Sahabat Sejati

Monday, 22 September 2025

Ziarah Mahabah Tanah Borneo (Part 5) - Disambut wajah-wajah polos anak-anak kecil

Part 4 baca disini 


Pagi itu, setelah bersiap, kami bergerak menuju Tadika Amal. Jalan lengang, udara segar, dan hati kami berbunga-bunga menanti pertemuan dengan anak-anak kecil yang bakal ditemui sebentar lagi. 

Namun, sebelum itu, ada satu hajat kecil yang belum tertunai. Sejak petang semalam, sewaktu pulang ke rumah penginapan, mata kami sempat terpaku pada sebuah banner di tepi jalan: “Daging Payau – Masakan Istimewa

“Esok kita singgah sini ya..” cadang salah seorang dari kami. 

'Menikmati payau Sabah yang harganya sangat murah berbanding di semenanjung'

Lalu pagi ini, benar kami singgah. Duduk di meja kayu sederhana, kami memesan nasi putih bersama lauk yang jarang dapat di Semenanjung, payau masak lada hitam dan payau paprik. 

Tidak lama kemudian, pelayan menghantar pesanan. Satu dulang penuh lauk terhidang di depan mata. Kami terpinga-pinga. 

“Eh.. banyaknya ni! Habis ke kita makan?” salah seorang bersuara separuh ketawa, separuh gusar. 

Kami saling berpandangan sebelum akhirnya ketawa berderai. Rezeki jangan ditolak, kata hati kami. Dan benar, payau itu enak, lembut dagingnya, penuh rasa. Hingga tidak terasa licin sehingga menjilat jari.. 

Sewaktu di kaunter membayar, sekali lagi kami terkejut. 

“Allahu.. murahnya,” bisik ustaz Din, matanya masih tidak percaya. Jika di semenanjung tak mungkin dapat harga begini. Kami saling senyum. Di sini, rezeki benar-benar terasa berkat. 

Selepas itu kami singgah di sebuah pasar raya. Membeli goodies untuk anak-anak Tadika Amal, kudapan kecil. Alatulis, serta alat pemadam api untuk keselamatan tadika telah dibeli lebih awal. Semua ini hasil sumbangan orang ramai melalui pelancaran dana yang kami usahakan sebelum berangkat ke Sabah. 


Sesampainya di tadika, kami disambut wajah-wajah polos anak-anak kecil. Mereka berlari riang melihat kehadiran kami. Tidak sabar menanti hadiah kecil yang kami bawa. 

Guru-guru pula tersenyum syukur, menerima sumbangan dalam bentuk peralatan dan sejumlah wang yang diamanahkan oleh para dermawan dari semenanjung. 

Dalam perbualan santai dengan guru-guru, kami mendapat maklumat bahawa kebanyakan penduduk di sini berketurunan Sulu. Hidup mereka sederhana, malah ada yang serba kekurangan, namun wajah mereka tetap dihiasi senyum yang tulus. 

'Dipaksa juga menikmati jamuan walaupun berkali menolak'

Alhamdulillah, kami juga mengadakan jamuan makan buat semua murid dan guru pada hari itu. Terharu melihat mereka menjamah hidangan dengan selera, riang, gembira, puas. Ada yang menambah dua kali, ada yang makan sambil tersenyum malu. Hati kami seolah-olah diusap lembut. 

Jamuan ini kami jadikan rutin setiap hari Jumaat, biarlah anak-anak ini menikmati sedikit kelainan. Itulah keputusan bersama dalam mesyuarat yang terdahulu. Kosnya dibiayai sepenuhnya oleh pihak kami. 

'Selamat tinggal, nanti kami datang lagi'

Usai program di Tadika, kami melambai tangan penuh mesra. Senyum kecil anak-anak masih terbayang di mata, bagai menahan rindu sebelum sempat berpisah. “InsyaAllah, ada masa kita datang lagi ya,” ujar saya, sambil melangkah ke kereta. 

Menghirup udara di Semporna 


Sebelum balik ke Lormalong, kami sepakat singgah dahulu ke Semporna. Nama Semporna sudah lama meniti bibir, indah digambarkan orang sebagai syurga di hujung negeri.

“Sekali-sekala jalan-jalan, ambil angin laut… kan bagus,” kata seorang sahabat di sebelah.

“Yelah, esok dah nak balik semenanjung..” saya menjawab mengiakan cadangan sahabat. 

Angin bayu mula menyapa ketika roda berputar masuk ke bandar kecil itu. Mata saya terpaku pada biru laut yang seakan melambai. 


“SubhanAllah… cantiknya…” bisik hati saya, tidak mampu menahan kagum. 

Kami berjalan-jalan di tepian, melihat bot-bot nelayan yang berbaris bagai lukisan hidup. Di celah-celah itu, suara kanak-kanak ketawa, melompat ke laut dengan riang.

“Macam dalam poskad,” kata saya sambil menghela nafas panjang. 

Sahabat saya tersenyum, “Patutlah orang kata, sekali datang ke Semporna.. hati susah mahu pulang.” 

Dan saya akui, kata-kata itu benar. Semporna bukan sekadar nama, ia satu rasa. 

Pulang ke Lormalong 

Petang itu, kami pulang dengan jasad yang letih, tetapi hati teramat puas. Namun jauh di sudut hati, kami sedar, perjuangan ini masih panjang. Masih banyak kerja yang menanti, masih ramai anak-anak kecil yang dahaga ilmu dan kasih sayang. 

Malam itu, sebelum terlelap, saya termenung sebentar. 

Inilah bahagia sebenar, bila penat diikat dengan syukur, bila usaha disulam dengan doa.

**Kadang-kadang bahagia itu bukan pada banyaknya harta, tapi pada senyuman anak kecil yang kenyang, pada rasa syukur guru-guru yang setia, dan pada hati yang lega kerana dapat memberi. 

zzz.. zzz..

bersambung part 6..

0 comments: