Sahabat Sejati

Wednesday, 1 October 2014

Syafakallah duhai sahabatku...bersabarlah

Insaf! 

Mungkin itulah kalimah yang tepat dapat saya gambarkan perasaan ketika ini. Ia bukan suatu yang dibuat-buat tetapi memang benar-benar dirasai.

Semalam saya menyertai beberapa rakan mewakili jabatan, menziarahi seorang sahabat yang terlantar di hospital. Beliau telah pun dua bulan bercuti sakit. Manakala semalam genap seminggu menjalani pembedahan kedua setelah pembedahan pertama yang memakan masa selama 13 jam, mengalami masalah kerana terdapat kebocoran pada ususnya di bahagian yang disambung. Ngeri juga mendengarnya. Selang tiga hari pembedahan kedua terpaksa dilakukan. Ibarat kata kesan bius pun belum hilang sepenuhnya, terpaksa merelakan diri ditolak ke bilik bedah sekali lagi.

Terkejut saya melihat susuk tubuhnya. Jelas sekali dia agak kurus berbanding sebelum ini. Dua tiga wayar berselirat bersambung ke tubuhnya, manakala ususnya pula terletak di luar perut. Ia seakan menceritakan betapa seriusnya penyakit yang dihidapi.

“Nanti kena ‘operation’ sekali lagi, nak masukkan semula usus ni.” Katanya perlahan tetapi masih mampu menguntumkan senyuman.

“Hmm, tabah sungguh sahabat ini.” Saya berkira-kira di dalam hati.

Ujian kesakitan


Kita semua menginginkan kesihatan yang baik. Tanyalah sesiapa pun, jawapan tetap sama: “Kami tidak mahu sakit.”

Kesihatan adalah di antara nikmat yang tidak terperi. Ia bagaikan kehidupan itu sendiri. Harganya terlalu mahal, bahkan tidak mampu dibayar oleh sekaya mana orang pun. Kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Ya, bagaimana mahu berseronok dengan kehidupan jika tiada kesihatan yang baik. Bayangkan, makanan yang lazat, tilam yang empuk dan harta yang banyak, apakah ia memberi makna? Sudah tentu tidak. Lazimnya nikmat sihat dirasai berharga apabila ditimpa sakit.

Sesetengah golongan solehin adakalanya waktu sakit menjadi saat yang paling subur untuk beribadah kepada Allah. Mereka tahu bahawa ujian kesakitan yang dihidapi adalah peringatan dan pelajaran yang disampaikan ‘direct’ kepada mereka, lalu mereka bersyukur dengan kesakitan itu. Bahkan mereka sentiasa merasakan ujian kesakitan tersebut, adalah waktu Allah sedang mengambil tahu hal keadaan mereka. Oleh itu, mereka akan beribadah dengan sekhusyuk dan sebanyak mungkin kerananya.

Sebaliknya bagi sesetengah orang awam, ketika sakit adalah ruang alasan untuk meninggalkan ibadat. Ramai yang begini. Apalah yang mahu diharapkan tatkala badan sedang sakit, yang pasti kemalasan mula menguasai diri. Lantas ibadah yang fardhu banyak yang tertinggal atas alasan ‘SAKIT’. Mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada keadaan ini. Allahu al-musta`an.

Syafakallah duhai sahabatku...

Cukuplah kesakitan itu sebagai pengajaran dan peringatan kepada sesiapa yang mahu berfikir...

2 comments:

Kakzakie said...

Setiap kita pasti ada ujian yg Allah berikan. Hanya berbeza dari segi kekuatan diri. Allah tahu kawan AI tu mampu menggalas ujian itu Insya-Allah. Kita hanya mampu mendoakan. Yg penting kewajipan seperti solat memang tak boleh culas. Banyak cara solat boleh dilakukan ketika sakit. Hatta sekadar dgn kelipan mata pun Allah menerimanya.Org terdekat kena selalu mengingatkan.

Bersama kita selalu beringat 5 perkara sebelum dtg yg 5 perkara yg selalu disebut-sebutkan...Allahurobbi....

abuikhwan said...

kakzakie: benar, kehidupan pasti ada ujian. bahkan hidup dan mati juga adalah ujian. tentunya ujian yang menimpa sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan hamba-Nya.

jika kita memahami dan menyedari hakikat ujian itu adalah tarbiyah secara langsung daripada Allah SWT, maka akan menjadikan kita lebih taat dan berserah kepada-Nya...

Post a Comment