Sahabat Sejati

Thursday, 7 February 2019

Santai-santai di Taman Teruntum


Kami menyusuri laluan yang disediakan untuk pejalan kaki. Laluan yang terdiri daripada susunan batu berwarna merah dan hitam yang telah pun pudar warnanya. Anakanda Haikal yang istimewa terlebih dahulu meninggalkan saya dan ummu Ikhwan di belakang. Teruja dengan orang ramai yang bersantai-santai di taman rekreasi milik majlis perbandaran ini. 

Demikianlah suasana petang di Taman Teruntum yang redup. Sebuah taman rekreasi orang ramai yang menempatkan mini zoo, gerai makan dan berbagai lagi fasiliti untuk para pengunjung bersantai-santai. Justeru, petang yang baik cuacanya ini menyambut kami datang bertandang mendakap mesra. 

Di satu sudut, kanak-kanak sedang bermain permainan buaian, gelongsor dan jongkang-jongkit. Manakala di sebelah kanan pula sekumpulan kanak-kanak bercampur orang dewasa sedang bermain buih sabun. Angin petang yang bertiup menerbangkan buih-buih sabun bersama riuh-rendah suara mereka sambil dibumbui hilai ketawa. 

Sebilangan kecil pula pengunjung bersantai-santai di tebing kolam, asyik melihat ikan-ikan yang menyambar cebisan roti yang dilempar. Besar sekali ikan-ikan di kolam buatan itu. Ada tilapia, keli afrika dan lain-lain spesis. Di tengah-tengah kolam tersebut dibina sebuah pulau kecil yang menempatkan sepasang haiwan lotong. Terpegun melihat haiwan tersebut bergayut cergas dari dahan ke dahan. 

sumber foto

Sesekali saya mengetip butang kamera telefon bimbit. Merakam detik-detik yang menarik hati untuk dijadikan kenangan. Manalah tahu kalau-kalau 10 atau 20 nanti taman ini sudah tidak wujud kerana diasak pembangunan. Mungkinlah, mana tahu. Jadi dapatlah nanti ditunjukkan kepada generasi akan datang. Itupun jika masih ada lagi anugerah umur daripada-Nya. 

Kehidupan adalah milik-Nya, begitu juga dengan kematian. Kedua-duanya menjadi ibtila` bagi yang bergelar manusia, siapakah yang terbaik amalannya. Demikianlah..  

0 comments:

Post a Comment