Sahabat Sejati

Thursday, 16 September 2010

Setengah Berisi, Setengah Kosong?


Ternyata kemuncaknya kesukaran daripada sesuatu masalah yang menimpa seseorang itu seringkali disebabkan kita tidak mampu berfikir secara positif. Orang yang tidak mampu berfikir secara positif biasanya cenderung memandang segala sesuatu dengan penuh syak wasangka dan sengaja mereka-reka segala apa yang belum terjadi. Malangnya, rekaan-rekaan itu tidak pernah berupa perkara yang menyenangkan. Sebaliknya, apa yang mereka bayangkan adalah perkara-perkara yang sukar dan menyusahkan.

Akibatnya, hati dan fikiran tidak pernah berasa tenteram. Belum apa-apa mereka sudah berasa resah, gundah, gelisah, mudah curiga dan tegang. Padahal, peristiwanya belum terjadi dan segala yang dibayangkan oleh fikirannya itu pun belum tentu terjadi. Pendek kata, kehidupan ini jauh daripada keindahan dan ketenangan. Hidup yang pada hakikatnya penuh dengan keindahan ini menjadi tidak lagi indah kerana salah memasang hati dan fikiran.

Pada hakikatnya, kebahagiaan yang kita cari-cari itu bergantung pada sikap kita sendiri. Oleh sebab itu, apabila satu masalah menimpa, carilah penyebabnya dalam diri kita terlebih dahulu. Lihatlah ke dalam diri kita sendiri, kerana disitu kita dapat menghurainya sehingga penyelesaian untuk masalah itu dijumpai.

Sebagai manusia, kita berhadapan dengan realiti perubahan emosi yang tidak dapat dijangka apabila berhadapan dengan satu situasi. Adakalanya kita bersemangat dan adakalanya murung. Adakalanya kita ceria, gembira dan adakalanya sedih. Adakalanya kita optimis dan adakalanya pesimis.

Apakah faktor yang menentukan respons kita pada situasi itu?

Jawapannya adalah PERSPEKTIF.

Tajuk buku : Setengah Berisi, Setengah Kosong?
Penulis : Parlindungan Marpaung
Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd
M/S : 272
Harga : SM: RM25 / SS: R28

Setengah Berisi, Setengah Kosong? menyajikan kisah-kisah inspirasi yang mampu membetulkan perspektif kita terhadap apa jua situasi yang dihadapi. Lebih daripada itu, kisah-kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini dapat membangunkan dan memacu rasa optimistik dalam hidup. Rasa optimistik yang membangkitkan kesedaran bagi mengenali masalah dan respons terbaik kepada masalah itu. Rasa optimistik yang membangkitkan rasa percaya, setiap cabaran dan masalah dapat diatasi. Rasa optimistik yang membina kekuatan untuk berhadapan dengan perkara negatif secara positif. Rasa optimistik yang apabila berhadapan dengan situasi buruk, namun masih mengharapkan yang terbaik. Mempunyai alasan untuk rasa geram, tetapi memilih untuk tersenyum.

Setengah Berisi, Setengah Kosong? adalah ungkapan yang patut menjadi bahan renungan dalam melakukan penerobosan yang dapat menghasilkan perbezaan. Berbuat lebih baik adalah baik, namun membuat perbezaan atau kelainanlah yang menjadi seseorang itu lebih menonjol dalam sesuatu organisasi ataupun dalam persekitaran masyarakat.

Setengah Berisi, Setengah Kosong? adalah ungkapan yang mempunyai pelbagai kisah yang penuh dengan makna. Ibarat sebuah gelas yang setengahnya berisi air, sebahagian orang mungkin mengatakan gelas itu setengah kosong dan sebahagian yang lain mengatakan ia setengah berisi. Sekiranya dilihat daripada ‘kebenaran’ berdasarkan fakta, kedua jawapan itu adalah benar. Tetapi, disebalik semua itu, apa yang menarik adalah cara kita memandang ataupun memahaminya.

Berbahagi cara pandang! Itulah yang akan disajikan di dalam buku ini. ataupun dengan lebih tepat, bagaimana kita memandang ataupun menerima sesuatu dengan cara yang berbeza. Perbezaan di sini tentulah tetap mengacu pada standard etika dan moral yang ada dan berlaku dalam sesuatu masyarakat itu. Anda mampu mengubahnya...

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

1 comments:

Unknown said...

assalam..nk tyer..maner kamu dapat buku ni???boley tolong cari kan..?

Post a Comment