Sahabat Sejati

Tuesday, 12 January 2010

`Finding Nemo` yang tersirat

“Abi, malam ni cerita ‘finding Nemo’ kat tv, achik nak tengoklah,” beritahu anak perempuan saya dimuka pintu, tatkala saya pulang dari kerja.

“Finding Nemo tu cerita apa?” Sengaja saya menduganya.

“Cerita ikanlah abi.”

“Ok, nanti kita tengok sama-sama,” saya menjawab sambil tersenyum.

Malam itu televisyen menayangkan filem animasi, finding Nemo. Memang cerita-cerita yang sebegini amat diminati oleh kanak-kanak. Tidak terkecuali orang dewasa.

Saya turut sama menontonnya bersama keluarga. Saya cuba untuk memberi tumpuan sepenuhnya, dengan hasrat mahu mencari mesej disebalik filem ini. Mungkin ada ruang-ruang pengajaran yang dapat saya ambil.

Kisah finding Nemo

Finding Nemo adalah kisah sebuah keluarga ikan badut yang tinggal di terumbu karang. Terdiri daripada Marlin, si bapa dan Nemo, anaknya. Mereka sering berbeza pendapat. Marlin bapa yang amat berhati-hati (penakut), manakala Nemo mempunyai sifat ingin tahu, yang akhirnya menyebabkan ia ditangkap oleh manusia.

Marlin tidak dapat berbuat apa-apa. Sekadar melihat dari jauh anaknya dibawa. Namun, kerana kasih sayang Marlin membuat keputusan untuk mencari anaknya. Dalam perjalanannya, ia bertemu dengan Dory, seekor ikan yang mempunyai sifat pelupa. Dory banyak membantunya, walaupun sering menimbulkan masalah. Ditampilkan juga seekor ikan jerung yang ingin menjadi vegetarian, bernama Bruce.

Sementara itu, Nemo dikurung di dalam akuarium seorang doktor gigi di bandaraya Sydney. Di sana ia bertemu dengan ikan-ikan lain yang turut menerima nasib yang sama. Melalui Nigel, si burung camar, Nemo mendapat tahu bahawa ayahnya sedang mencarinya.

Nemo dan rakan-rakannya mengatur rancangan untuk melepaskan diri. Akhirnya melalui pertolongan Nigel, mereka berjaya melepaskan diri dari akuarium itu. Nemo dapat bertemu semula dengan bapanya.

Kuasa kasih sayang

Saya amat terkesan setelah menonton filem ini. Apa yang ditonjolkan adalah kasih sayang si bapa kepada anaknya. Sungguh luarbiasa!

Kerana kasih sayang, apa sahaja sanggup dilakukan. Walaupun tindakan itu diluar kemampuan diri. Inilah kuasa cinta.

Firman Allah SWT:
“Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia mengurniakan anak-anak perempuan dan lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Atau dianugerahkan-Nya (dua jenis) anak lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang Dia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui dan Maha Kuasa. (42: 49-50)
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah sekaligus amanah kepada ibu bapa. Mereka umpama permata yang menyinari kehidupan. Oleh itu mereka perlu dijaga dan digilap agar sentiasa bersinar. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaiknya ataupun sebaliknya.

Kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan Allah. Dia yang mencampakkan rasa cinta dan kasih ke dalam hati keduanya. Namun perasaan kasih itu tidak memberi erti jika tidak dilapisi dengan iman. Justeru itu, Islam tampil sebagai manual terbaik dalam memberikan bimbingan dan panduan kepada ibu bapa untuk melahirkan generasi yang dirahmati serta diredhai Allah s.w.t. Jika tidak, akan jadilah seperti ‘Sazali’ di dalam filem Anakku Sazali.

Kegagalan dalam mendidik mereka akan mengundang akibat serta penyesalan di akhirat nanti.
Firman AllahSWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu...(66: 6)
Di samping mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah, mereka juga perlu diproses atau ditarbiyah agar mampu membina benteng ketahanan diri dari gejala yang merosakkan. Dan juga mampu memikul tanggungjawab dakwah kepada masyarakat sekeliling. Dan yang paling penting sebagai sumber sedekah jariah yang bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat. 

Rasulullah saw bersabda:
“Apabila telah mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.”
Oleh itu marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita. Untuk melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan, korbankanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, hulurkan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Inilah kasih sayang sebenar. 

Mudah-mudahan anak-anakku menjadi penyejuk mata dan penawar hatiku.

Doa abi untuk kalian...

0 comments:

Post a Comment