“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (kebenaran) Allah. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. Dan mereka hanyalah berkata bohong (yang tidak ada dasar kebenarannya). (Al-An`aam:116).
Setiap insan di dunia ini pasti mempunyai tujuan hidup masing-masing. Tidak ada manusia yang berkata bahawa mereka sekadar hidup dan tidak tahu mengapa mereka hidup. Mustahil.
Tujuan hidup berbagai-bagai dan terpulang kepada individu itu sendiri. Tujuan hidup yang berbagai inilah yang mencorak dan mewarnai perjalanan hidup manusia. Tidak dinafikan dalam mengharungi arus kehidupan ada yang tersasar dari lapangan tujuan hidup. Mereka dibayangi tujuan hidup yang rapuh dan kabur. Mereka mudah di pengaruhi manusia di sekeliling mereka, lalu mereka tenggelam dalam arus yang menyesatkan dan semakin jauh dari kebenaran.
Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat di atas:
“Melalui ayat ini Allah memperingatkan kembali kepada kita tentang bahayanya mengikuti pendapat orang ramai yang menyebabkan mereka menyimpang jauh dari jalan Allah. Biasanya pendapat dan fikiran seseorang itu semata-mata andaian dan sangkaan semata-mata yang bukan dari sumber ilmu pengetahuan yang benar. Justeru itu, kepercayaan yang bulat kepada Allah mesti ada pada setiap manusia, yang tidak dapat dipengaruhi oleh apa-apa dan sesiapa pun.”
Sesungguhnya tidak ada jaminan bahawa pendapat orang ramai itu benar dan selamat. Namun apa yang berlaku manusia lebih cenderung kepada bilangan yang banyak. Sehingga mereka mengukur dan menilai kebenaran itu berdasarkan jumlah manusia ramai. Inilah yang sepatutnya kita khuatiri jika pendapat yang banyak itulah yang menyeleweng manusia dari jalan Allah.
Oleh yang demikian firman Allah di dalam surah al-An`aam ayat 116 memperingatkan kita supaya berhati-hati dalam kehidupan, dan bertegas agar tidak tidak tertipu dan terpedaya pendapat dan tingkah laku sebahagian besar manusia.
Secara umumnya al-Quran menggambarkan tujuan utama hidup manusia di dunia boleh dibahagi kepada tiga tujuan:
Pertama
Manusia yang menjadikan hidupnya untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Mereka menggunakan tenaga, masa, fikiran, harta dan jiwa untuk mendapat redha Allah. Mereka berjuang menegakkan agama Allah.
Firman Allah SWT:
“Dan ada diantara manusia yang menjual dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Baqarah: 207)
Imam Jalaluddin al-Mahadi dan Imam Jalaluddin as-Suyuti menyatakan maksud ‘menjual dirinya’ dalam ayat ini ialah sanggup mengorban dirinya semata-mata ketaatan dan kepatuhan pada perintah Allah SWT.
Oleh itu, setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah bersedia mengorbankan seluruh tenaga dan jiwa raga kepada Allah. Tiada tujuan selain mencari keredhaan Allah SWT.
Kedua
Manusia yang menjadikan hidupnya untuk dunia semata-mata. Mereka menghabiskan tenaga dan jiwa serta masa hanyalah untuk kesenangan dan keseronokan demi memuaskan keinginan nafsunya, mereka ingin hidup berkekalan di dunia. Tujuan hidup mereka kabur dan mereka melupai kebesaran dan nikmat Allah SWT.
Allah berfirman:
“Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang.” (Muhammad: 12)
Allah SWT menyatakan kelakuan orang-orang yang mengingkari-Nya adalah seperti haiwan. Mereka makan seperti makannya haiwan. Mereka tidak pernah mengambil tahu apa yang mereka makan sama ada halal atau pun haram. Mereka hidup dalam keadaan berseronok-seronok, bersukaria dengan dunia serta menurut hawa nafsu.
Mereka berebut-rebut mengutip kekayaan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan ke mana selepas ini. Amat malang sekali jika ada di antara orang Islam yang turut terpedaya dengan kehidupan ini. Hidup yang tiada pegangan, tiada memberi manfaat masa, harta dan tenaga.
Firman Allah SWT:
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang melimpah-ruah dari emas dan perak, kuda tunggangan pilihan, binatang-binatang ternak dan tanam-tanaman. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan kepada Allah jualah tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Ali-Imran: 14).
Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Sesungguhnya Allah SWT memberitahu apa yang disukai dan dicintai oleh manusia dalam kehidupan dunia yang berupa pelbagai kesenangan dan kemewahan seperti wanita-wanita, anak-anak...tetapi kemudiannya Allah SWT akhiri ayat ini dengan peringatan bahawa semua itu merupakan kebahagiaan hidup di dunia, kesenangan dan keindahan yang akan hilang dan lenyap. Sedangkan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya.
Sepatutnya segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT digunakan semata-mata untuk mencari keredhaan-Nya, yang demikian adalah sebaiknya. Namun demikian, mutakhir ini kita lihat berbagai serangan fizikal dan pemikiran yang menimpa umat Islam.
Lihatlah apa yang ada di dalam media masa serta media cetak sekarang. Kebanyakannya adalah mengajak ke arah berhibur yang melampau-lampau. Cara hidup hedonisma yang di canang dari segenap penjuru. Maka tidak hairanlah umat Islam kini mulai lalai dan leka serta semakin jauh dari cara hidup Islam. Sensitiviti terhadap sesuatu isu yang melibatkan umat Islam pudar dan terpadam, jiwa umat Islam mati. Yang tinggalah puntung-puntung jasad yang condong menanti rebah.
Ketiga
Ada pula yang tujuan hidupnya sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran zaman. Mereka seumpama lalang yang meliuk-liuk menurut angin yang bertiup. Mereka akan beribadat atau berjuang jika ianya memberi manfaat atau mendapat pujian dan sanjungan. Tetapi jika ibadat tersebut menyebabkanya tergugat serta di timpa kesusahan atau pun keperitan maka ia segera berlalu, mereka lari meninggalkannya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 11:
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh sesuatu bencana berbaliklah ia kebelakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang amat nyata.”
Apa yang hendak dikatakan kepada golongan manusia seperti ini. Jelas golongan ini seumpama tidak mengerti hakikat hidup. Mereka sekadar mempertahankan kehidupan tanpa melihat kepada kebenaran. Agama diperlukan untuk mempertahankan serta kepentingan sendiri. Namun jika agama dianggap mengongkong serta menyekat kebebasan maka agama dicampak ke tepi. Mereka inilah yang disebut oleh Allah SWT sebagai golongan yang rugi di dunia dan akhirat.
Ibnu Kathir menjelaskan di dalam tafsirnya berkenaan ayat ke 11 surah al-Hajj: "Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Nya, ada yang menyembah Allah dengan keyakinan separuh-separuh dan iman yang amat rapuh. Apabila penglihatan mereka dalam ibadat menemui kebajikan dan menyebabkan nasib yang baik dalam kehidupan maka mereka tetap dalam ibadat dan menganggap agama itu baik dan benar.akan tetapi apabila diuji dengan musibah yang membawa kepada kerugian maka ia berpaling ke belakang serta mempersalahkan agama."
Betapa ramai golongan yang sebegini dalam kehidupan kita hari ini. Mereka berjuang bersungguh-sungguh serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah kepada keburukan. Mereka bekerja dan mencurahkan masa, tenaga dan harta untuk perjuangan. Tetapi apabila berhadapan dengan ujian yang berat, risiko perjuangan lalu mereka berpaling.
Mereka menukar haluan perjuangan, melompat sana dan sini. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangan yang mereka lalu kerana telah mendapat platform baru yang membantu mereka melepaskan diri dari ujian tersebut. Lompat sana, lompat sini....
Wallahu a`lam.
2 comments:
Assalam moga sht sjhtra sekeluarga,,,bagi yg selesa di dunia tujuan hidup fokus kpd dunia n xmahu kehilangannya..moga kita drpd kalangan mrk yg beriman n takwa
Dijadikan manusia di muka bumi ini adalah sbg hamba Allah dan khalifah utk memakmurkan bumi ini mengikut jalan yg dikehendaki Allah, malangnya ramai manusia yg tersasar matlamat hidupnya..
Post a Comment