Sahabat Sejati

Saturday, 27 March 2010

Talian hayat untuk Gaza - menerobos tembok kematian

Lebih 1.5 juta orang penduduk Gaza meneruskan kehidupan seharian mereka dalam keadaan serba kesempitan dan kekangan akibat sekatan berterusan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya.

Sekatan yang dikenakan sejak bermulanya Intifadah Al-Aqsa pada bulan November 2000 berterusan hingga ke saat ini, dimana rakyat Gaza dihalang dari mendapatkan hak asasi kemanusiaan – kebebasan untuk bergerak, mendapatkan pendidikan, bekalan makanan dan air – mereka diasingkan sama sekali dari dunia luar.

Israel menghina dunia dengan melanggar Konvensyen Geneva dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa apabila terus membina Tembok Kematian, mengurung Palestin dengan tembok batu setinggi dari 8 hingga 15 meter. Tidak cukup dengan kurungan itu, kerajaan Mesir juga bertindak membina Tembok Besi bagi menutup sebarang laluan di sepanjang sempadan Gaza – Mesir.

Serangan brutal Zionis Israel kea atas Gaza dari 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009 sama sekali meranapkan kehidupan di Gaza. Rumah kediaman, sekolah, universiti, hospital, kilang-kilang, jalanraya, malahan apa sahaja yang perlukan untuk kehidupan dirosakkan atau dimusnahkan. Setelah dimusnahkan sedemikian rupa, mereka dihalang dari mendapat bantuan luar, disekat dari turun ke laut dan diserang hampir setiap hari...dapatkah kita bayangkan kehidupan seperti itu?

Kini Gaza telah sekian lama dipisahkan dari kita – dari udara, darat maupun laut. Apakah cukup kita hanya terus bersimpati?

Inilah masanya untuk kita bergabung tenaga, fikiran dan sedikit dari apa yang kita miliki bersama masyarakat antarabangsa menentang kejahatan Zionis Israel dan sekutunya dengan menerobos sekatan yang mereka bina.

Ayuh kita mulakan langkah menghancurkan tembok kematian di Gaza. Jangan biarkan diri kita sekadar menjadi pemerhati yang membiarkan kerakusan Israel merobek hak manusia lain dari hidup dengan aman damai.

 
(Sumber: Risalah HALUAN Palestin/2010)

0 comments:

Post a Comment