Sahabat Sejati

Sunday 20 November 2016

Ayuh, bersegera. Jangan tangguh-tangguh!

Assalamualaikum warahmatullah, 

Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah SWT, tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberikan rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya. 

Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Sama ada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya semasa di dunia ini melalui amal dan tindakan. 

Membuat persiapan 

 foto hiasan: sumber

Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan yang perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan. 

Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan bahawa dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat istirehat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal untuk menuju alam abadi. 

Justeru, Allah SWT dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya. 

Diceritakan bahawa Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan... 

Rambut yang hitam menjadi putih 
Badan yang gagah beransur lemah 
Selera yang terbuka mula menguncup 
Gigi sudah banyak yang gugur 
Mata yang terang mulai kabur 
Kulit yang tegang semakin kendur 

Allah SWT berfirman: "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Ali-Imraan: 185). 

Oleh itu, awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak. 

Damba keampunan-Nya 

foto hiasan: sumber

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (at-Tahrim: 8). 

Segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu penerimaan-Nya sentiasa terbuka luas dan tanpa batasan. Allah SWT sentiasa membentangkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang ingin kembali kepada-Nya. Ingatlah, manusia yang terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa sama sekali, akan tetapi manusia yang terbaik adalah manusia yang ketika dia berbuat kesalahan dia segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. 

Teringat satu cerita semasa bersekolah arab dahulu. Mari kita kongsikan bersama. 

Diceritakan bahawa seorang pemotong kayu terpesona kepada anak tetangganya. Suatu hari, gadis itu berpergian ke desa lain kerana menyelesaikan urusan keluarganya. Si pemotong kayu lalu mengikutinya dari belakang sampai akhirnya berhasil menemukannya. Lalu beliau memanggil gadis tersebut dan mengajaknya menikmati kesempatan indah itu. 

Tetapi gadis itu menjawab, "Jangan lakukan. Meskipun aku juga mencintaimu, tetapi aku sangat takut kepada Allah Yang Maha Melihat." Mendengar jawapan itu, si pemotong kayu merasa dunia berputar. Kerana menyesal dan hatinya gementar, lalu dia berkata, "Kau takut kepada Allah sedangkan aku tidak." 

Dia pulang dalam keadaan menyesal dan bertaubat kepada Allah. Dalam perjalanannya dia bertemu dengan seorang soleh. Mereka berjalan beriringan. Tiba-tiba mereka melihat gumpalan awan bergerak melindungi mereka berdua sehingga mereka masuk ke sebuah desa. Penduduk desa yang kehairanan merasakan bahawa awan itu mengikuti orang soleh tersebut. 

Kemudian mereka berpisah di satu simpang desa tersebut. Awan itu ternyata condong dan terus menaungi si pemotong kayu sehingga sampai dirumahnya. Orang soleh itu hairan melihat peristiwa tersebut, lalu mengikuti pemotong kayu dan bertanya. Lalu pemotong kayu tersebut menceritakan apa yang berlaku. Maka orang soleh tersebut berkata, "Sesungguhnya orang yang bertaubat itu dekat dengan Allah dan dikasihi seluruh makhluk-Nya." 

Demikianlah kisah seorang yang bertaubat. Adakah rugi jika bertaubat? Tentunya tidak! Bukankah bertaubat itu perintah daripada Allah? Bukankah terlalu banyak perintah bertaubat di dalam al-Quran? Bukankah bertaubat itu sifat seorang hamba? 

Jika kita merasakan bahawa kita adalah hamba, maka sentiasalah bertaubat. Allah SWT tidak pernah meletakkan syarat kepada sesiapa yang ingin bertaubat. Walau siapa pun dia, apa statusnya, bila-bila masa, di mana sahaja. Jika dia ingin berhubung dengan Allah atau kembali kepada Allah maka tiada pernah ada halangan. 

Sesungguhnya Allah SWT membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk mengampunkan dosa orang yang berbuat dosa pada waktu siang. 

Oleh itu, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat keampunan Allah. Teruskan memperbaiki diri, teruskan bertaubat kerana seluas-luas pintu di dalam Islam adalah pintu taubat. Nah, jangan sia-siakan masa yang ada, ayuh bertaubat!

1 comments:

paridah said...

Assalam ustaz moga dlm perlindungan Allah sekeluarga...semoga kita tidak menzalimi diri n menjadi insan yg sentiasa bertaubat kepada-Nya

Post a Comment