Sahabat Sejati

Friday, 3 January 2014

Teringat-ingat, darjah satu


Sesi persekolahan 2014 telah pun bermula. Bagi para ibu bapa yang mempunyai anak yang memasuki darjah satu tentu lebih sedikit sibuknya. Bermula dengan persiapan persekolahan, seterusnya menghantar anak-anak ke sekolah. Bukan itu sahaja terpaksa pula menunggu, kerana bimbang ada yang menangis dan mengamuk tidak mahu masuk ke kelas, atau pun mahu mengikut pulang. Jika sehari dua tak apa, tetapi kalau tidak kena gaya mahu seminggu atau sebulan. Naya sungguh, terpaksa sambung bercuti jika yang bekerja.

Saya dulu, ketika memasuki darjah satu tidak dihantar oleh emak atau ayah. Seperti yang pernah saya coretkan dahulu, saya amat memahami kesusahan ibu dan bapa yang bekerja kampung. Seawal pagi mereka keluar menoreh getah, kemudian pada sebelah petang pula membanting tulang di kebun mencari rezeki buat kami semua. Oleh itu, saya langsung tidak terkilan atau merasa kecewa apabila melihat rakan-rakan yang lain dihantar oleh orang tua mereka.

Saya berjalan kaki ke sekolah pada hari pertama bersama abang dan kakak. Jaraknya tidak jauh mana kira-kira 2 kilometer sahaja. Memang tidak terasa jauh kerana pada masa itu boleh dikatakan ramai yang berjalan kaki, yang berbasikal atau dihantar oleh ibu bapa boleh dibilang dengan jari. Yang seronoknya kerana kami bergerak pergi dan balik sekolah dalam kumpulan yang ramai.

Kakak yang ketika itu dalam darjah empat menghantar saya memasuki kelas. Manakala abang pula yang bersekolah menengah waktu petang, menunggu sebentar di luar takut-takut saya menangis. Seingat saya dua hari sahaja abang menunggu, selepas itu saya tidak lagi melihat kelibat abang di luar melalui tingkap. Tetapi saya tidak menangis malah seronok pula bersekolah.

Teringat pada hari pertama sekolah, saya telah bergaduh dengan seorang kawan sekelas. Entah di mana silap dan mulanya. Sempat juga saya melepaskan penumbuk sulung ke mukanya, manakala dia pula menggigit lengan saya sehingga meninggalkan bekas. Akhirnya kami sama-sama menangis di rotan oleh cikgu. Tetapi selepas itu kami berbaik semula, biasalah bergaduh budak-budak bukannya lama, ahli fitrah!

Namun, sahabat saya ini tidak lama belajar di sekolah itu kerana berpindah mengikut bapanya yang bertukar tempat kerja. Bapanya seorang anggota polis. Itulah di antara kenangan yang masih saya ingati ketika darjah satu dahulu, malah wajah sahabat yang telah menerima ‘hadiah’ daripada saya itu juga masih saya ingati sehingga sekarang.

Tidak seperti lima, enam tahun yang lalu, hari ini saya rasa sudah tidak ramai malahan mungkin tidak ada bagi sesetengah sekolah, pelajar tahun satu yang menangis masuk ke kelas. Yang ada mereka gembira, bermain bersama rakan-rakan sampaikan ada yang terlekat di celah kerusi. Ada yang terlekat kepala, terlekat pinggang pun ada. Hendak tergelak saya melihatnya di FB kelmarin. Itu tentu terlebih seronok, teruja, ‘excited’ nak belajar.

Kebanyakannya sebelum memasuki darjah satu, mereka sudah pun memasuki pra sekolah yang menawarkan pembelajaran di usia seawal 4 tahun. Ini menyebabkan mereka sudah biasa dengan alam persekolahan. Bercampur gaul dan bermain bersama rakan-rakan baru.

Inilah di antara kelebihan memasukkan anak-anak ke pengajian pra sekolah sebelum sekolah kebangsaan. Tetapi ada juga yang tidak pernah masuk pra sekolah tetapi ‘steady’ je masuk darjah satu. Zaman ayah dan ibu kita pun mana ada pra sekolah, diorang tak menangis pun masuk darjah satu. Apa pun, semuanya bergantung kepada bagaimana ibu bapa memotivasikan anak-anak. Yang penting, jangan tidak bersekolah sudah.

Selamat memasuki alam persekolahan kepada semua anak-anak di tahun satu!

0 comments:

Post a Comment