Sahabat Sejati

Tuesday, 5 January 2010

Pertemuan yang memberi makna

Fatah al-Maushili rah. berkata: “Bukankah seorang yang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum dan tidak mengambil ubat, akhirnya akan mati?” Sahabat-sahabatnya menjawab: “Ya benar.” Dia berkata lagi: “Demikian pula hati apabila tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pasti ia akan mati.”

Tubuh badan memerlukan makanan dan minuman. Tanpa keduanya tubuh akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Begitu juga hati atau jiwa yang memerlukan makanan untuk hidup. Tidak lain dan bukan makanan jiwa adalah ilmu dan hikmat. Tanpanya hati akan menjadi sakit.

Pesan Luqman al-Hakim:

“Wahai anakku, pergaulilah para ulama`, rapatilah mereka dengan dua lututmu, kerana Allah swt menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan yang lebat daripada langit.”

Islam amat menitikberatkan ilmu, kerana ilmu menjauhkan seseorang itu daripada kejahilan. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kejahilan dalam perkara agama mudah mengheret manusia ke arah kemurkaan Allah.

Terima kasih ustaz

'Sessi bergambar seusai kuliah'

Tidak tergambar di fikiran saya apabila di beritahu al-fadhil Ustaz Ridhuan Mohd Nor akan singgah menyampaikan kuliahnya di tempat saya. Beliau dalam perjalanan balik dari menyampaikan ceramah di Besut malam sebelumnya. Dalam renyai-renyai hujan yang membasahi bumi, saya menyusuri perjalanan menuju ke masjid. Perjalanan ke majlis ilmu, yang diumpama taman syurga oleh junjungan mulia.

Masih belum ramai jemaah yang hadir.

“Awal lagi agaknya,” saya bermonolog sendirian.

Kuliahnya pada malam itu berkisar kepada isu Palestin yang belum selesai sehingga kini. Saya rasa kuliahnya memberi bekas kepada hadirin. Setiap kali beliau menceritakan akan kezaliman tentera rejim Israel, saya melihat ada hadirin yang menggeleng kepala, sampai bergoncang badan sambil menggenggam tangan, yang menggertap bibir pun ada seperti menahan kemarahan. Mungkin jika di tawarkan untuk dihantar ke Palestin malam itu juga, sanggup rasanya. (mungkin??)

Sebelum pulang sempat saya membeli beberapa buah buku tulisan Ustaz Ridhuan untuk memperkayakan pengetahuan. Sebenarnya buku-buku tersebut telah lama berada di pasaran, cuma saya belum berkesempatan membelinya ketika itu.

'Khazanah yang tidak ternilai harganya'

Tersenyum puas, lebih-lebih lagi apabila ustaz menurunkan tandatangannya pada buku-buku yang dibeli. Cuma saya tidak pasti bila saya dapat menghadamkan kesemua buku-buku tersebut.

“Ustaz, doakan kebaikan untuk ana,” saya berbisik kepadanya ketika kami bersalaman sebelum berpelukan tanda perpisahan.

“Ana harap anta begitu juga.”

Masing-masing menuju destinasi.

'Bukit Gantang 29 Mac 2009'

0 comments:

Post a Comment