Sahabat Sejati

Monday 25 March 2019

Cerita kenduri kahwin

'tetamu sudah pun pulang'

Membuat kerja-kerja kenduri kahwin sememangnya memenatkan, terutama apabila ia dilakukan sendiri tanpa campurtangan khidmat katering, sebagaimana kebanyakan yang diamalkan hari ini (tidak semua).  Jika menggunakan khidmat katering, tidak perlu bersusah-payah. Boleh goyang-goyang kaki sambil menyambut tetamu yang datang, cuma sediakan sahaja ongkosnya.  

Tetapi kami tidak mahu menggunakan khidmat katering. Semuanya mesti dibuat dengan cara bergotong-royong sebagaimana masyarakat dahulu. Bermula beberapa perancangan, seterusnya penyediaan bahan-bahan masakan, kemudian memasak, menghidang kepada tetamu sehinggalah mengemas kembali setelah selesai semuanya. 

Demikianlah apa yang saya rasakan, melepek hampir seharian selepas majlis tersebut tamat pada sebelah petang. Mana tidaknya, bermula malam sebelumnya (malam besar) sudah pun ‘berperang’ dengan lembu dan ayam di dapur. 

Begitulah ceritanya, Sabtu yang lalu, kakak saya telah mengadakan majlis kahwin anak bongsunya. Seperti biasa majlis tersebut diadakan di rumah bapa saudara kami. Lagipun memang beliau mahukan majlis tersebut dijalankan di rumahnya. Maklumlah kedua orang tua kami telah pun tiada, jadi merekalah saudara tertua yang masih ada. 

Dengan halaman rumah yang luas, peralatan memasak yang telah cukup tersedia serta kepakaran memasak yang dimiliki oleh mereka suami isteri, lebih-lebih lagi beliau dan isterinya memang tukang masak kenduri di kawasannya. Jadi, semuanya serba memudahkan.

'apa-apa kerja pun boleh'  

Seperti biasa saya memilih untuk berkhidmat di bangsal memasak. Kerja-kerja yang sangat minati. Tetapi kali ini bukan hanya kerja-kerja memasak, bahkan semua kerja saya ‘tapau’. Memasak, menyediakan hidangan tetamu, menjaga bangsal air minuman, mengutip dan membasuh cawan, sehinggalah kerja-kerja mengemas apabila tetamu sudah pulang. Itu yang sampai melepek macam ular berlingkar. Capek.

Walaupun penat yang agak ketara, namun hati saya merasa sangat terharu puas. Tentunya saya melihat majlis ini bukan semata-mata mahu meraikan pasangan mempelai, tetapi ada sesuatu yang lebih berharga daripada itu. Saya melihat ia adalah satu rahmat apabila bertemu dan berkumpul sesama kaum keluarga. Berkenal-kenal dengan yang dekat dan jauh, bermesra-mesra yang mana tidak rapat. 

Sepupu-sepapat yang berpupu-pupu, sehingga habis susur-galur keluarga dikorek. Seperti kata kakak sepupu saya, “setelah orang tua tiada, maka terputuslah perhubungan kami semua. Yang muda-muda berlaga bahu pun tidak bertegur kerana tidak kenal.”  Jadi, majlis seperti perlu diambil kesempatan untuk mengenali kaum kerabat sendiri.

Benar sekali katanya. Saya sendiri pun, terkial-kial mahu mengingati saudara-mara yang datang. “Ini ayah dua pupu sebelah nenek saudara kamu yang di Jerantut, ini adik isteri sepupu kamu yang tinggal di Muar. Yang ini tinggal Teluk Intan, yang ini pula…” Allahu, jika tidak ada yang menjelaskan, ini siapa, itu siapa, jawabnya berlaga bahu pun memang tidak bertegur sapa. 

Demikianlah, dalam kecapekan yang melingkari, terkandung di dalamnya rahmat yang seharusnya disyukuri.

1 comments:

saniahibrahim said...

betul ustaz...masa kenduri kawen ni lh boleh jumpa sedaramara jauh dekat .Akak pun masa bulan Nov thn lepas ada buat majlis jemput menantu..seronok sedara yg tak pernah dtg pun dtg walaupun dari jauh.

Post a Comment