'Foto hiasan: Kenangan bersama allahyarham sahabat karibku, saudara Zamilan' (baca disini)
Kita sudah pun memasuki tahun baru Hijrah. Masa yang berlalu bagaikan tidak terasa laju silih berganti. Angka usia semakin bertambah sedangkan ia semakin berkurang dari sudut lainnya. Kematian pula sering mengintai tiap ketika tanpa leka. Beruntunglah bagi sesiapa sentiasa mengingati hakikat yang pasti ini, sebaliknya kerugian yang mutlak bagi sesiapa yang melalaikannya.
Rasulullah saw bersabda:
“Al kayyisu (orang yang bijak/cerdik) ialah siapa yang menghisab dirinya dan beramal dengan untuk bekalan selepas mati Sedangkan al ‘aajizu (orang yang gagal) adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada (pemberian) Allah.” (Sunan Ibn Majah: 4260; Musnan Imam Ahmad: 124).
Dalam satu hadis yang lain disebutkan:
“Aku bersama Rasulullah, kemudian datang seorang lelaki dari Ansar, memberi salam ke atas Nabi saw kemudian berkata: siapakah mukmin yang paling baik. Jawab baginda: Yang paling bagus akhlaknya. Dia bertanya lagi: Siapa pula yang paling cerdik? Baginda menjawab: Mereka paling banyak mengingati mati dan melakukan persediaan selepas itu, itulah orang yang paling bijak.” (Sunan Ibn Majah:4259)
Nabi saw mengingatkan umatnya kesempatan hidup di dunia ini bukanlah untuk kekal selamanya. Dunia adalah tempat persinggahan mengumpul bekalan untuk menuju kehidupan abadi. Masa yang singkat adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika ia dibiarkan atau disia-siakan, maka kesempatan yang kedua tidak akan diperolehi. Apa yang ada hanyalah sesalan yang tiada kesudahan.
Suatu ketika Abdullah bin Mas`ud melihat Rasulullah sedang berbaring, apabila baginda bangun dari tempat perbaringannya, Abdullah bin Mas`ud terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang Nabi, ini disebabkan tikar alas tidur Nabi diperbuat dari daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas`ud.
Berkata Ibnu Mas`ud: "Ya Rasulullah, sekiranya kamu memerintahkan aku untuk mencari hamparan yang lembut untukmu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya."
Tetapi Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."
Di dalam hadis yang lain, kata Abdullah bin Umar ra:
“Rasulullah saw memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir.” Dan semenjak itu Ibnu Umar selalu berkata: “Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu.” (Riwayat al-Bukhari).
Manakala al-Quran menegaskan:
“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu).” (al-Ankabut: 64).
Hidup dan mati adalah milik-Nya. Dia yang Maha Mengetahui segala rahsia sedangkan kita tidak akan dapat menelah dengan tepat. Tiada siapa yang dapat menjamin apakah dia sempat menjengah sinar matahari esok. Bahkan seminit dari saat ini pun kita tidak mampu meneka, semuanya tidak jelas dan nyata. Apatah lagi mahu memikirkan hari esok.
Allah SWT berfirman:
"Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (an-Naml: 65)
Usia saya, ketika ini sudah pun hampir menjengah ke angka 40. Sekiranya saya dipanggil mengadap Allah dalam usia Rasulullah saw, maknanya lebih kurang 23 tahun lagi masa yang ada. Ia bukanlah jangkamasa yang panjang. Bahkan ketika kita mengerdipkan mata, pejam dan celik, ketika itulah roda masa berputar. Lalu di antara keduanya terselit taqdir kematian.
Pesan guruku: “Usah tertipu dengan badan yang sihat kerana mati tidak syarat sakit, dan usah tertipu dengan usia yang muda kerana mati tidak syarat tua.”
Allahu rabbi...
0 comments:
Post a Comment