Dengan sebuah bot tiup sederhana (inflatable boat), aku dan dua rakan mudik perlahan ke hulu Sungai Pahang, sungai tua yang menyimpan rahsia negeri dan cerita bangsa. Airnya keruh keemasan, tidak deras, tetapi tetap punya arah dan cita. Sesekali angin menyapa pipi, menyiram wajah dengan titis halus air yang terpercik dari birai bot yang yang melanggar arus.
Di kiri dan kanan, rumah-rumah kayu berdiri setia di tebing, seperti penjaga waktu. Ada yang masih kukuh, beratap zink yang berkarat manja; ada juga yang condong, namun tetap tabah berdiri, mengingatkan aku kepada nenek tua yang sabar menunggu cucu pulang dari perantauan.
Anak-anak kampung melambai dari pangkin, ada yang menjerit girang melihat botku, seperti melihat sesuatu dari luar dunia mereka. Ayam berkokok, lembu menguak, burung ruak-ruak terbang berkawan di celah semak bakung. Dan jauh di hutan seberang, bunyi seruling alam, mungkin dari burung tukang atau dari masa lalu yang bersiul pada kenangan.
Aku terus mudik. Dalam diam, aku dengar denyut jantung sungai ini. Ia bukan sekadar sungai. Ia seperti urat nadi orang Pahang, membawa kisah pahlawan, nelayan, petani, dan anak-anak kecil yang membesar dengan mimpi di dalam pelita malam.
Tiada kota, tiada deruan kenderaan bersimpang-siur. Hanya tenang yang menyapa jiwa, dan alam yang berbicara dengan bahasa sunyi. Di sungai ini, aku tidak mencari ke mana aku mahu pergi. Tapi aku sedang mengingat siapa aku pernah jadi.
1 comments:
Sungguh beradab sopan bicara tuan ustaz, tenang nak baca..saujana ya sunga Pahang, tak hairan jika ianya sungai kebanggan ramai orang di sana...
Post a Comment