Sahabat Sejati

Thursday, 17 July 2025

Mutiara Al-Quran dari Lombok - Sebuah pertemuan dengan Hafidz Cilik Indonesia, Naja Hudia yang luarbiasa

'Bersama Naja dan bapanya di rumah datuknya'
 
Dalam perjalanan menelusuri bumi Mataram, Lombok, tanah yang memeluk damai dan kesederhanaan, saya dipertemukan dengan sosok kecil yang luar biasa: adik Muhammad Naja Hudia Afiffurohman, atau lebih akrab disapa Naja. Kisahnya pernah tular semasa program Hafidz Cilik Indonesia 2019

Pertemuan kami bukan sekadar kebetulan biasa. Ia adalah sebuah takdir yang membungkus hikmah, menyapa jiwa dalam diam. Di rumah datuknya yang sederhana, saya melihat sinar istimewa dalam raut wajah Naja , wajah yang tidak lelah dengan ujian, namun sarat dengan keikhlasan dan cahaya iman.

Naja, seorang anak kecil yang diuji sejak bayi dengan penyakit lumpuh otak (cerebral palsy). Tubuhnya kaku, sulit bergerak, apalagi berdiri atau berjalan seperti anak-anak lain. Namun Allah menggantikan kekurangannya dengan anugerah luar biasa: kemampuan menghafal seluruh 30 juzuk al-Quran pada usia 9 tahun. Bukan itu sahaja, adik Naja juga telah menghafal rerjemahan al-Quran, mampu mengingat muka surat, nombor ayat dan sebagainya. Subhanallah, luarbiasa!

'Di hadapan rumah datuknya'

Bayangkan... dalam keadaan tidak mampu menulis, tidak mampu bermain bebas, bahkan tidak mampu menjaga dirinya tanpa bantuan orang lain, Naja tetap mampu menakluk mukjizat Kalamullah. Setiap huruf di bibirnya adalah bukti bahawa kekuatan bukan pada tubuh, tetapi pada hati yang bersandar kepada Ilahi.

Saya terdiam panjang saat mendengarkan bacaan ayat-ayat suci dari bibir kecilnya. Lancar, fasih, dan menyentuh kalbu. Jiwanya seakan hidup dalam alunan wahyu, mengingatkan saya bahawa kecacatan fizikal bukan alasan untuk berhenti menjadi insan luar biasa.

'Program Hafiz Cilik Indonesia 2019' ~ sumber foto
 

Adik Naja bukan sekadar Hafidz. Dia adalah cahaya. Sebuah pelita kecil yang menyalakan harapan pada kita yang sering lupa mensyukuri nikmat sempurna.

Dan saya pulang dari pertemuan itu bukan dengan tangan yang penuh oleh-oleh, tapi dengan jiwa yang penuh keinsafan dan semangat baru.

Kerana dari Naja, saya belajar satu perkara penting. Bila Al-Quran menjadi pelita dalam gelap hidupmu, maka tiada cacat yang dapat menghalangimu untuk bersinar.

3 comments:

paridah said...

assalam moga ustaz sht afiat tiasa subhanallah luar biasa kelebihan anugerahNya damai jiwa anak syurga

MOHAMAD TAUFIK said...

Walaupun kanak-kanak tersebut ada kekurangan... Tapi kelebihan dia ada pada yang lain.

Etuza said...

Salam singgah..luar biasa Naja, pernah tonton rancangan tu ..benar dia insan istemewa ..terkedu seketika membaca dan melihat Naja dalam blg sahabat ustaz..Takdir anda ketemu Naja..

Post a Comment