Sahabat Sejati

Saturday, 20 September 2025

Ziarah Mahabbah Tanah Borneo (Part 3) – Malam yang Panjang di Bumi Tawau

Part 2 baca disini

Sebaik melangkah keluar dari lapangan terbang, kelihatan seorang sahabat, ustaz Halim, sudah lama menanti. Wajahnya penuh senyum, mesra menyambut. 

Beliau bukan asing bagi kami, asalnya dari Semenanjung juga, tetapi sejak muda merantau ke bumi Tawau, mengajar di sebuah sekolah. Di sini beliau membina kehidupan, berkeluarga, lalu terus menjadi warga tempatan. Katanya, dua tahun lagi bakal bersara. 

 “Lama tak jumpa… macam tak berubah!” katanya sambil ketawa kecil. 

Kami sama-sama ketawa, lalu menaiki kereta. Dalam perjalanan, kisah lama pun muncul satu persatu. Gelak tawa berselang-seli dengan cerita kenangan, menghidupkan suasana malam yang dingin. 

“Ustaz tak balik semenanjung ke?” saya bertanya. Terbayang kegigihannya mencurahkan ilmu di tanah Borneo sejak dari zaman muda. 

“Balik, tiga bulan lepas balik. Melawat saudara-mara.. kampung halaman..” jawabnya sambil tersenyum. 

Tiba-tiba kereta bergegar kuat. Bunyi yang tidak enak kedengaran dari belakang. Kami saling berpandangan. 

“Apa pula ni?” bisik hatiku cemas. 

'Melangut di tepi jalan'

Ustaz Halim memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Rupa-rupanya tayar belakang pecah teruk. Bunyi kuat yang kedengaran itu berpunca dari rim yang berlaga dengan aspal jalan, keras lawan keras. 

“Alhamdulillah, nasib baik rim tak bengkok..” tukas ustaz Din. 

Mujurlah Allah masih melindungi, tiada apa-apa yang lebih buruk berlaku. Tetapi masalah belum selesai.. tayar gantian pula kekurangan angin. 

Jam sudah melewati pukul 12 malam. Kami bertiga hanya mampu melangut di tepi jalan, ditemani cahaya lampu jalan yang sayup. Sunyi malam terasa panjang, hanya deru kenderaan menjadi irama. Ustaz Halim tekun menelefon kenalannya satu persatu. Namun lewat begini, ramai sudah lena. 

“Sabah ni, masa jalan cepat. Orang sini tidur awal,” ujarnya, cuba bergurau walau wajahnya tetap gusar. 

Kami hanya mampu tersenyum tawar. Doa lagi sekali meniti dalam hati. 

'Sementara menanti bantuan tiba, tengok henfon je la'

Akhirnya, pertolongan datang juga. Seorang sahabat lain, yang mengajar di sekolah yang sama dengan Ustaz Halim, yang ketika itu hampir masuk tidur, menjawab panggilan. Dengan penuh ihsan, dia datang, lalu bersama-sama ke stesen minyak terdekat (bukan dekat sebenarnya) untuk mengisi angin tayar gantian. Walaupun jaraknya bukanlah dekat, dia tetap sudi membantu. 

Syukur, segala urusan selesai juga. Kami menarik nafas lega. Jam menunjukkan hampir 2 pagi.  

“Allah… kalau bukan dengan izin-Nya, tak mungkin semua ini dipermudahkan,” saya berbisik sendirian. 

Kerana perut sudah lama berkeroncong, ustaz Halim membawa ke sebuah kedai makan yang masih buka. Makanan malam itu terasa luar biasa nikmatnya, mungkin kerana letih, mungkin juga kerana hati baru sahaja lega. Atau mungkin juga masakan orang Sabah memang sedap. 

Usai menjamu selera, kami dibawa ke sebuah hotel bajet yang sudah ditempah lebih awal di semenanjung. Tidak mewah, tetapi cukuplah untuk kami mandi, menukar pakaian, dan meluruskan badan. Malam ini sahaja..

Esok pagi sebagaimana dalam perancangan, ustaz Fahmi, sahabat di Kunak akan datang menjemput kami bertiga. Malam itu, sambil berbaring di atas katil, saya termenung panjang. Betapa ajaibnya perjalanan hari ini.. ujian demi ujian, tetapi setiap satu berakhir dengan pertolongan yang tidak disangka. 

Entah pukul berapa saya akhirnya terlelap.. yang pasti, malam itu menjadi saksi bahawa di balik susah, pasti ada rahmat. 

Allahu al-Musta`an.. 

bersambung part 4.. 

0 comments: