Aku merenung rak buku yang kian padat. Deretan naskhah tersusun rapat, ada yang sudah lama tidak disentuh, ada yang masih berbalut plastik sejak dibeli. Anggaranku, mungkin mencecah ribuan judul.
Dari buku-buku agama yang menenangkan jiwa, novel yang membawa terbang ke dunia fiksi, catatan travelog yang mengembara tanpa bergerak, motivasi yang membakar semangat, kisah mistik dan horror yang sering kutatap tika lewat malam, hinggalah ke genre sejarah yang paling banyak menghuni rak, penuh kisah silam yang menjadi cermin masa depan.
Sejarah... itulah cinta pertama yang aku kenali sejak kecil. Ketika rakan-rakan sebaya bermain di halaman, aku sudah tekun membelek buku teks abang dan kakak. Tiada siapa memaksa, tiada hadiah yang dijanjikan. Cuma rasa ingin tahu yang bergelora dalam dada seorang anak kecil.
Dek kerana terlalu obses dengan buku dan membaca, setiap bulan, aku pastikan ada sekurang-kurangnya satu buku baharu menghuni ruang rak, bagaikan hadiah kecil untuk jiwa yang dahagakan ilmu.
Sesekali, aku duduk membelek kembali helaian lama. Bau kertas yang pudar masih menggamit kenangan. Ada catatan tangan yang pernah kutulis di tepi margin. Ada cebisan kenangan bersama setiap buku, seolah-olah aku pernah hidup dalam setiap halaman itu.
Buku-buku itu seperti sahabat lama. Mereka menunggu aku tanpa merungut. Dan aku... masih percaya, satu hari nanti aku akan kembali duduk diam bersama mereka. Kerana cinta yang sebenar tak pernah padam, ia cuma berehat sebentar, menunggu masa yang tepat untuk kembali menyala.
0 comments:
Post a Comment