Usai sembahyang maghrib di Masjid Negeri. Para jemaah beransur-ansur keluar untuk menyambung kembali urusan yang terhenti seketika.
Saya pula mencari-cari sudut untuk melabuhkan punggung. Tiba-tiba pula kepala terasa berdenyut-denyut. Sambil menyandarkan belakang ke tiang masjid, saya memicit perlahan-lahan dengan harapan sakitnya akan berkurang. Sepasang anak mata saya arahkan ke segenap sudut, meninjau-ninjau kelibat teman yang berjanji untuk bertemu di masjid.
Lantunan bacaan surah dari sang imam hafiz ketika sembahyang maghrib tadi bagaikan masih terngiang-ngiang kemerduannya. Ada juga rasa cemburu yang bertandang. Ahh.. cemburu ini dibenarkan dalam Islam. Islam melarang umatnya berperasaan hasad dengki dan iri hati melainkan kepada perkara yang boleh mendatangkan kebaikan saja.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu seseorang yang telah dikurniakan Allah SWT harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah SWT) dan orang yang dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan hadis) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Riwayat al-Bukhari)
Kepala masih lagi berdenyut-denyut.
“Mungkin panas kepala agaknya,” saya menduga menyedapkan hati.
Memang, kebelakangan ini saya seringkali mengalami sakit kepala. Berdenyut-denyut dan rasa sakit di sebelah kanan belakang tengkuk. Gambaran kesakitannya jika saya gerakkan kepala, maka apa yang ada di dalam kepala terasa bergoncang sama. Sakitnya bukan main. Berdiri tidak kena, duduk juga tidak kena, baring pun sama.
Ada yang kata darah tinggi. Dulu pernah saya membuat pemeriksaan di klinik, tekanan darah baik. Lagipun saya tidak ada masalah memakan daging kambing (jika betul) yang dikatakan musuh utama darah tinggi. Jadi, saya percaya bukan darah tinggi.
Ada juga yang kata migrain. Seingatnya, saya tidak pernah ada sejarah migrain. Lagipun tidak ada tanda-tanda migrain. Tidak, jadi bukan migrain.
“Angin,” kata seorang sahabat yang mengalami masalah yang sama. Katanya berdenyut-denyut di sebelah kanan belakang tengkuk. Jika digoyang-goyangkan kepala terasa bergoyang sama apa yang ada di dalam kepala.
Hmm.., boleh jadi, sama.
Nampaknya kena kurangkan makanan yang berangin, lepas tu kena pergi berurut untuk membuang angin. Tetapi sekarang ini bukan senang nak mencari tukang urut. Di kampung-kampung pun sudah tiada tukang urut. Kalau dulu, mudah sebab bapa saudara saya seorang tukang urut, merangkap tok dukun serta tukang masak kenduri. Terseliuh, demam, anak-anak kecil menangis tengah malam, hendak buat kenduri, hendak sembelih lembu kerbau, panggil sahaja dia. Tetapi sudah lama dia meninggal dunia tanpa meninggalkan kepada waris kepandaiannya. Maka, segala kepandaian yang ada dibawa bersama ke liang lahad.
Rasanya di bandar banyak rumah urut, tetapi jangan sesekali mencuba, itu hendak mencari nahas namanya. Penyakit tak hilang, bala pula yang datang.
Ahh..jauh pula saya mengelamun. Tetapi bagus juga, terlupa sebentar pada kesakitan.
Biasanya sakit kepala ini akan hilang dengan sendiri. Paling lama pun lebih kurang sehari atau sehari setengah. Kadang-kadang keasyikan melayan kerja yang dibuat menyebabkan saya lupa kepada kesakitan. Sedar-sedar sakit telah pun hilang.
Saya menyimpulkan sakit kepala saya ini berpunca daripada cuaca yang panas atau kerana saya kurang tidur. Jika di rumah saya akan mandi dan berbaring di bawah kipas sehingga terlena. Tetapi yang pasti kerana umur semakin meningkat, maka ada-ada sahaja penyakit datang bertandang. Ya, itu yang pasti.
Semasa zaman budak-budak dahulu, setiap kali kedatangan tahun baru adalah suatu yang menggembirakan. Masuk sahaja tahun baru bermakna umur semakin bertambah, ia juga bermakna semakin dewasa. Memang, tidak sabar untuk menjadi dewasa. Budak-budak walaupun hanya memikirkan soal bermain sahaja, tetapi banyak sangat pantang larangnya. Ini tak boleh, itu tak boleh. Tetapi jika jadi orang dewasa, bebas ke sanan ke sini, siapa yang berani melarang. Itulah yang bermain di fikiran yang menyebabkan tidak sabar menjadi dewasa. Pemikiran budak-budak!
Namun, setelah berada di ‘alam’ sekarang, realitinya tidak begitu. Kedatangan tahun baru benar-benar menginsafkan. Bertambahnya usia bermakna peruntukan umur telah berkurang, dipotong sedikit demi sedikit. Maka ia memberikan isyarat semakin kita mendekati janji kematian.
'usia senja'
Jika Allah taqdirkan jumlah umur kita 60 tahun, sekarang umur kita telah pun 30 tahun maka telah separuh daripada umur kita. Jika umur kita telah 50 tahun maka tinggal secubit lagi baki umur kita. Ibarat sebatang kayu yang dipotong sedikit demi sedikit setiap hari, akhirnya akan habis kayu tersebut. Begitulah perumpamaannya.
Masa muda diberi percuma tetapi akan ditanya di hari akhirat kelak. Usia muda bukan sahaja satu anugerah tetapi juga satu amanah. Oleh itu usia muda ini janganlah disia-siakan. Jangan dibiarkan berlalu tanpa erti. Gunakannya untuk mencapai keluasan ilmu pengetahuan dan pengalaman hidup.
Masa muda tidak akan bertahan, tiba masa usia tua akan menjengah. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang kembali. Ia akan berlalu menjadi kenangan yang semakin jauh ditinggalkan. Jika usia muda tidak dimanfaatkan sebaiknya, maka ia akan meninggalkan kenangan pahit di usia tua. Menyesal kemudian tidak akan dapat memusingkan kembali masa. Bahkan ia hanyalah satu kesengsaraan.
Usia saya juga telah hampir menjengah angka 40. Sudah tentu ia menjadi satu peringatan yang lebih utama buat diri saya.
Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya: “Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka."
Nasihat ini sudah cukup sebagai peringatan buat mereka yang menggunakan akal.
Kelibat teman belum kelihatan.
Saya masih menanti dengan sabar.
0 comments:
Post a Comment