama` mengharuskan daging tersebut diberi, hatta kepada orang kafir, sama ada yang masih mentah atau yang sudah dimasak.

Dalam Mazhab al-Maliki, disebut dengan jelas dalam kitab Kasyaful Qinak, pada juzuk 2 halaman 19, dengan menyebut: “Dan diharuskan dihadiahkan daging korban atau akikah yang sunat itu kepada orang kafir. Adapun yang wajib, maka tidak harus.”

Pernahkah anda terfikir bahawa, banyak daging-daging korban dan akikah, ada yang tidak dimanfaatkan manusia, seperti pada musim haji berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Disembelih dan dibiarkan bergelimpangan di padang pasir di Mina. Dimakan oleh haiwan dan burung-burung sahaja. Akhirnya dikambus di dalam tanah. Puluhan ribu ekor, hanya untuk makanan haiwan atau ditanam sahaja.

Kalaulah haiwan boleh memakan daging korban, apakah orang kafir lebih teruk daripada haiwan?

Sehingga sekarang ini pun masih ada saki-baki daging-daging korban yang dicampak atau dibiarkan kerana terlalu banyak. Malah ada yang dimakan oleh anjing, kucing dan sebagainya.

Oleh kerana itu maka ulama`-ulama` mengharuskan daging korban itu dimanfaatkan oleh manusia, sama ada yang Islam atau tidak Islam . Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
Harakah bil. 1587

0 comments:

Post a Comment