Sahabat Sejati

Monday 25 February 2019

Berbelanja di AL-BAITY


Alhamdulillah, dalam sedikit kesibukan ke hulu dan hilir, sempat saya singgah sebentar di AL-BAITY bagi membeli barangan makanan kering untuk maahad tahfiz milik sahabat saya. Sambil-sambil itu saya membelek-belek juga beberapa barangan keperluan yang berkenan di hati. Oh ya, AL-BAITY adalah sebuah food market yang merupakan milik sepenuhnya melayu muslim. Letaknya di hadapan jalan raya utama dan tidak berapa jauh dengan tempat tinggal saya.  


 
Kebiasaannya dalam sebulan atau dua bulan sekali saya akan berbelanja di AL-BAITY untuk membeli barangan makanan kering yang akan diserahkan ke maahad tahfiz ataupun pondok pengajian. Selain makanan kering, boleh juga didapati makanan sejuk beku. Tentunya saya memilih kedai runcit atau pasar mini milik muslim untuk tujuan tersebut. Rasa bersalah pula jika tidak melakukan hal demikian, kerana ia akan menjadi cicipan para penghafaz kalamullah dan penuntut ilmu-ilmu agama. 



Baru-baru ini telah tular di mana-mana terutama media maya berkenaan kempen 'beli produk muslim'. Turut terkesan dengan kempen tersebut, lalu saya menyahut seruan untuk sama-sama menjayakannya. Walaupun sebenarnya sudah lama saya memilih produk muslim, terutama dalam membeli barangan bagi dihantar ke maahad tahfiz, tetapi dengan adanya kempen ini, menyebabkan saya bertambah semangat. Ya, sokong dan beli produk muslim semampunya dan selagi ada pilihan. 



Pada fikiran saya memang sepatutnya telah lama diadakan kempen ini. Dengan anggaran umat Melayu di Malaysia seramai 18 juta, pastinya kempen ini mampu menaikkan ekonomi orang Islam, dan yang paling utama untuk memastikan bahan makanan yang masuk ke dalam perut kita diyakini akan kesuciannya. Saya percaya jika kempen ini berterusan, tidak mustahil dalam masa 2 atau 3 tahun umat Islam akan dapat menguasai ekonomi terutama dalam bidang pemprosesan makanan halal yang boleh dikatakan menghadapi masalah yang amat kritikal.

Moga kempen ini berterusan dan tidak hanya bermusim.   

1 comments:

Normala Saad said...

Assalamualaikum Abu.
Kak pun berharap agar kempen beli barangan muslim ini berterusan.

Post a Comment