"BUKIT GOH BERPOTENSI DILANDA BANJIR LUMPUR" - Astro Awani
Subuh tadi, hujan galak menerjah ke bumi. Atap anjung rumah saya pula menyambutnya dengan bunyi membingitkan. Tetapi saya tidaklah terganggu dengan bunyi bisingnya itu. Sudah biasa. Rumah di kampung dulu keseluruhannya beratap zink. Jika hujan, bunyinya lagi membingitkan. Hingga mahu bercakap pun terpaksa meninggikan suara. Tetapi itulah di antara 'hiburan' yang sekali-sekala menyerikan hidup kami.
Boleh dikatakan setiap hari hujan turun di tempat saya. Jika tidak di awal pagi, ia menyimbah di waktu petang sehingga membawa ke malam hari. Hujan pula bukan hujan yang biasa, tetapi diselangi dengan pancaran kilat dan guruh yang bergaung. Saya kira musim tengkujuh telah pun berada di awalnya. Ia adalah sesuatu yang biasa apabila memasuki bulan November dan Disember.
Musim tengkujuh, bukanlah sesuatu yang menarik. Saya ada riak-riak kegusaran tatkala mengingatkannya. Sementelah lagi, tempat tinggal saya pernah dinaiki air dulu. Lantaran itu, menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berpindah ke dewan orang ramai berdekatan.Harap-harap tahun tidak berlaku bah, namun jika berlaku juga tiadalah daya dan upaya menolaknya. Semuanya di dalam taqdir-Nya yang azali.
Tempohari saya menonton di siaran Astro mengenai berita "BUKIT GOH BERPOTENSI DILANDA BANJIR LUMPUR". Jika ia berlaku tentunya satu musibah yang amat buruk. Yalah, jika dilihat kawasan Bukit Goh sangat berbeza dengan yang dahulu. Udah macam padang pasir lagaknya. Kosong. Hilang kehijauan panorama deretan tanaman kelapa sawit.
Apakah sebabnya? Saya beranggapan semuanya gara-gara perlombongan bauksit. Dengar cerita ramai peneroka yang menjadi jutawan segera setelah memajakkan kawasan ladang kelapa sawit masing-masing. Tak apalah rezeki mereka. Tetapi jika berlaku seperti apa yang dijangkakan. Terimalah seadanya. Apa yang berlaku pasti bersebab. "Telah zahir kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan-tangan manusia..." Benarlah firman-Nya.
Ladang kelapa sawit Bukit Goh (foto tahun lalu) ~ sumber
0 comments:
Post a Comment