Sahabat Sejati

Monday, 22 September 2025

Ziarah Mahabbah Tanah Borneo (Part 4) – Menjejak Kunak Jaya

Part 3 baca di sini  

'Sarapan pagi yang ringkas tapi amat menyelerakan'

Pagi itu kami bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran hotel penginapan. Aroma kopi panas dan nasi goreng sederhana terasa begitu menyelerakan selepas semalaman yang panjang. Tidak lama kemudian, Ustaz Fahmi dari Kunak tiba dengan senyuman mesra. 

“Kamu gunakan saja kereta saya sepanjang di sini, tapi kena hantar dulu saya ke airport” katanya dalam loghat Sabah yang tidak berapa pekat. 

"Saya nak ke semenanjung dalam seminggu, ada urusan" sambungnya lagi.  

“Betul ni? Kami pinjam lama juga ni.” sahut tuan Johari. 

“Ya, gunalah.. sementara saya di semenanjung,” jawabnya tenang. 


Kami sempat menghantarnya ke lapangan terbang Tawau sebelum perjalanan ke Kunak bermula. Dari situ, hampir seratus kilometer perjalanan menanti, menuju ke Kg Lormalong, tempat penginapan kami. 

Sepanjang jalan, mata ini dijamu pemandangan yang menenangkan. Hutan menghijau terbentang, sesekali kelihatan rumah kayu bertiang tinggi berdiri gagah di tepi jalan. “Cantik betul suasana sini… macam kembali ke masa dulu,” aku bersuara perlahan, terpegun melihat desa yang begitu asli. 

Kami berhenti seketika di sebuah kedai makan di kampung untuk mencuba masakan tradisi. Sambal pedasnya terasa lain, ulam-ulaman segar bagaikan baru dipetik dari halaman. Kami juga singgah di gerai kecil tepi jalan, membeli kerepek dan buah-buahan tempatan yang sukar ditemui di Semenanjung. 


“Ni untuk kita mengunyah sambil borak-borak sebelum tidur..” kata Tuan Johari berjenaka 

Tiba di Kg Lormalong, rumah yang telah diuruskan lebih awal sudah tersedia buat kami. Rumah kecil yang sangat sederhana. Di situlah kami berehat sebentar, menyusun program agar langkah kami lebih teratur. 

'Berehat di anjung Tadika Amal di penempatan air'

Petang itu, pra-lawatan ke Tadika Amal Kunak Jaya pun bermula. Bertemu dengan para guru yang sabar dan penuh dedikasi membuatkan hati kami terasa hangat. Mereka menyambut mesra, lalu kami duduk berbincang tentang perjalanan program esok. Beberapa rakaman juga dibuat untuk tujuan media dan pengumpulan dana. 

Melihat penempatan di sini amat meruntun hati saya. Rumah-rumah sederhana berdiri di atas air, dihubungkan antara satu sama lain dengan titi-titi kecil. Serba kekurangan, namun raut wajah mereka tetap damai dan ceria. 

'Hati-hati bila melangkah bimbang tercebur ke dalam laut'

Saya melangkah hati-hati menuju ke sebuah rumah yang dijadikan Tadika Amal. Sesekali langkah terasa canggung, bimbang kaki bisa tergelincir dan tercebur ke laut. Ada titi yang berlubang, papan-papannya sudah reput dimamah masa. Namun di situlah, sebuah tadika kecil bertahan demi anak-anak yang haus ilmu. 

Tadika Amal Kunak berdiri di sebuah perkampungan air, sederhana, tetapi penuh erti. Murid-muridnya adalah anak-anak kecil dari golongan fakir miskin, kebanyakannya tanpa dokumen sah. Mereka inilah yang tersisih daripada pendidikan formal, lalu Tadika Amal menjadi pintu harapan. 

'Permulaan masuk ke penempatan air Kunak Jaya'

“Walaupun mereka tidak punya dokumen, sekurang-kurangnya di sini mereka belajar asas membaca, menulis, dan mengenal agama,” kata seorang guru dengan suara bergetar. 

Saya menelan liur, menahan sebak. Benar, walau sederhana, tadika ini memberi mereka jalan agar tidak terbiar, agar ada sinar untuk masa depan. Selepas tamat tadika, mereka disambung pula dengan pengajian al-Quran dan asas agama. Mudah-mudahan, dengan ilmu agama, anak-anak kecil ini terpelihara daripada gejala yang tidak sihat. 


Sebelum pulang ke penginapan, kami singgah di rumah dua orang pelajar tadika yang yatim. Di sana, kami menyampaikan sedikit sumbangan yang dibawa dari Semenanjung. Wajah kecil mereka bersinar, seolah-olah dunia menjadi cerah hanya dengan sedikit perhatian dan kasih. 

Malam itu, kami melelapkan mata dengan jasad yang penat, namun hati yang puas. Banyak yang telah dilalui, lebih banyak lagi yang bakal ditempuh. 

“Esok pasti lebih bermakna,” bisikku sendiri sebelum mata akhirnya terpejam dalam lena. 

'Kampung Lormalong'

bersambung part 5.. 

2 comments:

Seri Kandi Tanah Jauhar said...

Seram jugak lalu atas titi tu jika tak biasa. Tersebut dalam air kalau pandai berenang tak apa, tapi malu jugak, hihi.

Puan Hazel said...

Jauh berjalan luas pandangan dan pengalaman...