Sahabat Sejati

Friday, 3 September 2010

Ngomelan penghujung Ramadhan


“Kajian sains telah berjaya membuktikan bahawa ibadah puasa mempunyai hikmah yang tersendiri terhadap kesihatan malah terhadap keseluruhan hidup manusia. Demikian juga sains telah membuktikan bahawa selain daripada manusia, haiwan dan tumbuhan juga melakukan puasa. Ayam misalnya berpuasa apabila mengeramkan telur-telurnya. Ia perlu menetaskan telur-telurnya dengan kualiti yang baik melalui kesesuaian suhu panas badannya. Untuk memastikan badannya sentiasa panas sesuai untuk mengeramkan telur ia tidak makan sebagaimana ia makan pada hari-hari lainnya kerana ini boleh menyebabkan perutnya sejuk.

Demikian juga halnya dengan tumbuh-tumbuhan. Musim luruh menyebabkan ia tidak melakukan proses fotosintesis. Puasa yang dilakukan bertujuan untuk memastikan ia tidak akan mengalami ketidak sempurnaan berbuah pada musim bunga akan datang.

Begitulah rupa rutin dan hayat alam haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Sudah pasti manusia yang dikira sebagai bertamadun tinggi, tidak percuma melakukan segala amal perbuatannya, apa lagi jikalau amal perbuatan itu berdasarkan kepada mentaati perintah Allah SWT seperti puasa dalam bulan Ramadhan.”


Petang ini surau di taman perumahan saya mengadakan majlis berbuka puasa. Sebelum itu, diadakan tazkirah ringkas yang telah disampaikan oleh Dr Fadzly Yazid dari HTAA. Tajuk tazkirahnya amat menarik iaitu “Puasa dari perspektif perubatan”. Banyak info berguna yang beliau kongsikan bersama.

Tetamu yang hadir mendengar dengan penuh minat.

“Cuba lihat di hospital,jika sesuatu pembedahan ingin dijalankan, mesti pada malamnya pesakit tersebut di suruh berpuasa, mengapa?” Dr Fadzly melontar soalan.

“Sebenarnya dengan berpuasa, tekanan darah akan berkurangan maka kuranglah risiko pendarahan yang teruk”, jawabnya memberi penerangan.

Ada yang mengangguk-anggukkan kepala, tidak kurang pula yang tunduk diam memikirkan sesuatu agaknya.

Manakala pada sebelah malamnya pula, solat tarawih telah dipimpin oleh imam jemputan iaitu Ustaz Nuri Ali bin Arbain, yang merupakan peserta realiti TV IMAM MUDA ASTRO. Sungguh baik bacaannya, saya bagaikan larut dalam kemantapan suaranya. Beliau telah memberikan tazkirah di pertengahan empat rakaat tarawih.

Semester akhir

Pejam dan celik kita telah pun berada di semester terakhir Ramadhan. Bagaikan tidak terasa, cepat benar masa berlalu. Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam rahmat-Nya, begitu juga mudah-mudahan kita terpilih termasuk dalam golongan yang mendapat keampunan-Nya. Tinggal lagi satu ‘ijazah’ yang perlu kita rebut iaitu pembebasan dari api neraka. Dan kemuncaknya, apabila kita keluar dari madrasah Ramadhan ini dengan pangkat taqwa.

Namun apa yang ketara ialah berkurangnya ahli jemaah sepuluh akhir Ramadhan ini, tidak seperti awalnya dahulu. Jika di awal Ramadhan pengerusi masjid dan ahli jawatankuasa mungkin berkira-kira untuk membesarkan masjid atau surau pada tahun hadapan, tetapi bila tiba akhir Ramadhan...

“Tak jadi nak besarkan masjid kalau macam ni”, kata pengerusi masjid.

Demikianlah senario biasa bulan Ramadhan, yang sepatutnya 10 malam terakhir itu menjadi kemuncak pesta ibadat.

Ketika Rasulullah saw menaiki tangga-tangga mimbar untuk berkhutbah, tiba-tiba baginda mengucapkan “Amin” sehingga menyebabkan para sahabat kehairanan. Lalu diterangkankan mengapa baginda menyebut begitu. Rasulullah saw bersabda:

“Jibril mendatangiku seraya berkata: “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat keampunan, kemudian mati, maka ia masuk neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi, “ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”.
Tidakkah ucapan Rasulullah saw menggerunkan kita. Apakah kita berhasil menjana diri di dalam bulan Ramadhan ini untuk mendapat keampunan Allah SWT dan seterusnya mendapat pangkat Taqwa, seperti yang disebut di dalam al-Quran “Mudah-mudahan kamu bertaqwa”. Apakah ketaatan atau kepatuhan kita kepada Allah SWT berkekalan iaitu dengan mengekalkan ibadah-ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan?.

Jika di dalam bulan Ramadhan kita mampu datang setiap hari ke masjid untuk solat Tarawih yang sunat, apakah mampu untuk datang solat fardhu lima waktu selepas Ramadhan. Jika bulan Ramadhan kita mampu untuk membaca al-Quran setiap hari, mungkinkah mampu kita teruskan selepas Ramadhan, begitu juga dengan zikir dan suara-suara memuji Allah SWT. Mampukah kita menundukkan pandangan serta mengekang mulut dari berkata sesuatu yang buruk selepas Ramadhan? Hanya kita sendiri yang dapat menjawab dan menilainya, tepuk dada tanya iman. Mudah-mudahan Allah SWT melindungi kita semua, insya-Allah.

“Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (al-Yaqeen, iaitu maut)”. (al-Hijr: 99).

Melepaskan Ramadhan pergi

Seorang ahli syair Arab bermadah ketika melepaskan Ramadhan: “Mudah-mudahan Allah mencurahkan kesejahteraan di setiap waktu atas sebaik-sebaik bulan dan masa yang telah berlalu. Kesejahteraan atas puasa kerana puasa itu satu keamanan dari ar-Rahman Yang Maha Tinggi. Walaupun hari-hari engkau wahai bulan puasa dibawa cepat oleh arus masa, namun rinduku tetap bergelora di hatiku kepadamu.”

Diriwayatkan dari Saiyidina Ali krm bahawa beliau berseru pada malam penghabisan Ramadhan: “Dapatkah kiranya aku mengetahui, siapakah gerangan yang telah pasti diterima puasanya supaya aku dapat mengucapkan tahniah dan berbahagia? Siapakah gerangan yang bernasib malang supaya aku dapat menyenangkan hatinya?

Diriwayatkan dari Ibnu Mas`ud bahawa beliau berseru pada akhir Ramadhan: “Wahai saudara-saudara yang diterima Allah puasanya, bersenang gembiralah engkau dan selamat berbahagialah engkau. Tetapi wahai orang yang ditolak amal puasanya, mudah-mudahan Allah akan menutup bencana yang telah menimpa engkau.”

Bersama kita mengambil iktibar..

0 comments:

Post a Comment