Sahabat Sejati

Thursday 30 October 2014

True MLM, pahala jariah vs maksiat jariah


“Alhamdulillah, siap.”

Saya menekan butang ‘sent’, proses terakhir menghantar email. 

Semalam saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang meminta saya membuat ‘artwork’ banner Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Kebajikan Pekerja Islam tempat kerjanya. Tanpa banyak berkira saya segera memberi persetujuan. Sebenarnya banyak juga saya menerima tempahan membuat ‘artwork’ banner dan juga poster. Termasuklah banner atau poster untuk ceramah, kuliah, kursus dan sebagainya. Sekarang ini pun masih ada dua lagi tempahan ‘artwork’ banner dan poster untuk program Ceramah Perdana Ma`al Hijrah dan Backdrop Taklimat GST bersama Pusat Khidmat DUN dan Kastam Pahang. Insya-Allah malam nanti saya akan mula membuatnya. 

Tetapi jika difikir-fikir, nama sahaja tempahan. Sebenarnya saya tidak pernah mengenakan bayaran untuk kerja-kerja tersebut. Yalah, tidak sampai hati pula mahu sebarang meletakkan bayaran, lagipun yang menempahnya terdiri daripada kalangan kenalan saya juga. Hanya sekadar membuat ‘artwork’ tidaklah susah sangat, cuma dari segi masa perlu diuruskan dengan baik kerana saya bukan sepenuh masa membuatnya. Termasuk juga idea dan kreativiti yang kadang-kadang menjadi sedikit masalah. Yalah, idea bukannya datang dengan hanya memetik jari, kena pula saya yang memang tidak berapa pandai membuatanya.

Mahu dikatakan saya mahir dalam kerja-kerja menghasilkan ‘artwork’, tidaklah sampai tahap itu. Tidak. Eh, malu pula rasanya mahu mengaku demikian. Hanya sekadar boleh jika tiada orang lain, itu pun mungkin pilihan yang ke lima belas atau enam belas. Adakalanya terbit juga rasa cemburu tatkala melihat hasil kerja sahabat-sahabat di FB dan blog yang sangat kreatif dan cantik. Ahh, ingin rasanya memiliki kemahiran seperti itu. 

Saya tidak pernah belajar secara formal di dalam bidang penghasilan grafik. Saya hanya belajar sendiri melalui internet terutama blog dan youtube, selebihnya ‘try and error’. Semuanya semata-mata kerana minat yang mendalam di dalam bidang ini. Kata orang kalau sudah minat, apa pun sanggup dilakukan untuk mendapatkannya. Ada betulnya ungkapan ini. Selain daripada itu, selalu saya juga menghasilkan ‘artwork’ yang berisikan ungkapan kata-kata nasihat, tazkirah dan peringatan untuk dipanjangkan melalui sistem whatsapp, fb dan sebagainya. Bukan kerana saya seorang yang baik, bukan begitu maksudnya. Saya manusia realiti bukan manusia mithali. Manusia realiti yang ada buruk dan baik.

 
Sahabat sekelian.. 

Apa yang saya mahu sampaikan bukanlah berkenaan dengan minat dan kerja-kerja saya dalam penghasilan ‘artwork’ tersebut. Ia lebih daripada itu. Saya melihat ini adalah salah satu sumber amal jariah yang sangat mudah. Di zaman ini mahu membuat amal kebajikan cukup senang. Sementelah lagi dengan teknologi di hujung jari yang semakin canggih-manggih ini. Contohnya, selalu kita melihat di dalam fb ‘artwork’ kata-kata nasihat dan peringatan, oleh itu dengan hanya satu klik di butang ‘share’ maka kita telah memanjangkan satu kebaikan kepada ramai orang. Bagaimana pula jika setiap orang yang kita ‘share’, akan ‘share’ pula dengan rakan-rakan mereka. Tidakkah ini akan membina rantaian kebaikan. Bayangkan banyak mana pahala yang diperolehi. Inilah sistem MLM yang pasti tidak akan mengalami risiko kerugian. 

Bayangkan pula jika ketika kita bertemu Allah, tiba-tiba kita melihat catatan amal yang banyak sedangkan setahunya kita tidak pernah melakukan kebaikan sebanyak itu. Rupa-rupanya ada kebaikan yang pernah kita sampaikan telah dipanjangkan pula oleh orang lain, kemudian ia terus bersambungan walaupun setelah kita tiada. Tidakkah ia suatu yang menguntungkan? 

Begitulah sebaliknya, sifir yang amat mudah. Jika ada amal jariah yang sentiasa mengalir pahalanya walaupun selepas ketiadaan si pelaku. Maka di sana ada pula maksiat jariah yang sentiasa mengalir dosa walaupun si pelakunya telah tiada. Jika kita berkongsi sesuatu yang tidak baik, selepas itu mereka akan berkongsi pula dengan orang lain yang akhirnya berkembang dan terus berkembang. Tidakkah kita telah menempah gugusan dosa demi dosa. Bagaimana agaknya tatkala kita bertemu dengan Allah dalam keadaan kita rasakan telah membawa amal kebaikan. Tiba-tiba terlihat kantung amalan kita kosong. Rupa-rupanya kita pernah memanjangkan fitnah dan dikongsi pula oleh orang lain dan begitulah seterusnya ia terus bersambungan. 

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, mudahnya mahu membuat pahala amal jariah di zaman ini. Hanya dengan satu klik sahaja, dapat mengundang pahala. Tetapi dengan satu klik juga ia akan mengundang dosa. Maka pilihlah yang mana satu idaman kalbu. Tepuk dada tanya iman, saya bertanya kepada diri sendiri...

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Menginsafkan... betul walau sebesar zarah pun amal jariah ianya akan dihitung di sana. Namun pada kakak AI tak salah andai mengenakan bayaran pada setiap artwork/hasil yg dibuat. Ibarat seorg guru walaupun tenaganya diberikan gaji namun ilmu diberi tetap ada ganjaran. SO... dlm keadaan ekonomi hari ini kalau letak harga pun tak salah. Banner/bunting yg terpampang menjadi informasi org ramai tetap juga AI mendapat ganjaran... (just kakak punya pendapat dik..)

ps: Tapi kakak pun tak mengenakan apa-apa bayaran kepada setiap anak didik yg mengaji dgn kakak sebab mereka belum bekerja. Yg membayar ibu-bapanya (alasan kukuh kakak hihi...)

paridah said...

setuju dgn tulisan kakzakie...karya seni tinggi nilainya n memakan masa pula n setiap kerja kita adalah ibadah..terimakasih perkongsian ilmunya assalam dik..

Post a Comment