Sahabat Sejati

Monday, 26 March 2018

Tetamu setia di HTAA

 'sabar menanti giliran'

Jam 8 pagi, bergulinglah roda 'kapcai tua' di dada aspal yang sedikit basah ditimpa gerimis halus. Di celah-celah kenderaan lain yang bertenaga mempamerkan kegarangan menuju destinasi masing-masing, kapcai tua yang banyak berjasa ini meluncur perlahan membawa watak utama iaitu saya dan 'si kecil Haikal yang istimewa'. 

Minggu lalu unit Audiologi menyambut kami dengan senyuman manis (Alhamdulillah, cepat pula urusannya selesai). Jika di unit Audiologi termasuk juga di unit Speech, saya tidak perlu mengambil nombor giliran kerana temujanji mengikut waktu yang telah ditetapkan di dalam buku temujanji. Sekiranya temujanji pada jam 9, maka sebelum jam 9 selalunya saya telah berada di tempat menunggu sebelum dipanggil masuk membuat pemeriksaan dan rawatan. Begitulah kebiasaannya. 

Hari ini sekali lagi saya membawa si Haikal memenuhi temujanjinya di HTAA. Kali ini unit Oftalmologi pula menerima kami berdua sebagai tetamu yang diundang. Ah, tetamu setia yang sering menampakkan wajah setiap bulan tanpa sekelumit rasa lelah. Demikianlah sudah menjadi rutin perjalanan hidup kami sejak ‘si kecil Haikal yang istimewa’ hadir di dunia ini, menjadi tetamu setia di HTAA. 

Berkunjung ke unit Oftalmologi bukanlah sesuatu yang menyenangkan (apakan daya). Sama juga jika memenuhi temujanji di unit Pediatrik. Kenapa? Kerana jumlah manusia (pesakit) yang menunggu amat ramai yang menyebabkan kebosanan ‘bertafakur’ sebelum nombor giliran dipanggil. 

Ditambah lagi dengan kondisi anak mata si Haikal jenis lambat kembang. Sekali titis ubat kembang anak mata, tidak mahu ia menjadi, dua kali pun tidak juga. Selalunya 3 kali titis barulah boleh berjumpa doktor pakar. Sekali titis perlu menunggu selama 30 minit, kemudian barulah dibuat pemeriksaan samada anak mata telah kembang ataupun tidak. Bayangkan jika perlu dititiskan ubat tersebut sebanyak 3 kali. Kadang-kala rasa cemburu pula apabila melihat orang lain yang mudah sahaja proses tersebut. Sekali titis sahaja sudah boleh bertemu sang perawat pakar.

Apa pun, ini bukanlah satu keluhan, jauh sekali ingin memberontak kerna tidak puas hati, tidak!. Ia hanyalah sekadar corat-coret sebuah perkongsian. Benar, hanya satu perkongsian. Saya sentiasa akur dengan ketentuan-Nya, sentiasa menadah tangan bersyukur kepada-Nya. Malahan tidak pernah terlintas untuk tidak mensyukuri apa sahaja ketentuan dalam perjalanan kehidupan yang dilalui.Apa sahaja taqdir-Nya, pasti terkandung di dalamnya hikmah kebaikan. Alhamdulillah..

3 comments:

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum
Biasalah kita rakyat marhaen bila ke hospital kerjaan terpaksa tunggu masa yg lama dpt rawatan dek kerana ramainya yg tunggu giliran.Apapun akak doakan semoga urusan ustaz utk haiqal sentiasa dipermudahkan.

Nor Azimah said...

Takpe ustaz, sabor tu pahala, hihi... Pandai je nasihat, cuba kena batang idung sendiri.. Mmg menunggu tu menuntut kesabaran yg tinggi kan, tapi dah mcm tu procedurenya kenalah ikut. Mudah2an penghukungnya baik2 Allah kurniakan.

paridah said...

Assalam moga sht sjhtra sekeluarga...insyaaAllah urusn ustaz n Haiqal pasti Allah permudhkn walau ada sdkit ketidakselesaan.

Post a Comment