Sahabat Sejati

Friday, 1 June 2018

Anakanda Ikhwan selamat sampai di bumi tercinta

Teman-teman menghantar along Ikhwan pulang ke Malaysia. Mereka bertiga pula pulang pada minggu hadapan

Alhamdulillah.

Anakanda Ikhwan telah pun selamat menjejakkan kakinya di bumi Malaysia tercinta. Walaupun pada asalnya perancangan untuk tidak pulang bercuti pada tahun ini. Di dalam grup whatsapp keluarga kami, dia menyatakan untuk balik pada cuti tahun depan. Kami sekeluarga akur dengan keputusannya, walaupun sebenarnya hasrat kami mahukan dia pulang agar dapat menyambut lebaran bersama.

Tidak disangka dan tidak terdetik di fikiran, pada hari Jumaat lepas, kira-kira jam 10 malam anakanda Ikhwan terpacul memberi salam di hadapan pintu. Terperanjat dan terpaku seketika ummu Ikhwan tatkala melihat anak sulung di depan mata. Bergenang juga air mata ummu Ikhwan sambil memeluk anak sulung yang telah setahun di perantauan.  Rindu, serindu-rindunya..

Saya pula kebetulan masih berada di masjid menunaikan solat tarawih. Sesampai di rumah, along Ikhwan terjongol di depan saya, niatnya mahu membuat 'surprise'. Mujurlah saya sempat 'mengontrolkan' diri, berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tersenyum saya mendengar rungutan along Ikhwan kepada umminya, "abi langsung tak terkejut.." Hehehe, tengok oranglah!

Cerita along Ikhwan, pada asalnya memang dia tidak mahu pulang bercuti ke Malaysia pada tahun ini, sebaliknya mahu pulang pada cuti tahun hadapan. Tetapi setelah mendapat makluman bahawa cuti pada tahun hadapan jatuh sama seperti tahun ini, iaitu bermula pada akhir bulan Mei hingga Ogos. Akhirnya dia mengubah fikiran setelah mencongak-congak, cuti tersebut jatuh selepas sambutan aidilfitri. Setelah difikir-fikir, elok balik tahun ini, dapat juga beraya bersama keluarga.

Kami menurut sahaja keinginannya samada mahu balik tahun ini atau tahun hadapan, yang penting dia selesa dengan keputusan yang dibuat. Cuma setelah keputusannya untuk balik bercuti pada tahun ini, tidak pula dimaklumkan kepada saya maupun ummu Ikhwan. Hendak buat kejutan kepada semua katanya. Hmm, bertuah punya anak!

Apa pun, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas taqdir-Nya ini. Along Ikhwan pun telah selamat sampai ke depan pintu rumah. Walaupun bersendirian menempuh perjalanan panjang, (rakan-rakan yang lain ada yang pulang lebih awal, dan ada yang pulang lewat sedikit. Tetapi masing-masing berteman samada berdua, bertiga atau lebih) Cuma along Ikhwan balik berseorangan, tapi tak mengapalah, anak jantan!

Menurutnya lagi, perjalanan bermula pada hari Khamis dari Kaherah langsung transit di Abu Dhabi, kemudian meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur. Sampai di KLIA menggunakan pula perkhidmatan LRT untuk sampai ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Seterusnya dari situ menaiki bas ekspres menuju ke Kuantan. Manakala dari Kuantan 'carter' pula perkhidmatan Grab untuk sampai di depan pintu rumah pada hari Jumaat kesesokannya. Alhamdulillah, telah pun selamat sampai.

1 comments:

Warisan Petani said...

Alhamdulillah.
Dapatlah menyambut lebaran bersama2

Post a Comment