Sahabat Sejati

Wednesday, 22 October 2014

Bicara santai : Catatan biasa

Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, sempat mengunjungi pondok kecil abuikhwan. Kebelakangan ini hujung minggu saya agak sendat dengan beberapa program. Mujurlah pada hari Sabtu dan Ahad, hari saya tidak bekerja. Kalau program yang berlangsung pada hari biasa, terpaksalah saya menguzurkan diri atau menyertainya dalam masa yang terhad dan sekadar termampu. 

 'Sedang berlangsung salah satu ujian kelayakan'

Hari Sabtu saya menemani anak perempuan menjalani temuduga kemasukan ke tingkatan satu SMA. Temuduga kemasukan ini berjalan serentak di semua SMA seluruh negeri Pahang. Tentu kesibukannya sama seperti yang saya lihat sekarang. Setiap tahun jumlah permohonan ke SMA semakin bertambah. Saya melihat perkembangan ini sebagai satu petunjuk positif, menggambarkan keyakinan ibu bapa terhadap pengajian agama. Saya rasakan demikian. 

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Rupa-rupanya ramai kenalan saya yang turut membuat permohonan ke sekolah tersebut. Sempat juga saya berbual sementara menunggu proses temuduga anak saya selesai. Tidaklah bosan sangat menunggu. 

Saya anggarkan jumlah pelajar yang memohon dalam seribu orang atau lebih, itu pun selepas permohonan ditapis. Anak saya sendiri dengan angka giliran 851. Saya memuji langkah proaktif pihak sekolah membuka banyak kelas sebagai pusat temuduga. Kalau tidak jenuh juga mahu menunggu, tidak kena gaya sampai ke petang. Jam 12 tengahari proses temuduga anak saya selesai. Masih ramai lagi ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak mereka yang belum selesai. Tanpa menunggu lama saya segera berangkat pulang untuk menyiapkan laporan yang perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Penerangan Paskim pada sebelah malam. 

Jam 12 tengah malam selesai mesyuarat. Di antara isi perbincangan ialah persiapan untuk mengadakan taklimat GST anjuran Pusat Khidmat DUN bersama pihak Kastam (KDRM). Bahkan pihak Kastam sendiri telah memberikan persetujuan untuk turut sama dalam program taklimat ini. Apa dia GST? Ada teman yang berseloroh, GST katanya "Gasak Sampai Tertiarap". Lucu saya mendengarnya. 

Saya menolak pelawaan rakan-rakan untuk singgah minum seperti kebiasaan selepas mesyuarat. Bukannya apa, kelopak mata bagaikan dijahit-jahit. Tidak mampu saya untuk bertahan. Mengantuk adalah makhluk Allah yang sangat hebat. Segagah mana pun manusia, walau secerdik mana pun dia, pasti tewas dengan mengantuk. Teringat pertanyaan seorang sahabat di tempat kerja: “Apakah ubat untuk tahan mengantuk?” 

“Minum kopi? Makan asam? Gula-gula kopiko?” 

Saya menjawab ringkas: “Tidur.” 

 'Jambatan gantung yang merintangi Sungai Semantan yang bertemu dengan Sungai Pahang di tepi Bandar Temerloh'

Hari Ahad, seawal jam 8.00 pagi saya bersama empat lagi rakan menyusuri dada aspal menuju ke Temerloh. Lebuhraya Pantai Timur tidak terlalu sibuk. Kenderaan hanya sekali-sekala menderu. Mungkin kerana hari cuti, maka ramai yang berehat di rumah, getus hati kecil saya. 

Hari ini saya dan rakan mewakili Penerangan Paskim untuk taklimat PTS. Dengan keadaan kepala yang masih berdenyut-denyut ekoran tidak cukup tidur, saya gagahi juga. Sepatut hari ini saya menyertai rakan-rakan yang lain di dalam kursus FB Ads dan Photoshop anjuran DPPNP di Pusat Tarbiyyah. Namun, atas saranan rakan-rakan yang lain mengkehendaki saya ke Temerloh, saya akur. Berlangsung pada pagi Ahad itu ialah Pertandingan Larian Aman Palestin. Saya yang juga terlibat secara langsung sekali lagi terpaksa menguzurkan diri kerana terlalu banyak pertindihan program.

Banyak input yang di dapati dalam penerangan PTS tersebut. Sehingga saya merasakan sangat rugi jika gagal menghadirinya. Jam 9.00 malam saya tiba di rumah. Dalam keadaan letih yang amat sangat saya cuba bertahan untuk melayan anak-anak. Hasilnya saya tidak tahu bila saya terlelap di atas sofa di ruang tamu. Benar-benar mengantuk makhluk Allah yang sangat gagah. 

Ini adalah catatan biasa. Inilah catatan sekadar melepas rasa cinta. Cinta kepada perkongsian rasa yang mudah-mudahan terkandung di dalamnya sedikit teladan hidup. Mudahan sedikit yang dicicip menjadi ganjaran besar buat si ‘tukang coret’. Niat di hati tidak lain hanya satu iaitu dakwah dan menyebarkan kebaikan. Itulah tujuan “Kembara Mencari Hamba” dibina. Bukan mengharap pujian dan sanjungan kerana hanyasanya DIA yang selayaknya di puji. Kata guru saya: “Pendakwah yang suka dipuji biasanya akan lupa hakikat kelemahan diri. Akhirnya dia kecewa jika ditegur, panas tatkala disanggah, resah tatkala dinasihati. Maka berhati-hati tatkala menerima pujian. 

Tetapi tidak semua pujian itu bersifat demikian. Ada juga pujian yang seumpama sokongan daripada belakang. Yang penting bagaimana kita menerima pujian. Kita yang merasakannya, tepuk dada...

0 comments:

Post a Comment