Sahabat Sejati

Wednesday 15 September 2010

Aidilfitri tahun ini


Entah mengapa perasaan saya ketika ini, bagaikan ada yang tidak kena. Banyak yang bersarang, sarat membungkam fikiran.

Hati bagaikan digigit sayu, sebak sehingga menyesakkan dada. Saya kehilangan perencah kata, hanya pandangan mata suram dan kelam pengganti bahasa. Semuanya kabur.

Sesungguhnya jiwa saya resah tatkala melambai Syawal yang kian berlalu. Resah dan gelisah yang bertandang menerjah rongga hati.

Tidakkah aidilfitri itu meraikan kemenangan? Berjaya menundukkan nafsu yang meronta-ronta, keluar dari madrasah Ramadhan dalam keadaan suci dan bersih sebagai insan fitrah.
Bukankah aidilfitri itu hari kegembiraan? Berkumpul sanak dan saudara, sahabat handai jauh dekat. Menikmati juadah yang beraneka, yang tidak kedapatan di hari lain… tidakkah ini boleh menjadi 1001 sebab mengapa saya mesti bergembira. Benar, saya tidak kehilangan itu semua. Semuanya masih yang sama, manusia yang sama, juadah yang sama. Tetapi bukan disitu letak resahnya, jauh sekali itu ratap tangisnya...

Lalu mengapa saya harus berduka...

Saya cuba untuk menyelami perasaan hati ini. Saya mencari-cari dimanakah silapnya, dimanakah kekurangannya. Tiba-tiba saya tersentak dan tersedar, rupa-rupanya aidilfitri semakin hilang serinya, tahun demi tahun semakin tawar dan hambar. Mengapa tidak terasa meriahnya aidilfitri. Jika dulu, kemeriahannya menusuk sanubari, hati kembang berbunga, sukar diungkap dengan kata-kata.

Di sini resah hati bersarang

“Jom ikut ayah pergi rumah pak long kat baruh sana,” kata seorang ayah kepada anaknya yang sedang terbungkang di hadapan televisyen.

“Malaslah ayah, nak tengok tv ni,” jawab si anak tanpa menoleh ke arah ayahnya.

Tiada apa-apa istimewanya aidilfitri. Mungkin sama seperti hari biasa bagi si anak. Cuma hari raya rancangan televisyen lebih istimewa dan berbeza. Mungkin itu yang ada di dalam kepala si anak, jadi jangan lepaskan peluang menontonnya.

“Kamu buat apa dalam bilik ni, pergilah jumpa pak ngah dan mak ngah kamu tu,” tegur seorang ibu kepada anak perempuannya yang sedang asyik menekan butang telefon bimbitnya.

“Nantilah dulu,” jawab anaknya sambil lewa.

Aidilfitri lebih selesa berkurung di dalam bilik.

“Laa.. kamu buat apa kat dapur ni? Pergilah ke depan sana, keluarga pak lang kamu dari Kuantan datang, masa nilah nak kenal saudara-mara,” tegur seorang ibu kepada anaknya yang rancak bersembang di dapur dengan rakannya melalui facebook. Tidak berkedip mata sambil jari laju menekan butang laptopnya.

Rupa-rupanya disini letaknya resah saya. Aidilfitiri bagaikan sudah tiada rohnya. Amalan kunjung mengunjung semakin pudar di telan arus masa. Kebanyakan tempat hanya golongan tua sahaja yang masih meneruskan tradisi kunjung mengunjung serta beramah mesra melayan tetamu. Manakala golongan muda atau golongan iPod, facebook serta golongan PSP sibuk melayan dunia mereka sahaja. Dunia sendiri-sendiri.

Jika ini berterusan maka saya bimbang hari raya tinggal nama dan ucapan sahaja. Hari raya hanya sebagai satu acara makan di siang hari tanpa apa-apa makna. Kosong. Sedangkan aidilfitri adalah kesempatan yang terbaik untuk berkunjungan, yang mungkin tidak dilakukan pada hari biasa tanpa sebab musabab yang tertentu. Menghulur salam bermaaf-maafan, berpelukan sehingga mengalirkan air mata, sesuatu yang mungkin agak janggal untuk kita lakukan di hari lain. Nah! Ambillah kesempatan ini untuk merapatkan kembali tali persaudaraan dan persahabatan yang mungkin telah longgar. Aidilfitri adalah hari yang paling mudah untuk memohon dan memberi maaf.

“Maka hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa teguh berdiri di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah rang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112)

Marilah kita semua bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat Ramadhan dan Syawal yang mulia ini. Manfaatkanlah ini dengan sebaiknya. Isilah ia dengan semangat juang yang tinggi sebagaimana kita mengisi semangat juang pada bulan Ramadhan. Hindarkanlah dari melakukan perkara-perkara yang mencacatkan aidilfitri ini. Semoga kita semua termasuk dalam keredhaan serta beroleh keampunan-Nya. Demikianlah dambaan kita.

Sebak ini masih bersarang bersama hujan di petang aidilfitri 1431 hijrah ini.

0 comments:

Post a Comment