Alhamdulillah.
Itulah semulia-mulia kalimah yang selayaknya saya ucapkan, selaku hamba yang menumpang di bumi-Nya serta sentiasa mengharapkan nikmat-Nya.
Saya mempunyai banyak alasan untuk berkata demikian. Setelah merenung perjalanan hidup ini. Segala suka duka, perit jerih yang dilalui. Sesungguhnya Allah terlalu melimpah ruah nikmat pemberian-Nya, memberi tanpa berkira-kira. Demikianlah keyakinan saya, mudah-mudahan ia terpatri kukuh di dalam hati sanubari ini.
Kenderaan yang dinaiki meluncur laju membelah aspal jalan. Sahabat saya, Sheikh Azlan memandu tenang di iringi alunan munajat kumpulan Rabbani di corong radio. Sungguh mendamaikan dan mengasyikkan. Terkenang seketika kepada al-Marhum ustaz Asri Ibrahim. Kemerduan suaranya.
Kami seramai lapan orang dalam perjalanan menuju ke Surau Kampung Cherating untuk program penerangan dan dialog Jabatan Amal Indera Mahkota bersama penduduk setempat. Dalam erti kata lain, untuk memperkenalkan Jabatan Amal serta mendaftar ahli baru. Turut bersama, Ustaz Suhaimi Saad yang akan menyampaikan kuliah maghrib di situ.
Kenderaan bergerak lancar. Perjalanan di isi dengan perbualan, sekali-sekala bersulam derai tawa, apabila ada perkara-perkara lucu yang datang bertamu. Sungguh mesra. Itulah nikmat ukhuwah yang didasari dengan keikhlasan. Ukhuwah fillah.
“Anta pergi tak Jambori Amal Negeri tahun ni?” Tanya sahabat di sebelah yang merupakan salah sorang senior di dalam Jabatan Amal Indera Mahkota.
“Entahlah, hajat tu memang nak pergi tapi tak tahu lagi,” jawab saya.
“Ana pun begitu juga,” jawabnya pula.
Kenderaan terus bergerak menuju destinasi.
Tiba-tiba. Skkreeetttt................!!
Mencicit bunyi roda menggigit dada aspal. Kami yang sedang leka berbual terdorong ke hadapan, akibat tidak mengenakan tali pinggang keledar. Tabiat yang tidak baik yang menyusahkan diri, hampir-hampir menyebabkan kecederaan.
“Allahu akbar....!!” Hampir serentak kami semua bertakbir.
“Kenapa ni???
Di hadapan kami sebuah kereta telah membrek secara mengejut kerana mengelak sebiji bola yang entah dari mana datangnya. Saya tidak pasti, mungkin dari sekolah yang berada di tepi jalan. Mujurlah Sheikh Azlan sempat menekan brek, hanya seinci lagi mahu melanggar belakang kereta tersebut. Tetapi nasib yang lebih baik, apabila beliau tidak membalas ke kanan kerana di hadapan bertentangan sebuah kereta meluncur laju. Jika tidak pasti perkara yang lebih buruk akan berlaku. Syukur pada-Mu, Tuhan. Masing-masing mengurut dada, melepaskan keluhan kelegaan, kalau tidak mungkin ‘syahid’ kesemuanya.
Setelah memeriksa keadaan, semuanya berada di dalam keadaan baik, kecuali perasaan kami yang tercalar sedikit. Masih ada sedikit debaran. Kami meneruskan perjalanan kerana waktu azan maghrib hampir masuk.
Nasib baik!
Syukur pada-Mu, Tuhan
Saya teringat dalam satu kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan dengan nikmat Allah. Katanya nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia terlalu banyak. Baik manusia taat atau manusia yang engkar. Semuanya diberi.
Memang benar terlalu banyak nikmat yang Allah SWT berikan, sama ada kita sedar atau lalai. Tanda tidak habis nikmat Allah ialah dengan adanya perkataan ‘nasib baik’.
“Dia tu ‘eksiden’ nasib baik tak apa-apa.”
Kalau patah tangan, “nasib baik patah sebelah tangan, kalau dua-dua tak boleh nak buat kerja.”
Kalau patah kedua-dua tangan, “nasib baik patah tangan, kaki tak patah kalau tidak.....”
Kalau patah kaki dan tangan, “nasib baik kepala tak apa-apa...”
Kalau lagi teruk, “si anu eksiden, nasib baik hidup lagi kalau tidak siapa nak jaga anaknya. Tengok pada kereta memang tak ada harapan.”
Kalau dah mati, “nasib baik mati, kalau hidup tentu susah orang nak menjaganya.”
Lihat! Mati pun masih nasib baik lagi.
Firman Allah SWT:
“Dan diberikannya kepadamu semua (sumber keperluanmu) yang kamu mohonkan. Sekiranya kamu (cuba menghitung) kurniaan Allah, maka tidak akan terhitung olehmu (berapa jumlahnya). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar (tidak mensyukuri nikmat Allah).” (Ibrahim: 34)
Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya dan tidak ternilai harganya. Walaupun sebelah mata yang buta, ia tidak dapat diganti dengan beribu-ribu ringgit. Begitu juga dengan anggota badan yang lain, nikmat akal dan fikiran yang dengannya kita dapat memanfaatkan isi alam yang terbentang luas ini. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat yang melimpah ruah ini, lebih-lebih lagi bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman.
Marilah kita berpegang teguh dengan tali Allah iaitu al-Quran dan sunnah, yang dengan keduanya memberi panduan dan pembeza antara yang benar dan salah serta sebagai sumber kekuatan kepada Islam. Marilah kita hidupkan budaya amar makruf dan nahi mungkar, ingat-mengingati di antara satu sama lain. Mudah-mudahan dengan semua ini akan membina masyarakat ke arah kehidupan yang beragama serta menjadi masyarakat madani yang mempunyai jati diri dan cemerlang, bukan hanya di dunia malahan di akhirat yang abadi.
Syukur pada-Mu, Tuhan
`Bergambar seusai program'
1 comments:
Seronok.
Post a Comment