Sahabat Sejati

Friday, 19 September 2025

Ziarah Mahabbah Tanah Borneo (Part 2) – Ujian di Pintu Masuk

Part 1 baca disini 

'Tersangkut lama di sini..'

Perjalanan hampir tiga jam di udara terasa singkat bila dihiasi dengan harapan dan doa. Akhirnya, pesawat kami mendarat dengan selamat di bumi Tawau. Angin malam menyapa lembut, seolah-olah menyambut kedatangan kami bertiga yang membawa amanah ziarah. 

Namun, tak semua perjalanan itu mudah. Di pintu pemeriksaan imigresen, kami diuji. Kad pengenalan salah seorang sahabat kami tidak dapat diakses. Rupanya kad itu pernah hilang sewaktu banjir besar melanda tempat tinggalnya dahulu (ada kisah panjang disebalik kehilangan kad pengenalan beliau). Keadaan menjadi genting, beliau tidak dibenarkan masuk ke Sabah dan diarahkan untuk pulang ke Semenanjung. 

Malam itu adalah penerbangan terakhir. Maknanya, sahabat kami harus bermalam di lapangan terbang, sendirian, menunggu hari esok. Kami berpandangan sesama sendiri. Hati ini sebak, jiwa pasrah, namun doa tidak pernah putus. Dalam hati, kami merayu agar takdir beralih arah.. agar ada ruang pertolongan dari-Nya. 

Dan benar, pertolongan Allah itu hadir dengan cara yang tak terduga. Tidak lama kemudian, seorang pegawai berpangkat lebih tinggi muncul. Setelah mendengar aduan kami dan memahami tujuan kami datang bukan untuk libur semata, tetapi untuk berbuat kebajikan, hatinya luluh. Dengan budi bicara, beliau meluluskan kemasukan sahabat kami. Cop kemasukan akhirnya menghiasi kertas kecil 'keramat' itu, seakan sebuah tanda rahmat. 

Kami bertiga mengucapkan terima kasih berkali-kali. Dalam hati, hanya lafaz syukur mampu dipanjatkan. 

Allahu, ajaibnya pertolongan-Mu. Bila kita datang dengan niat baik, Kau bukakan jalan. Bila kami hampir putus asa, Kau datangkan harapan. Malam itu, kami belajar, bahawa tiada langkah yang bergerak melainkan dengan izin-Mu. 

'Kasihan, terpaksa sahabat kami menunggu lama di luar'

Setelah semua selesai, kami pun keluar mendapatkan ustaz Halim. sahabat yang telah lama menanti di luar. Wajahnya jelas penuh tanda tanya. Lantas kami menceritakan apa yang berlaku. Dia mendengar dengan penuh takjub, sambil sama-sama mengucapkan syukur. Malam itu benar-benar menjadi saksi bahawa perjalanan ini dimulai dengan ujian, tetapi juga dengan kasih sayang Allah yang nyata.

bersambung part 3.. 

1 comments:

Warisan Petani said...

Alhamdulillah
Semuanya dipermudah