Sahabat Sejati

Monday, 19 July 2010

Abu Ikhwan 34 tahun



Heningnya fajar hari ini, hari yang amat istimewa. Telah genap usiaku 34 tahun. Lebih suku abad menumpang di bumi Tuhan. Makan dan minum semahunya,menghirup udara sepuasnya. Terbitkah rasa syukur pada-Nya?

Pagi tadi dua anak perempuanku menghulurkan kad ucapan kelahiran yang dibuatnya sendiri. Ummu Ikhwan telah mendahului.

“Selamat hari lahir abi,” ucap mereka sambil tersenyum.

Perlahan kubuka, kutatap lalu kubaca. Bertatah doa bersulam luahan rasa kasih mereka. Terharu dan sebak, seakan bergenang air jernih di kelopak mata. Ku tatap wajah mereka satu persatu.

“Terima kasih anakku,” jawabku seraya mengucup dahi mereka. Mudah-mudahan kalian semua menjadi penyejuk mata dan penyisih sesak di hati abi, doaku di dalam hati.

Hari gembira atau hari keinsafan

Aku cuba mencari kepastian, bertanya pada diri, hari seperti ini apakah perasaan sebenar yang menyelubungi diri. Gembira? Atau keliru.

Apakah aku merasa gembira dengan ulangtahun kelahiran yang ke 34? Kadang-kadang aku terfikir, apa yang ada pada sebuah kelahiran untuk dikenang? Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia hanya memberitahu diriku bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk aku menghampiri kematian.

Kini usiaku menjengah menuju angka 40, semuanya cepat dan pantas sekali. Tidak mungkin ada penangguhan. Bermula dari kelahiran, kemudian menjadi kanak-kanak. Seterusnya remaja dan dewasa. Kini menghitung usia meniti hari-hari mendatang menuju Tuhan. Meraba rambut dikepala yang sudah memutih sehelai dua, tidak lupa kedut di muka. Saban hari tenaga mulai kurang, namun hati masih degil tidak mahu mengakui hakikat “aku sudah tua”.

Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya:

“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka.”

Nasihat ini sebenarnya sudah cukup menjadi ingatan kepada orang yang berakal.
Roda kehidupan berputar dengan pantas, membawa kita ke usia senja. Jika di usia begini masih lagi ghairah memburu harta dan pangkat, hidup masih bergelumang maksiat maka tunggulah saat penyesalan yang tiada sudahnya.

Nilai sebenar umur adalah pada ketaatan kepada Allah SWT. Taat dan ibadah itu ialah “patuh kepada Allah SWT dalam perkara suruhan dan larangan, dengan lisan dan perbuatan.” Oleh itu segeralah bertaubat sebelum terlambat. Mudah-mudahan...

0 comments:

Post a Comment