Sahabat Sejati

Sunday, 8 May 2011

Selamat Hari Ibu...

Pada usia bonda yang menjengah penghujung senja, tidak terbayang kesal dihati kerana membiarkannya kesunyian seorang diri.....

Kehidupan seorang manusia, sebahagian besarnya bergantung kepada belaian kasih sayang dan kasih mesranya seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan dengan seribu kepayahan, ibulah yang melahirkan sehingga bersabung nyawa diantara hidup dan mati, dialah yang menyusukan, memandikan dan menyuap makan. Beratnya beban yang ditanggung oleh seorang ibu.

Firman Allah SWT:

“Kami wasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandung dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan mencerainya dari susu sesudah dua tahun lamanya. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepada-Ku dan kepada ibu bapamu.” (Luqman: 14)

Tiada indah lukisan yang tergambar, seindah lukisan alam,
Tiada puitis kata yang meniti dibibir, sepuitis syair bermadah,
Tiada nilai harga yang mahal, semahal emas permata,
Tiada ketenangan yang bisa terungkap, setenang dalam dakapan bonda,
Terasa turun sakinah dari langit Ilahi.

Bonda...

Lautan kasih yang tidak bertepi,
Pengorbanan yang tidak kenal sempadan,
Dengan secebis belas dan secebis ihsan,
Bonda melahirkan, bonda membesarkan,
Setelah sembilan bulan menumpang di alam ‘kasih sayang'
Tiada keluhan dan rintihan kerana sabarmu setinggi gunung.

Bonda...

Sentiasalah dikau memberikan masa untuk mendengar rintihanku,
Tanpa jemu, tanpa lara untuk mendengar bicara,
Sentiasalah bibir ini pula kubasah dengan doa untukmu,
Sebagai jalan untuk mencapai redha Tuhan,
Kerana mahu membalas jasa walau setengah nafasmu,
Mana mungkin kesampaian.

Aduhai bonda...

“Ketika datang seorang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah orang yang paling berhak saya pergauli dengan baik? Jawab baginda: Ibumu.” Kemudian siapa lagi? Jawabnya lagi: “Ibumu! Kemudian siapa? Jawabnya: “Ibumu! Dan lalu siapa? Jawab baginda: “Ayahmu! (Bukhari dan Muslim)

MY UMMI (Sami Yusuf)

2 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam sahabat.alangkah malangnya seorg anak yg tidak mengerti dan menghargai kasih seorg ibu.betapa ramai anak2 di luar sana yg kehilangan ibu..mengharapkan agar diputarkan masa dan ditemukan kembali dgn ibunya.tetapi anak yg ibu sentiasa di depan mata,diabaikan,dikasari,ditipu,diherdik tanpa sedar atau dgn sedar.

||aLeaSaRa|| said...

sahabat saya tag utk segmen ni join ye simple jer ngeeee......

http://born2touchurheart.blogspot.com/2011/05/saya-blogger-muslimahanda-pula.html

Post a Comment