Sahabat Sejati

Monday 4 February 2019

Sama-sama menginsafi..

foto hiasan: sumber

Alhamdulillah, kita telah pun berada di awal bulan Februari 2019. Bermakna telah sebulan kita meninggalkan tahun 2018. Masa yang berlalu, sehari demi sehari pertukaran siang dan malam. Menyambut hari baharu yang berkunjung tiba, dalam sedar ataupun tidak, telah bertambah sehari usia kita dan disebaliknya pula telah dipotong peruntukkan usia tersebut.

Kita mengira usia yang bertambah samada apabila bertukar tahun, bulan atau hari, hakikatnya ia semakin berkurang, berkurang dan berkurang sehinggalah telah habis peruntukan usia tersebut, maka keluarlah roh daripada jasad. Terbujurlah jasad diperbaringan menunggu tandu yang akan membawanya bersemadi di liang lahad.

Keselamatan seorang hamba apabila Allah SWT menerima semua amalannya. Sekiranya ia bangun daripada tidur dan melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah, maka ia akan beroleh keselamatan. Sebaliknya jika ia melakukan kemungkaran, maka ia akan mendapat kemurkaan Allah. Tiadalah keselamatan baginya kecuali berada di atas jalan redha-Nya iaitu kembali bertaubat.

Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka sehingga akhir dunia ini. Luasnya mata memandang, menganjur dari timur ke barat. Sesiapa yang ingin kembali ke pangkuan ampunan dan redha Tuhannya tidak akan disia-siakan. Dia pasti menerima dan tidak pernah menutup pintu-Nya selagi insan yang berdosa itu benar-benar ikhlas dan menyesal.

Marilah kita sama-sama menginsafi diri (peringatan yang tentunya lebih utama kepada diri saya). Bersegera beramal mengumpul kebajikan sebanyaknya. Sentiasalah peruntukkan masa memohon keampunan-Nya, kerana kita adalah pendosa, samada dalam sedar atau lalai. Namun, sebaik-baik pendosa adalah yang bertaubat kepada-Nya.    

Allah SWT berfirman: "Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (az-Zumar: 53)

3 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz sht sejhtera sekeluarga..kita amat mengaharapkan n berdoa Allah reda n terima amalan kita untuk dibawa ke sisi-Nya

Normala Saad said...

Assalamualaikum Abu.
Sekejap ja kan masa berlalu...

Warisan Petani said...

Salam.
Sama2lah kita ingat mengingati.

Post a Comment