Sahabat Sejati

Tuesday, 30 March 2010

Harga sebuah ketenangan

“Dulu saya pernah di sanjung ramai tapi kini saya terus berbangga walaupun tidak lagi sehebat dulu.”

“Saya pula walaupun tidak menjadi penyanyi utama kumpulan dan hanya pemain gitar utama, turut terasa bahang kemasyhuran apabila gambar sering terpampang di dada akhbar.
Namun itu hanya sementara dan sekarang jiwa saya benar-benar tenang.”

(Kata-kata dua orang bekas artis yang pernah mengecapi zaman popular )

“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud:112)

Antara kesenangan dan ketenangan ternyata ketara perbezaannya. Mungkin dengan beberapa lembar ringgit tidak sulit untuk memperolehi kesenangan. Namun belum tentu beroleh ketenangan dan ketenteraman, kerana bukan senang syarat tenang. Manakala jika tenang insya-Allah pasti melahirkan kesenangan. Itulah hakikat yang menjadi dambaan setiap manusia.

Sebahagian manusia beranggapan bahawa ketenangan itu hanya diperolehi dengan kesenangan, maka berlumba-lumbalah mencari kesenangan, menumpukkan kekayaan, rumah besar, kereta besar, kerjaya yang hebat dan sebagainya. Namun tercapaikah ketenangan.

Cerita ustaz

Disebut dalam sebuah kitab, seorang raja dihadiahkan orang sebuah piala minuman bertatahkan permata fairuz. Piala itu sangat cantik dan amat berharga. Raja sangat gembira menerima hadiah itu. Apabila seorang hukama datang berjumpa dengannya, raja itu bertanyakan kepadanya mengenai piala tersebut. Hukama itu berkata, “aku tidak lihat apa-apa dari piala itu kecuali bala dan fakir.”

Raja tercengang dan berkata, “mengapa kamu berkata begitu?” Hukama itu menerangkan, “kalau piala itu pecah, sudah tentu ia tidak boleh dibaiki lagi dan hati tuanku akan menjadi susah atas bala yang menimpa. Kalau dicuri orang pula, tuanku akan bersedih atas kehilangan itu dan berasa seperti seorang fakir. Bahkan sebelum tuanku mendapat piala ini, tuanku tidak ada rasa apa-apa bahkan senang dengan keadaan begini, tentu tuanku berasa amat sedih.”

Takdir Tuhan, selang beberapa bulan, piala yang disayangi raja itu pecah berkecai. Raja itu sangat sedih dan hampa atas kehilangan piala itu. Dia kembali berjumpa hukama itu dan mengaku atas kebenaran kata-katanya.

Kisah ini jelas membuktikan bahawa harta dunia yang kita sayangi tidak memberi apa-apa makna jika ia tidak dipandu atas dasar iman. Dan apa yang kita takuti ia pula menjadi satu musibah kepada kita.
Harga ketenangan 
Ketenangan...ketenteraman...amat mahal harganya. Belum tentu diperolehi walaupun berharta dan memiliki segalanya. Oleh itu carilah formula ketenangan yang telah disediakan oleh agama. Pasti mujarab, pasti tidak kecewa.

Tiada kekuatan apa pun yang mampu menggoyahkan jiwa seseorang yang mendapat curahan rahmat Allah.

Tiada kegelapan apa pun yang dapat menyesatkan jiwa yang di dalam lindungan-Nya.

Tiada keresahan yang mampu merobek jiwa seseorang yang mendapat kasih sayang Allah.

Sebaliknya hati yang ‘terputus’ dengan tali ikatan Allah amat sulit untuk mengecap tenteramannya kehidupan. Demikianlah jiwa yang gelap tanpa sinar petunjuk-Nya, jalannya berliku dan bergelombang tanpa cahaya kebenaran-Nya.

“Wahai manusia, kamulah yang faqir dan berkehendak kepada Allah, dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa jua pun) lagi Maha Terpuji.” (Al-Fathir: 15).

0 comments:

Post a Comment