Soalan:
Apakah benar memakan daging unta membatalkan wudhuk?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, perkara ini telah menjadi khilaf di antara alim ulama’ atau mazhab-mazhab di dalam Islam. Di sini kami nukilkan pendapat para fuqaha’ daripada al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah terhadap hukum memakan daging unta adakah ia membatalkan wudhuk. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42-43/8]
Jumhur ulama’ berpendapat bahawa memakan daging unta tidak membatalkan wudhuk. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, diriwayatkan bahawa Nabi SAW:
إنَّمَا الْوُضُوءُ مِمَّا يَخْرُجُ وَلَيْسَ مِمَّا يَدْخُلُ
Maksudnya: “Sesungguhnya berwudhuk (perlu) berdasarkan apa yang keluar, bukannya berdasarkan apa yang masuk.” [Riwayat al-Baihaqi (708)][Imam al-Nawawi mengatakan riwayat al-Baihaqi ini sanadnya adalah hasan atau sahih][Imam al-Zahabi mengatakan riwayat ini adalah mawquf di dalam Tanqih al-Tahqiq dan begitu juga Imam al-Mulaqqin di dalam Khulasah al-Badr al-Munir]
Selain itu juga, berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Jabir RA berkata:
كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتِ النَّارُ
Maksudnya: “Antara perintah terakhir Rasulullah SAW adalah meninggalkan wudhuk pada makan apa-apa yang diubah (disentuh) api.” [Riwayat Abu Daud (192)][Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]
Ini kerana, apa yang dimakan itu sama sahaja seperti makanan-makanan yang lain (selain daripada daging).
Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Ibn Mas’ud RA, Ubai bin Ka’ab RA, Abi Talhah RA, Abi Darda’ RA, Ibn Abbas RA, Amir bin Rabi’ah RA dan Abi Umamah RA. Selain itu, pendapat ini adalah yang dipegang oleh jumhur Tabi’in dan ia merupakan pendapat mazhab Hanafi, Maliki dan pendapat yang sahih di dalam mazhab al-Syafi’e.
Adapun, mazhab Ahmad dan juga pendapat qadim (terdahulu) di dalam mazhab al-Syafie mewajibkan berwudhuk bagi orang yang memakan daging unta dalam semua keadaan iaitu dalam keadaan daging itu mentah atau dimasak dan juga samada orang tersebut tahu (akan batalnya wudhuk dengan memakan daging tersebut) dan jahil (tidak tahu).
Pendapat ini dipegang oleh Ishak bin Rahawayh, Yahya bin Yahya dan dikhabarkan oleh al-Mawardi daripada kalangan sahabat pula ialah Zaid bin Thabit RA, Ibn Umar RA, Abu Msa RA dan Abu Talhah RA. Ia juga merupakan pilihan bagi beberapa orang ulama’ yang bermazhab al-Syafie seperti Abu Bakar bin Khuzaimah, Ibn Munzir, al-Baihaqi dalam tarjihan serta pilihannya dan juga pendapat tersebut dikuatkan (disokong) oleh al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Majmu’.
Mereka ini menggunakan dalil daripada hadith al-Barra’ bin Azib berkata:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْوُضُوءِ مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، فَقَالَ: تَوَضَّئُوا مِنْهَا، وَسُئِلَ عَنْ لُحُومِ الْغَنَمِ، فَقَالَ: لَا تَوَضَّئُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Nabi SAW ditanya berkaitan daging unta. Maka Nabi SAW menjawab: “Berwudhuklah kamu disebabkannya. Baginda SAW juga ditanya berkaitan daging kambing. Maka jawab Baginda SAW: Tidak berwudhuk disebabkannya.” [Riwayat Abu Daud (184)] [Syeikh Syuaib al-Arna’outh mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]
Antara hadith yang lain adalah, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَوَضَّئُوا مِنْ لُحُومِ الْإِبِلِ، وَلَا تَتَوَضَّئُوا مِنْ لُحُومِ الْغَنَمِ
Maksudnya: “Berwudhuklah kamu disebabkan daging unta dan janganlah kamu berwudhuk disebabkan daging kambing.” [Riwayat Ibn Majah (497)][Menurut Syeikh Fuad Abd al-Baqi di dalam sanad hadith ini terdapat perawi bernama Baqiyyah bin al-Walid dan dia adalah seorang mudallis. Dia juga meriwayatkan hadith ini dengan “العَنْعَنَةْ”. Perawi yang lain adalah thiqah melainkan Khalid adalah seorang yang majhul (tidak diketahui keadaannya).
