Sahabat Sejati

Wednesday, 8 September 2010

Sampaikah kita kepada darjat TAQWA

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan hari berpuasa dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana Dia telah memberi petunjuk kepada kamu. Dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185)

Ramadhan telah hampir ke penghujungnya, kini Syawal menjelang tiba. Mudah-mudahan kita semua menjadi insan yang berjaya mengharungi dan menghadapi ujian Allah SWT dan bakal dianugerahkan ijazah taqwa setelah menamatkan latihan di puncak menara gading Ramadhan.

Taqwa. Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa. Sebaik-baik bekalan untuk bertemu Allah adalah taqwa. Ramadhan hadir membawa natijah taqwa. Berpuasa kerana mengharapkan darjat taqwa. Sebelum mengharapkan darjat taqwa, marilah kita berfikir sejenak, bertanya kepada diri sendiri, adakah kita berpuasa sekadar memenuhi budaya bulan Ramadhan, atau kerana semua orang disekeliling berpuasa, atau kerana di penghujung puasa kita boleh berhari raya? Jika itu yang kita mahukan kita akan mendapatnya. Tetapi jika kita inginkan lebih dari menahan lapar dan dahaga iaitu sebagai satu latihan untuk memperbaiki diri, maka kita juga akan mendapatnya.begitu juga bukan sekadar berbuka dan berhari raya.

Sahabat sekelian, Ramadhan bukan sekadar berpuasa dari makan dan minum tetapi berpuasa dari segala keburukan dan amalan yang tidak baik. Kita bukan sahaja meninggalkan perbuatan keji, sebaliknya bermesra dengan amalan yang terpuji. Kita bersolat Tarawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya. Kita jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan menghimpunkan amal kebajikan dan mengisytiharkan perang kepada segala amal mungkar.

Sahabat sekelian, marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah roh dan semangat Ramadhan yang telah kita pupuk selama sebulan dapat menjana kekuatan untuk dibawa selepas Ramadhan. Apakah kita akan menjadi manusia biasa dan meninggalkan watak baik selepas Ramadhan, sedangkan kita telah pun menjadi manusia luar biasa serta berwatak ‘malaikat’ selama sebulan. Alangkah baik dan beruntungnya jika Ramadhan dihayati dan disemarakkan dengan peningkatan amal soleh. Barulah Ramadhan mencapai fungsi dan kesan kepada diri.

Ramadhan berlalu pergi Syawal setia menanti

Syawal seharusnya ia disambut dengan penuh kesyukuran kerana kejayaan melawan hawa nafsu selama sebulan. Tetapi perjuangan tersebut bukanlah terhenti setakat itu sahaja, ia mestilah diteruskan pada bulan-bulan yang lain. Jika hanya sebulan berjaya menahan hawa nafsu, tetapi selepas Ramadhan kembali kepada tabiat lama bermakna kita telah gagal untuk mendapat natijah puasa iaitu “TAQWA” kepada Allah.

Dalam kegembiraan menyambut aidilfitri, kita semua diingatkan agar menjaga batas-batas yang ditetapkan agama. Kita bimbang jika hari raya yang mulia ini menjadi pesta untuk membalas dendam sebulan apa yang tidak dapat dilakukan pada bulan Ramadhan. Lalu hari raya dirayakan dengan semahunya. Hari yang sepatutnya meraikan kejayaan, menjadi hari menghimpunkan dosa dengan pembaziran, hiburan yang melampau, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya. Alangkah eloknya jika aidilfitri diraikan dengan tetap memelihara roh Ramadhan. Tidakkah aidifitri itu bermakna kembali kepada fitrah, iaitu fitrah manusia yang suci dan bersih? Sesungguhnya hari raya sepatutnya disambut dengan syukur iaitu memperbanyakkan takbir, tahmid san tasbih kepada Allah SWT. Memperkukuhkan ukhuwah di antara umat Islam dengan ziarah-menziarahi serta bermaaf-maafan.

Mudah-mudah Ramadhan yang berlalu memberikan natijah taqwa dan Syawal yang menanti adalah satu kesinambungan yang dilaksanakan dalam memenuhi arahan Ilahi. Semoga kita memperolehi darjat dari madrasah Ramadhan. Kita harapkan...

0 comments:

Post a Comment