Sahabat Sejati

Thursday, 10 November 2016

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (15)

Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (14), di bawah tajuk: Penduduk Luar Mekah yang Mengakui Diri Beriman


foto hiasan ~ sumber


4. Thufail bin Amru al-Dausy. Dia seorang lelaki yang terhormat, penyair yang pandai dan ketua kabilah Daus. Kabilah yang dipimpinnya mempunyai sebuah pemerintahan (atau paling tidak seperti pemerintahan) yang menguasai sebahagian besar wilayah pinggiran Yaman.

Thufail mengunjungi Mekah pada tahun kesebelas kenabian. Sebelum tiba di Mekah, Thufail telah disambut oleh penduduk Mekah. Mereka memberikan salam penghormatan dan pengagungan kepadanya. Selepas itu mereka berkata, "Tuan Thufail, tuan mengunjungi negeri kami ketika ada orang sedang menyusahkan kami. Dia mencerai-beraikan persatuan kami dan memporak-perandakan urusan kami. Ucapannya bagaikan sihir yang memisahkan seseorang daripada ayahnya, juga daripada saudaranya, juga daripada isterinya. Kami khuatir tuan dan kaum tuan akan terkena hal yang sama seperti yang telah menimpa kami. Saranan kami, janganlah tuan bercakap dengannya dan jangan pula mendengar ucapannya walaupun sedikit."
    
Thufail berkata, "Demi Allah, mereka terus menghasutku sehingga aku bertekad tidak mendengarkan apa-apa daripada Nabi Muhammad dan tidak akan bercakap dengannya. Bahkan, aku menyumbat telingaku dengan kapas ketika memasuki masjid dengan tujuan agar aku tidak mendengar sepatah kata pun daripadanya."

Thufail meneruskan, "Aku masuk masjid dan aku dapati Nabi Muhammad sedang berdiri mengerjakan solat berdekatan Kaabah. Aku berdiri berdekatannya. Ternyata Allah menghendaki aku mendengar sedikit ucapannya. Ketika itu,  aku mendengar serangkap perkataan yang sangat indah.

"Aku berkata kepada diriku sendiri, "Demi kesusahan ibuku ketika melahirkanku! Demi Allah, aku adalah penyair yang pandai, yang sangat mahir membezakan mana ucapan yang indah dan mana yang buruk. Maka, tidak ada salahnya aku mendengar ucapan orang ini. Jika ucapannya indah, kenapa aku tidak menerimanya? Jika ucapannya buruk, aku akan pergi meninggalkannya."

"Aku diam mendengar hingga selesai. Selepas itu dia pulang ke rumahnya dan aku mengikutinya dari belakang."

"Tatkala dia masuk ke dalam rumah, aku meminta izin untuk turut masuk. Kujelaskan kisah kedatanganku, bermula daripada tindakan orang Mekah yang menakut-nakutkanku, bagaimana aku menyumbat telingaku dengan kapas, hinggalah akhirnya aku mendengar sebahagian daripada ucapannya."

"Aku berkata kepadanya, jelaskanlah kepadaku tentang urusanmu." Baginda menjelaskan tentang Islam kepadaku lalu disambung dengan membacakan untukku beberapa ayat al-Quran. Maka demi Allah, belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah daripada itu dan urusan yang lebih adil daripada urusan yang dibawanya. Maka, aku pun memeluk Islam dan bersyahadah secara benar."

"Kepadanya kukatakan, aku ini pemimpin yang ditaati di tengah kaumku. Aku akan kembali kepada mereka dan menyeru mereka untuk memeluk Islam. Oleh sebab itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan sebuah tanda penguat untukku. Rasulullah saw berdoa seperti yang kuminta."

Tanda penguat dakwahnya adalah ketika dia telah mendekati kaumnya. Allah menjadikan cahaya yang bersinar di wajahnya bagaikan pelita. Ketika itu dia berdoa, "Ya Allah, pindahkanlah, jangan diwajahku. Aku takut mereka mengatakan aku serupa dengan Nabi Muhammad." 

Maka Allah memindahkan cahaya itu ke tali cemetinya dan dia pun pergi mendakwahi ayah dan isterinya untuk memeluk Islam. Kedua-duanya menerima apa yang didakwahkannya dan mereka pun memeluk Islam. Hanya kaumnya saja yang tidak mahu memeluk Islam.

Meskipun begitu, dia tetap setia hidup bersama-sama kaumnya hinggalah dia berhijrah selepas Perang Khandaq(1), yang ketika itu dia diikuti oleh 70 atau 80 keluarga daripada kaumnya.(2)

Dalam memperjuangkan Islam, dia mendapat ujian keimanan yang baik sehingga dia terbunuh sebagai syahid dalam Perang Yamamah.   

Rujukan:
(1) Menurut maklumat lain, hijrahnya adalah setelah Perjanjian Hudaibiah. Dia mendatangi Madinah sementara Rasulullah berada di Khaibar. Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 385

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 382-385; Muhammad Sulaiman  Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. 1, hal. 81-82; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 144 dan Syah Akhbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil. 1, hal. 127. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment