Sahabat Sejati

Wednesday, 3 August 2011

Gapai cita-cita dengan usaha

Dunia tidak dibangunkan dengan angan-angan dan khayalan kosong. Dunia sentiasa bergerak.

Berangan-angan dan berkhayal kosong hanyalah membuat jiwa menjadi beku dan kaku. Hidup bagaikan terhenti. Hanya berlegar di ruangan mimpi, hidup dalam dunia sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

“Orang sudah menjejak kaki ke bulan, namun kita masih lagi berseloka dengan peribahasa bagai pungguk rindukan bulan.”

Ada yang mimpikan menjadi kaya-raya tetapi malas bekerja dan berusaha. Ada yang ingin menjadi cerdik pandai tetapi malas belajar. Ada yang berangan-angan mahu masuk syurga tetapi culas dalam beramal. Apakah mungkin menjadi kenyataan!

Sabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).

Apabila seorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah SWT.


Ambillah hikmah dari kehidupan semut! Mereka bergerak dan bergerak untuk terus hidup. Apakah pernah melihat seekor semut yang membuang masa, bersahaja tanpa melakukan apa-apa kerja. Tidak! Sebaliknya semut sama-sama berganding bahu membangunkan komunitinya.

Benar, bersungguh-sungguh mencapai impian dan cita-cita.

Berkhayal atau impian kosong tidak sama dengan cita-cita, kerana cita-cita memerlukan perancangan dengan teliti dan rapi. Kemudian berusaha untuk menggapai apa yang diimpikan itu. Bukan hanya duduk bersahaja sambil tangan menupang dagu, ataupun hanya terbaring di tempat tidur sambil tangan melekat di dahi.

Khalifah Umar bin Khattab ra. Pernah berpesan dengan menyeru umat Islam supaya tidak malas bekerja: “Janganlah setiap orang daripada kamu suka duduk bermalas-malas daripada berusaha mencari rezeki sambil berdoa; Wahai Tuhanku, berilah rezeki kepadaku, sedang dia tahu sebenarnya langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak.”

Keazaman yang gigih dan usaha yang berterusan untuk mencapai cita-cita adalah kunci kepada kejayaan.

Usaha tangga kejayaan!

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

“Mengharapkan yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang” pengharapan yang sepatutnya sudah tidak ada dalam kamus kehidupan seorang individu muslim.Peribahasa Melayu ada mengatakan “ Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”,begitu juga dengan kejayaan , tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan.bak kata pepatah Arab “Mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan”. Satu perkara yang boleh dikatakan mustahil akan berlaku (=

abuikhwan said...

hmmm..perkongsian yang bermanfaat..

Post a Comment