Sebelum kami nyatakan pendapat kami dalam masalah ini, suka bagi kami untuk menukilkan pendapat Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’:
وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا ينتقض الوضوء بشئ مِنْ الْمَأْكُولَاتِ سَوَاءٌ مَا مَسَّتْهُ النَّارُ وَغَيْرُهُ غَيْرَ لَحْمِ الْجَزُورِ وَفِي لَحْمِ الْجَزُورِ بِفَتْحِ الْجِيمِ وَهُوَ لَحْمُ الْإِبِلِ قَوْلَانِ الْجَدِيدُ الْمَشْهُورُ لَا يَنْتَقِضُ وَهُوَ الصَّحِيحُ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَالْقَدِيمُ أَنَّهُ يَنْتَقِضُ وَهُوَ ضَعِيفٌ عِنْدَ الْأَصْحَابِ وَلَكِنَّهُ هُوَ الْقَوِيُّ أَوْ الصَّحِيحُ مِنْ حَيْثُ الدَّلِيلُ وَهُوَ الَّذِي أَعْتَقِدُ رُجْحَانَهُ
Maksudnya: “Mazhab kami (mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk sesuatu daripada makanan samada ia dikenakan api (dimasak) atau selain daripadanya melainkan daging unta terbahagi kepada dua pendapat. Pendapat yang baru lagi masyhur (dalam mazhab al-Syafi’e) adalah tidak membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah sahih di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Adapun, pendapat yang qadim (pendapat lama dalam mazhab al-Syafi’e) adalah membatalkan wudhuk dan pendapat ini adalah dhaif (lemah) di sisi ashab al-Syafi’eyyah. Akan tetapi, pendapat ini (pendapat yang lemah) lebih kuat atau sahih dari sudut dalil dan aku lebih cenderung kepada pendapat ini dari sudut ketepatannya.” [Lihat: al-Majmu’, 57/2]
Jawapan Para ulama’
Berikut adalah dua jawapan yang diberikan oleh para ulama’ (yang mengatakan memakan daging unta tidak membatalkan wudhuk) dalam berinteraksi dengan dalil-dalil yang dilihat lebih kuat bagi pihak yang mewajibkan berwudhuk sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan kami nukilkan jawapan ini daripada fatwa negara Jordan:
Pertama:
Hadith yang memerintahkan untuk berwudhuk adalah mansukh (hukumnya digantikan disebabkan datangnya dalil yang lain) dengan hadith Jabir RA yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.
Kedua:
Maksud wudhuk di dalam hadith adalah membasuh tangan dan berkumur. Akan tetapi, mengapa dikhususkan daging unta adalah disebabkan lemak yang berlebihan ada pada dagingnya. Selain itu, Nabi SAW melarang seseorang itu tidur dalam keadaan tangan dan mulutnya berlemak (lemak daging) kerana bimbang disengat oleh kala jengking dan seumpamanya sebagaimana yang disebut di dalam Sunan Abi Daud.
Pendapat kami
Setelah melihat pendapat-pendapat di atas, maka kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur ulama’ yang tidak membatalkan wudhuk bagi sesiapa yang memakan daging unta. Akan tetapi, jika seseorang itu berwudhuk selepas memakan daging unta adalah lebih baik sebagai langkah berjaga-jaga dan keluar daripada khilaf pendapat yang mewajibkan.
Penutup
Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan kefahaman kita dalam agama. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama seterusnya dapat kita beramal dengannya. Amin.
Wallahua’lam
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Jabatan Perdana Menteri
0 comments:
Post a Comment