![]() |
'di sini bersemadi sebahagian daripada kasih sayangku' |
Ada sunyi yang tak terungkap,
tinggal di penjuru hati yang paling dalam.
Di situ tersimpan wajah arwah ibu dan ayah,
yang kini hanya hadir dalam mimpi,
dan dalam helaian kenangan yang semakin pudar,
namun harum kasih mereka tetap kekal bersemi.
Aku masih ingat suara lembut ibu,
menyebut namaku setiap kali aku pulang lewat senja.
Dan tawa ayah yang menjadi pelindung kala hujan turun deras,
yang kini hanya gema..
di lorong-lorong sepi sebuah rumah yang telah lama tidak bersuara.
Wahai saudara-maraku yang telah mendahului,
satu demi satu pergi meninggalkan ruang kosong di meja makan,
dan dalam gambar-gambar lama yang sudah kekuningan,
aku mencari sisa suara,
aku mengutip sisa pelukan yang pernah menghangatkan jiwa.
Rakan taulan yang pernah kita berkongsi ketawa,
berkejaran di halaman kampung yang kini sunyi,
aku rindu bicara lama,
aku rindu hari-hari tanpa kesedihan..
tapi kalian telah dijemput Ilahi,
dan aku masih di sini,
menghitung hari demi hari yang kehilangan.
Kadang kala, aku duduk sendirian..
memandang ke langit petang,
berharap angin membawa rindu ini
sampai ke taman syurga tempat kalian bersemadi.
Jika rindu ini punya suara,
pastilah ia sebak yang tak pernah reda.
Jika rindu ini punya tangan,
pastilah ia mahu memeluk kalian semula.
Tapi aku hanya manusia,
yang bisa berdoa dan menitip harapan,
agar kelak kita bertemu kembali
di negeri abadi..
tanpa air mata,
tanpa perpisahan,
hanya cinta, kasih.. dan keabadian.
3 comments:
Membaca sajak ini, terinagt arwah ibu dan ayah Etuza..damai mereka di alam barzak ustaz, pasti kita kembali kepadaNya..Nun di sana ada perumahan kampung ustaz kah tu ya?
dulu tapak perumahan tu kawasan alur air dan ada air terjun kecil tempat saya dan kawan2 bermain / mandi dan balik senyap2 takut mak tahu hehe
sesekali balik kampung ambik foto. saya tinggal di luar. tu pun antara perumahan yang ada di kampung saya.
Post a Comment