Sahabat Sejati

Thursday, 5 April 2018

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (36)


foto hiasan ~ sumber

PERINTAH DAKWAH

Memahami Perintah Dakwah

"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!" (Al-Muddaththir 74:1-7) 

Rangkaian perintah ini secara zahir kelihatan begitu singkat dan sederhana. Namun hakikatnya, ia mempunyai jangkauan dan tujuan yang jauh, pengaruh yang kuat serta tuntutan kerja yang berat. Hakikat perintah ini dapat difahami seperti berikut:

1. Tujuan bangkit untuk memberi peringatan supaya nabi tidak membiarkan seorang pun di dunia ini yang menyelisihi jalan keredhaan Allah. Maka, baginda mesti memberinya peringatan berkenaan ancaman buruk yang bakal menimpanya sehingga hati dan jiwa orang itu bergetar dan bergoncang oleh rasa takut.

2. Tujuan membesarkan Allah supaya nabi tidak membiarkan kesombongan dipertontonkan oleh satu makhluk pun di muka bumi. Maka, baginda perlu membuka mata manusia bahawa makhluk itu lemah dan tidak bernilai apa-apa sehingga tiada lagi tersisa kesombongan di muka  bumi kecuali kesombongan Allah semata-mata.

3. Tujuan membersihkan pakaian dan meninggalkan dosa supaya nabi mencapai puncak kesempurnaan dalam usaha baginda membersihkan diri secara zahir dan batin. Juga usaha baginda menyucikan hati daripada pelbagai noda dan kelemahan. Ini adalah kerana dengan mencapai puncak tersebut, jiwa manusia dapat bernaung di bawah rahmat, penjagaan, perlindungan, petunjuk dan cahaya Allah.

Oleh itu, dirinya dapat menjadi teladan tertinggi bagi masyarakat manusia. Orang yang berhati mulia akan tertarik untuk mendekati dan mengambil manfaat daripadanya. Sementara itu, orang yang berhati kotor akan mengakui kemuliaan dan keluhurannya (walaupun pengakuan tersebut tidak disampaikan secara lisan dan walaupun mereka tetap juga berkeras untuk menentangnya) sehingga perhatian seluruh dunia tertuju kepadanya samada yang mengikutinya maupun yang menentangnya. 

4. Tujuan melenyapkan keinginan untuk meminta balasan lebih banyak ketika memberi supaya nabi tidak menganggap kerja dan kesungguhannya suatu prestasi besar. Sebaliknya, baginda mesti tetap berjuang untuk beramal dan terus beramal tanpa kenal letih dan mengerahkan segenap kesungguhan dan pengorbanan menggunakan setiap kekuatan yang dimiliki oleh baginda lalu melupakan semua itu dan tidak lagi mengingatinya. Bahkan, baginda perlu "membunuh" rasa berjasa di hadapan Allah sehingga baginda tidak lagi berasa bahawa baginda telah berjuang dan berkorban.

5. Pada ayat yang terakhir (ketujuh) terdapat isyarat bahawa nabi akan diganggu oleh gangguan daripada orang yang keras kepala berupa penentangan, ejekan dan cemuhan, hingga mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk membunuh baginda dan para sahabat serta melenyapkan populasi kaum beriman yang ada di sekeliling baginda. Maka, Allah menyuruh nabi untuk bersabar dengan sekuat-kuatnya dan seteguh-teguhnya, bukan untuk memperoleh keuntungan bagi dirinya, melainkan semata-mata demi keredhaan Allah.

Allhu akbar! Betapa singkat perintah-perintah ini dilihat daripada lafaz zahirnya. Betapa lembut pun iramanya yang mengalun nyaman dan memikat hati. Namun di sebaliknya, terdapat tuntutan kerja yang teramat berat serta kesan yang sangat dahsyat hingga mendatangkan badai taufan di seluruh bumi.

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

0 comments:

Post a Comment